29
PENDAHULUAN Kajian membincangkan tentang teori pertembungan tamadun yang diperkenalkan oleh ahli sains politik, Samuel Philips Huntington. Perkataan tamadun berasal daripada Bahasa Arab iaitu mudun, madain dan madana. Perkataan tersebut bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Dalam bahasa Inggeris, tamadun disebut sebagai civilization yang berasal daripada perkataan Greek iaitu civitas. Perkataan civitas bermaksud bandar. Dari segi konsep, tamadun membawa maksud peradaban, pembangunan dan kemajuaan. Menurut pandangan Barat, tamadun bermaksud pembangunan dalam bidang lahiriah iaitu kemajuan manusia dalam aspek yang berkaitan dengan ekonomi, pembandaran, kebudayaan, undang-undang dan sebagainya. Menurut mereka, tamadun tidak ada kaitan dengan unsur rohaniah. Menurut sarjana Islam pula, tamadun bermaksud pembangunan dalam aspek lahiriah dan rohaniah iaitu kemajuan dalam bidang fizikal dan sahsiah manusia. Menurut mereka, tamadun mestilah wujud keseimbangan antara kemajuan lahiriah dan rohaniah. Tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah yang penting untuk megukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Menurut Syed Naquib al-Attas, tamadun mencapai tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur. Ini disokong oleh Sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah penting dalam konsep tamadun. Sumber utama sesebuah tamadun adalah berdasarkan pandangan semesta tersebut. Dalam konteks manusia, terdapat empat sumber

Teori Pertembungan Tamadun Samuel Huntington

Embed Size (px)

DESCRIPTION

Objektif kajian ini:1. Untuk memahami teori pertembungan tamadun Samuel Huntington.2. Untuk menghuraikan hujah Samuel Huntington dalam teori pertembungan tamadun.3. Untuk membincangkan dialog antara peradaban sebagai alternatif kepada teori pertembungan tamadun.

Citation preview

Miza Ramli

PENDAHULUAN

Kajian membincangkan tentang teori pertembungan tamadun yang diperkenalkan oleh ahli sains politik, Samuel Philips Huntington.

Perkataan tamadun berasal daripada Bahasa Arab iaitu mudun, madain dan madana. Perkataan tersebut bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Dalam bahasa Inggeris, tamadun disebut sebagai civilization yang berasal daripada perkataan Greek iaitu civitas. Perkataan civitas bermaksud bandar. Dari segi konsep, tamadun membawa maksud peradaban, pembangunan dan kemajuaan. Menurut pandangan Barat, tamadun bermaksud pembangunan dalam bidang lahiriah iaitu kemajuan manusia dalam aspek yang berkaitan dengan ekonomi, pembandaran, kebudayaan, undang-undang dan sebagainya. Menurut mereka, tamadun tidak ada kaitan dengan unsur rohaniah. Menurut sarjana Islam pula, tamadun bermaksud pembangunan dalam aspek lahiriah dan rohaniah iaitu kemajuan dalam bidang fizikal dan sahsiah manusia. Menurut mereka, tamadun mestilah wujud keseimbangan antara kemajuan lahiriah dan rohaniah.

Tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah yang penting untuk megukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Menurut Syed Naquib al-Attas, tamadun mencapai tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur. Ini disokong oleh Sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah penting dalam konsep tamadun. Sumber utama sesebuah tamadun adalah berdasarkan pandangan semesta tersebut. Dalam konteks manusia, terdapat empat sumber tamadun iaitu bersumberkan kebendaan, akal fikiran, kerohanian dan wahyu yang muncul sepanjang sejarah ketamadunan manusia.

Samuel Philips Huntington (18 April 1927- 24 Disember 2008) adalah seorang ahli sains politik konservatif berpengaruh di Amerika Syarikat. Beliau mengemukakan suatu kerangka mencabar bagi memahami realiti politik global untuk kurun akan datang. Karya beliau, Pertembungan Tamadun dan Pembentukkan Semula Orde Dunia merupakan salah sebuah buku paling penting yang muncul semenjak tamatnya Perang Dingin. Buku itu merupakan suatu analisis yang provokatif tentang suasana politik dunia selepas kejatuhan komunis. Ahli sains terkemuka ini menjelaskan bagaimana tamadun telah menggantikan bangsa dan ideologi sebagai kuasa pemacu dalam politik global hari ini dan menawarkan suatu analisis menakjubkan tentang iklim semasa dan kemungkinan masa hadapan dalam budaya politik dunia kita yang sering berubah-ubah.

OBJEKTIF KAJIAN

Melalui kajian ini, kami akan menghuraikan dengan lebih mendalam objektif kajian iaitu:Untuk memahami teori pertembungan tamadun Samuel Huntington.

Untuk menghuraikan hujah Samuel Huntington dalam teori pertembungan tamadun.

Untuk membincangkan dialog antara peradaban sebagai alternatif kepada teori pertembungan tamadun.

