12
1 Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria PELAKSANAAN PRINSIP HIBAH DALAM PRODUK KEWANGAN SEMASA 1. PENDAHULUAN Hibah merupakan salah satu prinsip dalam muamalat Islam yang diamalkan di institusi-institusi kewangan Islam. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk memenuhi objektif-objektif berikut : i. Membincangkan konsep hibah dalam muamalat Islam secara mendatar. ii. Memberi contoh produk kewangan Islam yang mengguna pakai prinsip hibah dalam operasinya. 1.1 KONSEP HIBAH Hibah merupakan perkataan Arab yang berasal daripada kata kerja ‘wahaba’ yang bermaksud pemberian tanpa balasan. Perkataan hibah sebenarnya telah diterima pakai sebagai perkataan Melayu yang dipinjam dari bahasa Arab. Dalam Kamus Dewan , hibah ditakrifkan sebagai pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Menghibahkan bermaksud meberikan (pada masa si penghibah masih hidup). Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

Embed Size (px)

DESCRIPTION

muamalat

Citation preview

Page 1: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

1

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

PELAKSANAAN PRINSIP HIBAH DALAM PRODUK KEWANGAN

SEMASA

1. PENDAHULUAN

Hibah merupakan salah satu prinsip dalam muamalat Islam yang diamalkan di

institusi-institusi kewangan Islam. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk memenuhi

objektif-objektif berikut :

i. Membincangkan konsep hibah dalam muamalat Islam secara mendatar.

ii. Memberi contoh produk kewangan Islam yang mengguna pakai prinsip

hibah dalam operasinya.

1.1 KONSEP HIBAH

Hibah merupakan perkataan Arab yang berasal daripada kata kerja ‘wahaba’ yang

bermaksud pemberian tanpa balasan. Perkataan hibah sebenarnya telah diterima pakai

sebagai perkataan Melayu yang dipinjam dari bahasa Arab. Dalam Kamus Dewan ,

hibah ditakrifkan sebagai pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain

dengan tujuan baik. Menghibahkan bermaksud meberikan (pada masa si penghibah

masih hidup).

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik

oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada

masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad

pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan

semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan

seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Page 2: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

2

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

1.1.1 Hukum Hibah

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam

terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan

kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan

amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada

mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu

(sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa‟ ayat

4).

“... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak

yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan

orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya”

(Surah al-Baqarah ayat 177).

1.1.2 Rukun Hibah

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan

syarat seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib) Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan

rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana

pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had

kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam,

asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu) Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai

keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya

penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya,

hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.

Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa

memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah

diberikan kepada penerima hibah.

Page 3: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

3

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

Ia hendaklah barang atau harta yang halal.

Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.

Barang atau harta itu milik pemberi hibah.

Ia boleh diserah milikkan.

Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang

yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam

kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum

berbuah dan sebagainya.

Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh

dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk

tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta

yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam

Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika

mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul

Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan

penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.

Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.

Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan

dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-ruqba adalah sah

hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.

Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku

berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah

menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara

contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan

sebagainya.

Page 4: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

4

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

1.2 PELAKSANAAN PRINSIP HIBAH DALAM PRODUK KEWANGAN

MASA KINI

Semua aktiviti kewangan Islam di Malaysia diselia secara berpusat oleh Majlis

Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPSBNM). Segala keputusan yang

dikeluarkan oleh MPSBNM akan mengikat institusi kewangan Islam. Hal ini

bermakna, amalan institusi kewangan tidak boleh menyalahi keputusan yang

dikeluarkan oleh MPSBNM. Dari sudut ini, Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan

di institusi kewangan seperti bank hanya berfungsi untuk membantu dan sebagai

pelengkap kepada MPSBNM. Walau bagaimanapun, mereka dibenarkan untuk

mengeluarkan suatu keputusan baru yang belum pernah dikeluarkan oleh MPSBNM

dalam konteks operasi produk-produk syariah di institusi masing-masing. Perlu

ditekankan bahawa keputusan MPSBNM yang mengikat institusi-institusi lain adalah

keputusan dalam bentuk larangan dan ketidakpatuhan sesuatu struktur atau produk

terhadap kehendak syarak. Sebaliknya, keputusan yang berupa kebenaran dan

keharusan terhadap sesuatu struktur mengikut prinsip syarak tidaklah mengikat

institusi kewangan untuk mengguna pakai keputusan tersebut dalam produk mereka.