TAJUK KAJIAN: 1

TEORI PERTEMBUNGAN TAMADUN SAMUEL HUNTINGTONTeori pertembungan tamadun merupakan teori yang dikemukan oleh Samuel Philips Huntington dan diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1993 oleh jurnal Foreign Affairs. Artikel Samuel Huntington dalam jurnal tersebut bertajuk The Clash of Civilizations. Dalam artikel tersebut, Huntington mengemukakan bahawa politik dunia sedang memasuki fasa baru dan ramai golongan intelektual memberi gambaran mengenai apa yang akan berlaku pada masa akan datang termasuklah persaingan antara negara bangsa serta beberapa konflik.

Namun begitu, Huntington berpendapat bahawa para intelektual terlupa satu aspek yang penting mengenai politik global masa hadapan meskipun gambaran-gambaran yang mereka berikan ini bertepatan dengan realiti yang sedang berlaku. Hal ini kerana beliau berhipotesis bahawa sumber asas kepada konflik di dunia ini bukanlah aspek ideologi atau aspek ekonomi tetapi merupakan aspek budaya (Huntington, 1993, hlm. 22). Huntington turut menekankan dalam buku tulisannya bahawa:

In this new world the most pervasive, important, and dangerous conflicts will not be between social classes, rich and poor, or other economically defined groups, but between people belonging to different cultural entities. (1996, hlm. 28)

Manusia terbahagi mengikut golongan atau kumpulan mereka tersendiri dan pembahagian tersebut adalah disebabkan oleh budaya (Huntington, 1993, hlm. 22). Malahan, pembahagian ini bukan sahaja berdasarkan kepada perbezaan bahasa, agama, tradisi, institusi, dan sejarah tetapi juga berdasarkan kepada hubungan subjektif seseorang kepada golongan atau kumpulan tertentu. Oleh itu, pembahagian ini bersifat semula jadi dan memberi impak kepada interaksi antara budaya yang menyebabkan berlakunya pertembungan antara tamadun. Tambahan pula, Huntington (1993, hlm. 24) mendefinisikan konsep tamadun sebagai pengkelasan kebudayaan manusia yang tertinggi dan merupakan identiti budaya yang membezakan manusia daripada yang lain.Hujah utama Huntington ialah konflik masa hadapan adalah berasaskan kepada perbezaan budaya, terutamanya agama, justeru, akan menjadi lebih lama dan lebih membinasakan. Tesis Huntington ini seolah-olah dikuatkan lagi dengan bukti peristiwa seperti 9/11, perang di Iraq dan Afghanistan, pengeboman Madrid, London, dan Bali, dan ketegangan yang semakin meningkat antara negara-negara Barat dan Islam. Hal ini kerana Huntington menganggap masalah yang berlaku antara tamadun Islam dengan tamadun lain adalah disebabkan oleh budaya yang berbeza. Tamadun Islam merupakan satu-satunya tamadun yang terbentuk daripada pegangan agama iaitu agama Islam.

Berbalik kepada isu konflik global yang diketengahkan oleh Samuel Huntington dalam tesisnya, konflik ini dikatakan akan terjadi antara negara dengan kumpulan peradaban yang berbeza dan ianya merupakan fasa terkini dalam evolusi koflik global. Menurut Huntington (1993, hlm 22-23), konflik global ini bermula dengan konflik di Barat iaitu konflik dalam kalangan pemerintah tetapi selepas berlakunya Revolusi Perancis, konflik tersebut bertukar menjadi konflik di antara negara dan kekal sehinggalah Perang Dunia Pertama. Kemudian, konflik tersebut bertukar pula kepada konflik antara ideologi setelah tercetusnya Revolusi Rusia.

William Lind melabelkan konflik antara pemerintah, negara, dan ideologi ini sebagai perang saudara Barat dan kesemua konflik ini berlaku dalam Tamadun Barat itu sendiri (Huntington, 1993, hlm. 23). Tetapi dengan berakhirnya Perang Dingin, konflik yang berlaku telah bertukar kepada interaksi antara tamadun iaitu interaksi tamadun Barat dengan tamadun bukan Barat dan interaksi sesama tamadun bukan Barat. Hal ini akan menyebabkan pertembungan antara tamadun terutamanya antara Tamadun Barat dengan tamadun bukan Barat.

Oleh itu, pengenalan tamadun akan menjadi semakin penting pada masa akan datang dan dunia akan dibentuk oleh interaksi antara tujuh atau lapan tamadun utama iaitu Barat, Konfusius, Jepun, Islam, Hindu, Slavik-Ortodoks, Amerika Latin, dan Afrika. Menurut Huntington (1993, hlm. 25), pertembungan antara tamadun akan berlaku disebabkan oleh perbezaan budaya yang memisahkan sesebuah tamadun itu dengan tamadun yang lain.

Terdapat enam faktor yang menyebabkan berlakunya pertembungan antara tamadun. Pertama, perbezaan antara tamadun itu sendiri. Kedua, interaksi antara manusia yang berbeza tamadun semakin meningkat dan interaksi ini memperhebatkan kesedaran tamadun. Ketiga, proses pemodenan ekonomi dan perubahan sosial di seluruh dunia memisahkan manusia daripada identiti tempatan telah lama wujud. Keempat, pertumbuhan kesedaran tamadun dipertingkatkan oleh peranan ganda daripada Barat. Kelima, ciri-ciri budaya adalah sukar untuk diubah, justeru, lebih sukar untuk dikompromi dan diselesaikan berbanding politik dan ekonomi. Akhir sekali, ekonomi serantau semakin meningkat (Huntington, 1993, hlm. 25-28).

Perbandingan antara kesan pertembungan ketamadunan dan keagamaan dalam teori Samuel Huntington terhadap konflik etnik selepas Perang Dingin telah dijalankan menggunakan metodologi kuantittif. The SAGE Encyclopedia of Qualitative Research Method (2008, hlm. 23) mendifinisikan kajian kuantitatif sebagai pendekatan-pendekatan terhadap kajian empirikal yang mengumpul, menganalisa, dan memaparkan data dalam bentuk angka berbanding bentuk naratif (Given, 2008, hlm. 713). Kaedah kuantitatif ini agak baru diperkenalkan.

Menurut Amirah et al. (2009) dalam ulasan artikel jurnalnya, sebilangan kecil sarjana menyertai debat untuk menolak tesis Samuel Huntington menggunakan kaedah kuantitatif. Antara sarjana tersebut, Gurr, mengemukakan bahawa tiada sebarang bukti mengenai konflik utama etnik ini berkait rapat dengan pertembungan tamadun. Henderson dan Singer pula mendapati bahawa bukan perbezaan budaya yang menjadi punca utama konflik etnik tetapi perbezaan ideologi politik. Akhir sekali, Russet et al. (2000) mendapati perbezaan liberalisme dan realisme lebih tepat untuk menjelaskan sebab-sebab peperangan pada tahap antarabangsa berbanding perbezaan ketamadunan.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2013), liberalisme ialah fahaman yang liberal, fahaman atau pendirian yang mahukan demokrasi serta kebebasan dalam kegiatan ekonomi, manakala, realisme pula ialah fahaman atau ajaran yg berdasarkan kenyataan.

Berdasarkan kepercayaan realisme, negara adalah penentu hala tuju sesebuah negara itu tersendiri yang bermaksud tiada istilah organisasi antarabangsa tetapi hanyalah negara dalam fahaman realisme. Hal ini bermaksud tidak ada kuasa yang lebih tinggi daripada negara dan fahaman ini sering dikaitkan dengan politik kekuasaan. Hubungan antarabangsa akan menimbulkan konflik yang lebih menyusahkan dan berpanjangan serta campur tangan kuasa luar tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sesebuah negara. Sebaliknya, campur tangan kuasa luar secara tidak langsung akan menyebabkan penguasaan negara luar terhadap sesebuah negara. Oleh itu, akan menyebabkan berlakunya peperangan atau konflik antarabangsa.

Secara umumnya, pemegang fahaman liberal pula mengambil pandangan positif tentang sifat manusia. Mereka memiliki keyakinan besar terhadap akal fikiran manusia dan mereka yakin bahawa prinsip-prinsip rasional akan digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dengan erti kata lain, konflik dan peperangan tidak dapat dihindarkan kerana manusia telah menggunakan rasional mereka, justeru, peperangan merupakan penyelasaian terbaik dalam mencapai keuntungan bersama. Tambahan pula, jika dilihat dalam konteks dunia sekarang, terdapat negara yang mengeksploitasi prinsip ini demi kepentingan mereka. Sebagai contoh, penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berasaskan liberalisme dan dikatakan bertujuan menjaga keamanan dan hak-hak asasi sejagat. Namun begitu, boleh dilihat bahawa banyak lagi isu-isu hak asasi manusia yang belum diselesaikan.

Walaupun teori Samuel Huntington mendapat banyak tentangan tetapi beliau turut menerima beberapa sokongan daripada golongan sarjana. Paul K. Huth, misalnya, berhujah bahawa hubungan etnik dan linguistik antara penduduk dan mereka yang tinggal di sesebuah wilayah yang bergolak boleh menyebabkan konflik. Selain itu, Andrej Tusicisny mengkaji kepentingan relatif konflik dalam tempoh pasca Perang Dingin dan menjumpai dalam analisis yang merangkumi konflik antara negeri bahawa majoriti konflik yang berlaku antara peradaban melibatkan kumpulan-kumpulan Islam (Jakobsen, 2010, hlm. 5).TAJUK KAJIAN: 2

HUJAH SAMUEL HUNTINGTON BERKENAAN TEORI PERTEMBUNGAN TAMADUN.

Di dalam konteks ini, ianya mengenai huraian hujah Samuel Huntington di mana di dalam bukunya yang bertajuk The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order. Samuel Huntington menjelaskan bahawa kajian yang dijalankan mengenai pertembungan tamadun ataupun peradaban yang mempunyai faktor-faktor yang dapat menyumbang kepada kekuatan sesebuah tamadun serta bagaimana sesebuah tamadun menjadi penentu kurangnya pengaruh sesebuah tamadun.