Secara umumnya, pelaksanaan hibah bukanlah satu prinsip utama dalam

pembinaan produk-produk kewangan Islam. Prinsip atau kontrak yang dianggap

sebagai prinsip utama dalam membentuk produk perbankan Islam adalah seperti

kontrak-kontrak jual beli, sewaan, gadaian, syarikat, perkongsian untung rugi dan

simpanan (Abdul Halim el-Muhammady 2005 : 89). Hibah hanya digunakan sebagai

satu prinsip sampingan dalam kontrak-kontrak utama seperti yang telah dinyatakan.

Oleh sebab matlamat utama perbankan Islam adalah untuk menjalankan perniagaan

yang berorientasikan keuntungan, maka prinsip hibah yang lebih bersifat tabarru‟

tidaklah terlalu diberi penekanan. Namun begitu, ia boleh dijadikan sebagai satu

prinsip sokongan kepada produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Page 5: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

5

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

1.3 PRODUK-PRODUK KEWANGAN ISLAM YANG MENGAPLIKASI

PRINSIP HIBAH

Walaupun hibah bukanlah merupakan satu prinsip utama kepada pembinaan sesuatu

produk kewangan Islam, namun boleh dikatakan bahawa ia boleh dijadikan sebagai

satu instrumen sokongan kepada produk-produk tersebut. Dengan kata lain, ia boleh

dijadikan sebagai satu instrumen yang dijadikan sebagai penarik (atau dalam istilah

perniagaan disebut sebagai selling point) kepada produk-produk tertentu yang

ditawarkan di perbankan Islam. Berikut merupakan antara kontrak dalam kewangan

Islam yang mengaplikasikan prinsip hibah serta modus operandi masing-masing.

1.3.1 Wadi’ah

Prinsip wadi’ah merupakan salah satu cara bagaimana perbankan Islam memperoleh

dana tabungannya melalui akaun simpanan. Selain wadi’ah, satu lagi prinsip yang

digunakan dalam akaun simpanan ialah prinsip mudarabah. Wadi’ah menurut istilah

fuqaha’ ialah satu kontrak di mana pemilik sesuatu harta memberikan kuasa kepada

orang lain supaya menjaga barang atau hartanya itu untuk keselamatannya. Dalam

konteks amalan bank, istilah wadi’ah ini dipakai dengan ditambah dengan frasa yad

damanah yang bererti simpanan dengan jaminan. Ia merujuk kepada seseorang

(pendeposit) yang memberi kuasa kepada orang lain (bank) untuk menyimpan

hartanya untuk tujuan keselamatan barang tersebut daripada kehilangan, kemusnahan,

kecurian dan sebagainya. Dengan demikian, hubungan antara bank dengan

pelanggannya merupakan hubungan jaminan (bailment); iaitu pendeposit sebagai

penerima jaminan (bailee) wang simpanan dan bank sebagai pemberi jaminan (bailer)

kerana hak milik harta tidak berpindah kepada bank, cuma bank hanya mempunyai

kuasa dan kawalan terhad terhadap wang yang disimpan. Oleh kerana itu, pendeposit

masih mempunyai hak ke atas wang tersebut. Ini berbeza dengan kedudukan hubungan

antara pendeposit dengan bank dalam perbankan konvensional, iaitu hubungan antara

penghutang dengan pemiutang, iaitu pendeposit sebagai pemiutang dan bank sebagai

penghutang. Melalui hubungan ini, apabila pendeposit mendepositkan wangnya ke

dalam bank, maka bank bertanggungjawab untuk membayar wang yang disimpan

apabila ia dituntut oleh pelanggan (Abdul Halim El- Muhammady, 2005: 219).