Definisi peradaban ataupun tamadun telah wujud sejak dahulu lagi. Antara tamadun yang telah wujud pada zaman dahulu ialah Parsi, China, India, Melayu, Babylon dan sebagainya. Hal ini sejajar dengan pencapaian manusia pada masa kini di mana berkembangnya kemajuan sesebuah tamadun tersebut. Berdasarkan definisi Samuel Huntington mengikut definisi Inggerisnya ialah Peradaban atau Tamadun ialah satu entiti budaya. Hal ini menjelaskan bahawa sesebuah tamadun terjadi daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat walaupun ianya mungkin berbeza dari penempatan, agama, budaya atau sebagainya. Menurut Samuel Huntington, bahawa peradaban-peradaban senantiasa mengalami kemunduran sekaligus berkembang. Berdasarkan artikelnya mengenai peradaban;While civilizations endure, they also evolve. They are dynamic; they rise and fall; they merge and divide; and as any students of history knows, they also disappear and are buried in the sand of time. Peradaban bersifat dinamis, bangkit dan jatuh, menyatu dan saling terpisah, dan sebagaimana halnya dengan apa yang mereka belajar sejarah, ia juga tenggelam dan terkubur di dalam pasir-pasir masa. (Huntington, 1996, hal. 44).

Dalam erti kata lain, tamadun terbentuk apabila pembawakan cara atau budaya daripada sekumpulan manusia untuk memajukan tamadun tersebut. Namun begitu, berlainan pula definisi peradaban menurut Prof.Syed Naquib Al-Attas iaitu peradaban merujuk kepada suatu keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan susila dan keluhuran kebudayaan bagi seluruh masyarakat itu, (Suzy, Khairulnizam, 2014, hlm. 4). Ini menggambarkan sesebuah tamadun akan berkembang mengikut peredaran semasa dengan pencapaian manusia yang saling bersatu untuk melihat tamadunnya berkembang.

Menurut hujah Samuel Huntington, konflik sesebuah tamadun atau peradaban merupakan fasa yang terbaru dimana dalam konflik dunia moden khususnya selepas era perang dingin. Menurutnya identiti tamadun akan menjadi lebih penting pada masa hadapan, kerana ianya sebahagian dunia akan dibentuk oleh interaksi antara tujuh atau peradaban besar ini. Peradaban besar itu termasuklah peradaban Barat, China, Jepun, Islam, Hindu, Slavic-Orthodox, Latin Amerika dan mungkin juga peradaban Afrika. (Huntington, 1996, hlm. 45). Konflik yang paling penting pada masa hadapan dijangka akan berlaku pada garis keretakan yang memisahkan peradaban-peradaban ini.

Samuel Huntington mengetengahkan beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya keretakan atau pertembungan antara peradaban. Faktor yang pertama yang diketengahkan oleh beliau ialah peradaban dibezakan antara satu sama lain oleh sejarah, bahasa, budaya, tradisi dan yang paling penting ialah agama. Justeru, masyarakat daripada peradaban yang berbeza mempunyai pandangan yang berlainan tentang banyak perkara. Menurut Huntington perbezaan ini timbul dalam proses yang lama dan perbezaan ini tidak mudah lenyap kerana sifatnya lebih asasi, berbanding dengan perbezaan ideologi politik dan rejim kerajaan yang berasaskan politik.

Kedua, interaksi antara manusia daripada berlainan peradaban semakin bertambah kerana dunia kini semakin mengecil. Peningkatan interaksi ini memperdalamkan lagi kesedaran di kalangan kelompok itu sendiri. Menurut pendapat Samuel Huntington, perbezaan sesebuah tamadun akan bertambah melalui interaksi manusia dimana kelompok manusia semakin meningkat kerana dunia pada masa kini semakin mengecil. Hal ini kerana manusia yang mempunyai pandangan yang berlainan, entity budaya yang berbeza dan sebagainya. Sebagai contoh kita dapat lihat, orang Amerika misalnya lebih bersifat negatif terhadap pelabur-pelabur Jepun daripada pelabur dari Kanada dan negara-negara Eropah yang lain. Malah, perpindahan orang Afrika ke Perancis melahirkan permusuhan dikalangan orang-orang Perancis dan pada masa yang sama diterima baik oleh golongan Eropah Katolik Poland yang dianggap baik.

Seterusnya, ianya mengenai proses pemodenan ekonomi dan perubahan sosial di seluruh dunia dimana telah memisahkan orang daripada identiti tempatan yang telah lama berakar umbi dan proses ini melemahkan negara bangsa sebagai asas identiti. Bagaimanapun menurut Huntington, agama telah berjaya menembusi jurang selalunya dalam bentuk gerakan yang dilabelkan sebagai fundamentalis. Golongan fundamentalis merujuk kepada golongan yang terdiri daripada kalangan anak-anak muda dari lulusan universiti, sekolah menengah, para profesional dan ahli perniagaan. Namun bagaimanapun, sebagai contoh percampuran budaya asing ke dalam budaya tempatan jelas lebih banyak memberikan kesan negatif terhadap perasaan patriotik kepada negara serta kurangnya ketaatan kepada agama.

Keempat, kesedaran tamadun semakin meningkat dan dipercepatkan oleh dwi-peranan Barat sendiri. Hal ini kerana pihak Barat berada di puncak kekuasaan dan pada masa yang sama sebagai kesan kekuasaan Barat menyebabkan dunia Barat mencari jalan keluar seperti pengislaman semula Timur Tengah. Tambahan lagi, bagi negara bukan Barat pula sudah berlaku proses pengembalian kepada mengangkat dan menghidupkan tamadun masing-masing serta cuba untuk membina kekuatan sebagai gabungan negara-negara bukan Barat. Sebagai contoh, kecenderungan ke arah dalam perubahan dalaman PengAsiaan (Asianization) di Jepun.

Asia has at long last started to define itself. Asian consciousness and identity are coming vigorously to life. Western nations are increasingly impressed by the economic power and political gravity of the region. But Asia's success in the far-ranging and relative terms of global competition should not obscure those forces, in internal and absolute terms, now authoring a cohesive Asian worldview.This new Asian identity has social, cultural, economic and political implications. After decades of reserve on the international stage, Japan is now poised to assume a permanent seat on the U.N. Security Council, which would raise its diplomatic profile and influence. (Funabashi, Yoichi)

Tambahan lagi, ciri-ciri dan perbezaan kebudayaan agak sukar untuk diubahsuai dan oleh itu sukar dikompromikan berbanding dengan ciri-ciri ekonomi dan politik. Malah lebih daripada persoalan etnik, agama merupakan tekanan yang hebat di kalangan umat manusia. Sebagai contoh jika seseorang itu mungkin boleh dianggap separuh Perancis dan separuh Arab dan seterusnya menjadi warga dua negara. Namun tidak mungkin boleh menjadi separuh Katolik dan separuh Islam. Justeru jika tiada tolak ansur serta sikap saling memahami terhadap peradaban-peradaban lain, pastinya boleh mencetuskan persaingan yang boleh mengugat keharmonian hidup.

Yang terakhir ialah keserantauan ekonomi semakin meningkat menyebabkan kerjasama serantau menguntungkan negara-negara anggota kesatuan berdasarkan peradaban yang sama. Salah satu kejayaan Barat ialah kerjasama serantau yang diamalkan dan dikongsi bersama seperti Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC). Bergantung kepada asas-asas dalam budaya di Eropah dan Kristian Barat tetapi kejayaan ini tidak mutlak akibat timbul masalah tentang tiadanya persefahaman seperti itu. Penggunaan mata wang Euro memperlihatkan Britain enggan menyertainya. Sungguhpun peradaban-peradaban lain di Asia Selatan dan Asia Tenggara mempunyai organisasi serantau mereka sendiri seperti South Asian Association for Regional Cooperation (SAARC) dan Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), namun kejayaan kerjasama dalam bidang ekonomi kurang menggalakkan.

TAJUK KAJIAN 3:

DIALOG ANTARA TAMADUN SEBAGAI ALTERNATIF KEPADA TEORI PERTEMBUNGAN TAMADUN.

Dialog antara tamadun merupakan antitesis kepada teori pertembungan tamadun yang dikemukan oleh Samuel P. Huntington. Dialog bermaksud suatu bicara dengan pihak yang mempunyai fikiran yang berbeza dengan kita dan sebagai alternatif kepada perdebatan. Tujuan dialog ialah untuk kita belajar daripada orang lain tentang cara berfikir yang baru dan berlainan. Selain dari pernyataan, perjumpaan, slogan dan ekspresi retorik, dialog juga azam, motivasi, komitmen, tindakan, kelakuan, personaliti dan praktis-praktis yang masih diamalkan yang berupaya menyatukan masyarakat dari tamadun yang berbeza agar dapat mengenalpasti semula kekuatan dan kelemahan masing-masing terutama dalam menghadapi realiti kehidupan dan entiti tamadun lain.

Di dalam dialog antara tamadun, semua pihak mesti mendengar dengan perasaan yang berempati supaya dapat difahami kedudukan pihak yang lain dengan sebaik yang mungkin kerana aspek perbezaan terbesar dalam tamadun ialah ketuhanan dan politik. Dialog sangat penting kerana dunia telah menjadi a global village, dimana wujudnya keperluan untuk membina jaringan persamaan dan persefahaman. Dialog antara tamadun adalah usaha untuk mematangkan tahap kesedaran seseorang, ilmu pengetahuan dan pandangan orang lain yang hidup dalam lingkungannya tetapi berbeza dalam banyak perkara berkenaan dengan pandangan semesta, kepercayaan, sistem perundangan, sistem budaya dan sistem etika. Samuel P. Huntington sepatutnya mengemukakan teori dialog antara tamadun di sebalik teori pertembungan tamadun.

Antara prinsip-prinsip dialog yang harus dititikberatkan ialah faham dan sedar tujuan dialog iaitu untuk kedua-dua pihak menyedari sesuatu dan melakukan perubahan ke arah kebaikan. Selain daripada itu, dialog antara tamadun mestilah merupakan projek yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak yang terlibat dan ia boleh berlaku secara intra dan inter tamadun. Mesti berlangsung dengan penuh ikhlas. Ia juga mesti berupaya untuk menjelaskan pandangan iaitu kepercayaan dan nilai yang dipegang dengan jelas. Ahli yang terlibat mestilah cuba memahami persepsi dan pengalaman rakan dialognya serta berhemah dalam memberikan pandangan terhadap tamadun lain. Ahli yang terlibat juga tidak boleh bersikap prejudis. Etika dan adab berdialog juga menganjurkan sikap bersetuju untuk tidak bersetuju (agreed to disagree), menghormati perbezaan dan ketidakmampuan pihak-pihak tertentu untuk menerima sesuatu pandangan, keikhlasan, simpati, empati dan kesabaran.

Terdapat juga halangan-halangan kepada dialog. Di antara halangan-halangan kepada dialog ialah bertukar agama, ini adalah kerana ada yang beranggapan dialog boleh menyebabkan pendialog bertukar agama. Selain itu, dialog juga boleh menyebabkan rasa rendah diri kerana ketidakmampuan, kurang pemahaman dan pengetahuan terhadap sesuatu aspek yang ingin dibincangkan. Sindiran sosial juga salah satu halangan kepada dialog kerana rasa tidak senang apabila penganut agama yang sama mempersoalkan iman pendialog apabila ia berdialog dan berbaik-baik dengan orang yang berlainan agama atau dengan tamadun lain. Akan wujud juga syak wasangka iaitu rasa curiga terhadap tujuan dialog dan pendialog.

Dialog peradaban bermaksud inter-komunikasi dan persefahaman antara tamadun berdasarkan kepada elemen penting iaitu memahami budaya masing-masing tanpa ada rasa prejudis terhadap masyarakat daripada kaum yang lain. Isu mengenai pengamalan dan pelaksanaan dialog peradaban merupakan topik yang penting dalam usaha mengembalikan keharmonian dan ketenteraman sesebuah masyarakat dan negara.

Antara isu-isu berbangkit dalam dialog peradaban ialah keganasan dan ketidakadilan, ianya berpunca daripada kegagalan pelbagai golongan yang terlibat untuk mengatasi masalah yang dihadapi melalui meja rundingan. Seterusnya, perebutan kuasa politik dan ekonomi, terdapat masalah yang berpunca daripada perebutan kuasa politik atau ekonomi antara dunia Islam dengan Barat seperti perebutan telaga minyak di Teluk Parsi. Terdapat juga isu mengenai kejahilan tentang tamadun lain, tidak dapat dinafikan bahawa unsur-unsur kejahilan wujud di kalangan pihak terbabit hingga keganasan yang tercetus dilihat sebagai permusuhan tamadun. Layanan buruk terhadap orang Islam yang menetap di negara-negara Barat boleh mengakibatkan tindak balas yang tidak terkawal.

Dialog antara tamadun Islam dan tamadun Asia

Dalam mencari dan memupuk nilai sepunya yang boleh dikongsi oleh tamadun Islam dan Asia, dialog sangat penting kerana ia dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan mereka. Juga dapat menyedarkan masyarakat Islam dan Asia tentang cabaran semasa abad ke-21 dari Barat dan konflik dalaman masyarakat Islam dan Asia dan dapat menyemai minat dalam kalangan generasi muda untuk memelihara dan mengekalkan identiti dan khazanah budaya mereka. Namun begitu, sesi dialog sama ada melalui media massa dan sistem pendidikan tidak akan berjaya sekiranya tidak disertai dengan dialog kehidupan sebenar. Manusia yang hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum hendaklah berani bergaul, berkenalan dan memahami serta berkongsi kegembiraan dan kedukaan, harapan dan kebimbangan antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan sebagai dialog kehidupan sebenar, yang menjadi batu loncatan kepada dialog tamadun.

Dialog antara tamadun Barat dengan tamadun Islam dan tamadun Asia

Selain dari dialog antara tamadun Islam dan tamadun Asia, dialog peradaban juga melibatkan tamadun Islam dan Asia serta tamadun Barat. Dialog antara tiga entiti ini perlu mengambil kira perkara-perkara berikut iaitu pertama, pencarian atau pemupukan nilai-nilai sepunya, menghormati realiti dunia yang berbilang tamadun, memahami isu-isu yang memisahkan tamadun Barat dan tamadun Islam dan memahami isu-isu keganasan bukan sahaja dari perspektif Barat tetapi juga dari perspektif masyarakat Islam dan Asia.

Dialog peradaban juga dianggap sebagai satu mekanisme yang relevan dan mampu mengatasi isu-isu kerana dialog dapat menjana keterbukaan dan kerjasama antara tamadun di mana ia dapat membantu dalam usaha untuk saling memahami dan mengenali nilai-nilai, norma-norma, pengalaman sejarah dan budaya sesuatu peradaban bangsa. Kedua, agama sebagai asas kepada dialog peradaban, agama membincangkan hubungan secara horizontal iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia sesama manusia kerana prinsip semua agama menfokuskan ajaran nilai-nilai murni kemanusiaan yang universal dalam semua urusan dan menolak unsur keganasan, prasangka dan penindasan dan ketiga, meluruskan persepsi salah faham terhadap tamadun lain. Dialog merupakan mekanisme alternatif yang sihat dan positif bagi menghadapi teori pertembungan tamadun ini namun tidak semua konflik dapat diselesaikan melalui dialog terutamanya yang melibatkan tamadun Islam masa kini.

Di antara wawasan atau visi dialog ketamadunan ialah dialog melalui usaha pendekatan perdamaian, tamadun universal sebagai satu unit analisis atau kajian, kepelbagaian manusia dan kemajmukan budaya dunia, perkongsian aktiviti kolektif atau kerjasama, untuk mengenali antara satu sama lain dan persefahaman kolektif manusia. Selain dari itu, visi dialog ketamadunan juga untuk mengenal semula diri dalam bentuk perhubungan dengan orang lain, juga terbuka untuk menerima persetujuan atau bantahan daripada orang lain. Dialog juga sebagai pendekatan strategik manusia terhadap penyelesaian konflik, sebagai pertukaran kepintaran dan pengalaman dan aktiviti berteraskan manusia.

Dialog antara tamadun di Malaysia

Pada peringkat Malaysia pula, dialog yang dijalankan adalah intra dialog iaitu dialog yang melibatkan etnik-etnik yang berbeza budaya dan latar belakang. Penekanan diberi pada aspek persefahaman kaum berasaskan nilai budaya dan tamadun sepunya, falsafah Rukun Negara sebagai asas tamadun Malaysia dan mengambil kira kepercayaan dan amalan setiap budaya dan tamadun di Malaysia.

Dialog akan membolehkan masyarakat Melayu, India dan Cina saling bekerjasama, bantu membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup serta keharmonian dan keamanan sejagat. Dialog peradaban dilihat sebagai alternatif terbaik dalam mencari penyelesaian konflik dan mencipta persefahaman antara tamadun.

ANALISIS

Melalui kertas kerja yang telah kami jalankan, kami telah menjelaskan dan memahami dengan lebih terperinci lagi tentang Teori Pertembungan Tamadun oleh Samuel Philips Hungtinton.

Hal ini menjelaskan bahawa pertembungan peradaban berlaku disebabkan oleh penguasaan negara-negara maju ke atas negara dunia ketiga dan negara membangun. Pertembungan ini menyebabkan berlakunya konflik ke atas masyarakat yang akan datang terutama dari segi budaya. Samuel Huntington juga menjelaskan bahawa masyarakat di dalam setiap peradaban berbeza caranya termasuklah dalam bidang keagamaan, ekonomi, sejarah, bahasa dan sebagainya. Melalui perbezaan inilah berlakunya konflik yang berpanjangan dan kesannya begitu ketara ke atas sesuatu masyarakat. Ianya juga dapat dilihat keadaan dunia sekarang yang semakin mengecil dan bilangan masyarakat yang ramai menyebabkan interaksi antara peradapan bertambah. Peradaban yang menguasai dunia masa kini seperti peradaban Barat akan menpengaruhi dari segi kemodenan, ekonomi dan perubahan sosio-budaya. Masyarakat tempatan juga kian lama kian terpisah dengan identiti tempatan yang telah lama wujud.

Selain itu, teori Clash of Civilisation oleh Samuel Huntington berhubung akan berlaku pertembungan peradaban antara Islam dan Barat tidak relevan. Ini kerana sekiranya digunakan, bakal berlakunya peperangan, pembunuhan dan salah faham diantara kedua-dua belah pihak. Justeru, kita harus mengambil pengajaran dan mempelajari hanya untuk tujuan akademik sahaja. Islam harus hidup bersama dunia dan masyarakat serta menjalinkan hubungan dengan masyarakat lain secara sihat.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mewujudkan dialog antara tamadun meskipun pelbagai kritikan akademik telah dikemukakan untuk menyanggah teori pertembungan tamadun sehingga pernah disebut bahawa teori Huntington ini bakal runtuh. Bagi sesetengah pihak mungkin situasi yang berlaku ini tidak boleh dikaitkan dengan ramalan akan berlakunya pertembungan tamadun seperti teori Huntington. Namun begitu, konflik antara dunia Barat dengan dunia Islam seolah-olah membenarkan teori Huntington. Yang pastinya, dunia Barat dan dunia Islam bergolak sehingga kelihatan tiada titik penghujungnya.

Bagi mengatasi kelemahan Teori Pertembungan oleh Samuel Huntington, dialog antara tamadun harus digunakan. Dialog bertujuan untuk cuba memahami beberapa persamaan yang terdapat pada kedua-dua agama kerana cara ini akan menyebabkan hubungan semakin akrab. Selain ini, dialog peradaban adalah suatu perbincangan yang dilakukan oleh dua pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza. Ianya membolehkan kita untuk saling belajar sehingga mampu mengubah pandangan dan meningkatkan kefahaman agama. Pentingnya dialog antara tamadun Islam dan Barat ialah untuk mencari titik temu, bukan sahaja berkaitan dengan akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban yang menjadi akar masalah daripada kedua-dua agama tersebut.

KESIMPULAN

Melalui kertas kerja yang telah kami jalankan, kami telah menjelaskan dan memahami dengan lebih terperinci lagi tentang Teori Pertembungan Tamadun oleh Samuel Philips Hungtinton.

Pertama, kami menghuraikan dengan lebih mendalam pemahaman mengenai teori pertembungan tamadun Samuel Huntington. Beliau menhuraikan dengan lebih dalam lagi tentang pertembungan tamadun bagi tujuan menjawab isu-isu yang telah ditimbulkan oleh pengkritik lain. Teori ini mengundang pelbagai reaksi baik dan buruk dalam kalangan masyarakat serta masyarakat barat. Huntington telah mengetahui bahawa pada masa akan datang akan terjadinya pertebungan tamadun terutamanya melibatkan tamadun Islam dan tamadun Barat. Para intelektual mengkritik pandangan beliau bermulanya dengan persoalan konsep seperti takrif tamadun sehinggalah isu perang di Bosnia, Herzegovina.

Kedua, kami menghuraikan hujah Samuel Huntington dalam Teori Pertembungan Tamadun. Samuel Huntington menjelaskan bahawa kajian yang dijalankan mengenai pertembungan tamadun mempunyai beberapa faktor yang dapat menyumbang kepada kekuatan tamadun serta bagaimana sesebuah tamadun menjadi penentu dan pengaruh kepada tamadun lain. Sesebuah tamadun itu terjadi apabila sekumpulan manusia berkerjasama di dalam satu kawasan tetapi mempunyai latar belakang yang berlainan. Menurut Samuel Huntington, sesebuah tamadun akan mengalami zaman kemunduran sekalligus berkembang. Antara faktor yang memyebabkan berlakunya keruntuhan tamadun ialah peradaban dibezakan antara satu sama lain oleh sejarah, bahasa, budaya, tradisi dan agama. Kedua, ianya juga berkaitan dengan cara interaksi manusia daripada peradaban yang berbeza yang semakin bertambah. Tamadun juga mengalami proses permodenan dan perubahan sosial yang telah memisahkan orang daripada identiti tempatan yang telah lama berakar umbi dan melemahkan negara bangsa. Keempat, kesedaran tamadun akan semakin meningkat dan akan dipercepatkan dengan peranan barat. Akhir sekali, ia disebabkan keserantauan ekonomi yang semakin meningkat serta menguntungkan negara anggota.

Ketiga, kami membincangkan dialog antara tamadun sebagai alternatif kepada teori pertembungan tamadun. Dialog bermaksud suatu bicara dengan pihak yang mempunyai fikiran yang berbeza dengan kita dan sebagai alternatif kepada perdebatan. Tujuan dialog ialah untuk kita belajar daripada orang lain tentang cara berfikir yang baru dan berlainan.

Semua pihak mesti mendengar dengan perasaan yang berempati supaya difahami kedudukan pihak yang lain kerana aspek perbezaan terbesar dalam tamadun ialah ketuhanan dan politik. Dialog juga usaha untuk mematangkan tahap kesedaran seseorang, ilmu pengetahuan dan pandangan orang lain yang hidup dalam lingkungannya tetapi berbeza dalam banyak perkara berkenaan dengan pandangan semesta. Kita juga faham dan sedar tujuan dialog iaitu untuk kedua-dua pihak menyedari sesuatu dan melakukan perubahan ke arah kebaikan. Di antara halangan-halangan kepada dialog ialah bertukar agama. Ianya menyebabkan rasa rendah diri kerana ketidakmampuan.

Ringkasnya, kebanyakan tokoh-tokoh tidak bersependapat dengan teori pertembungan tamadun Samuel Huntington terutamanya tokoh-tokoh agama. Walaupun konflik antara tamadun dan berlakunya perbezaan tamadun dan budaya, namun ianya saling berkaitan antara satu sama lain. Bagaimanapun, perbezaan antara tamadun tidak dapat dinafikan sebagai salah satu pengaruh kepada konflik ini. Perbezaan antara tamadun yang menpengaruhi konflik etnik sebenarnya disebabkan perbezaan agama. Bagaimanapun, teori Huntington ini sangat penting dari segi mencambahkan disiplin ilmu pengajian tamadun dan sains politik.

RUJUKAN

Bibliography

TEORI-TEORI PEMBINAAN DAN KEJATUHAN SESEBUAH PERADABAN. (2014, Disember 4). Retrieved from KAJIAN SAMUEL HUNTINGTON: http://btpnkl.edu.my/cerdiknet/bahan/sejarah/download/b.doc.

Huntington, S. P. (1996). The Clash Of Civilization and The Remaking of World Order. New York: Simon & Schuster.

Osman Bakar, Azizan Baharuddin, & Zaid Ahmad. (2009). Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia.Suzy Aziziyana Binti Saili, & KhairulNizam Bin Mat Karim. (2014). Modul Tamadun Islam & Tamadun Asia (TITB 113). Muadzam Shah.

Yoichi Funabashi. (2014, December 11). Retrieved from The Asianization of Asia: http://www.foreignaffairs.com/articles/49406/yoichi-funabashi/the-asianization-of-asia

14