Page 6: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

6

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

Modus operandi prinsip Wadi’ah Yad al-Damanah ini yang diaplikasikan

dalam akaun semasa dan akaun simpanan semasa adalah seperti berikut:

i. Bank menerima deposit daripada pelanggannya yang memerlukan tempat

selamat untuk simpanan wang mereka dan mudah pula untuk mereka

menggunakannya dalam bentuk akaun semasa dan akaun simpanan dengan

menggunakan prinsip Wadi’ah Yad al-Damanah.

ii. Bank meminta kebenaran daripada penyimpan-penyimpannya untuk

menggunakan wang simpanan itu selama wang itu berada dalam simpanannya.

iii. Penyimpan-penyimpan berhak mengeluarkan sebahagian atau seluruh baki

simpanan pada bila-bila masa mereka kehendaki dan bank memberi jaminan

untuk mengembalikan baki tersebut.

iv. Semua keuntungan daripada penggunaan bank terhadap simpanan yang ada

adalah menjadi milik bank. Tetapi bank boleh menggunakan budi bicaranya

untuk memberi keuntungan kepada semua penyimpannya atau sebahagian

akaun penyimpan-penyimpannya.

v. Bank memberi buku, cek, kad ATM atau perkhidmatan lain mengenai akaun

semasa atau simpanan kepada penyimpan.

Daripada operasi prinsip wadi’ah tersebut, dapatlah difahami bahawa konsep

hibah digunakan sebagai satu bentuk insentif, dividen atau sagu hati oleh pihak bank

untuk menarik pelanggan supaya menyimpan di dalam akaun di perbankan Islam. Dari

segi luarannya, insentif ini sama bentuknya dengan apa yang dikatakan sebagai faedah

dalam sistem konvensional. Oleh kerana itu, untuk mengelakkan pembayaran dividen

ini menyerupai bayaran faedah, jumlah, bentuk dan peratus pembayarannya adalah

mengikut budi bicara bank. Ini bermakna keuntungan daripada penggunaan wang

pelanggan ini sebenarnya adalah milik bank sepenuhnya. Namun, atas budi bicara

pihak bank ke atas pelanggannya, bank memberikan sebahagian tertentu daripada

keuntungan tersebut kepada pelangggannya yang boleh dianggap sebagai hibah atau

hadiah daripada bank. Walau bagaimanapun, kaedah pengiraan keuntungan ini masih

terikat dengan kaedah biasa pembayaran faedah.

Page 7: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

7

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

1.3.2 Qard al-Hasan

Qard al-hasan bermaksud kontrak hutang terhadap sesuatu yang bernilai (mithl)

dengan pembayaran balik kadar yang sama. Dalam konteks amalan perbankan Islam,

qard al-hasan merujuk kepada pinjaman tanpa faedah (interest-free loan) yang

diberikan kepada peminjam untuk kebajikan. Berdasarkan prinsip ini, peminjam hanya

dikehendaki membayar hutangnya berdasarkan jumlah yang dipinjam sahaja dan bank

tidak dibolehkan untuk meminta sebarang bayaran lebihan. Walau bagaimanapun,

pihak peminjam adalah bebas dan digalakkan untuk membayar dengan kadar yang

lebih daripada jumlah tersebut atas dasar budi bicaranya kepada pihak bank. Lebihan

yang diberikan secara sukarela oleh pihak peminjam ini dianggap sebagai hibah dan

diharuskan dalam syarak. Ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Syariah

Bank Negara Malaysia (MPSBNM) yang ke-55 pada 29 Disember 2005 (27

Zulkaedah 1426). Walau bagaimanapun, Majlis menasihatkan agar amalan (bayaran

lebihan) ini perlu dipraktikkan secara jujur bagi mengelakkan ia menjadi „urf (di mana

masyarakat menganggap bahawa setiap pinjaman mesti dibayar dengan kadar yang

lebih daripada jumlah yang dipinjam) (Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, 2007:

122).

1.3.3 Al-Ijarah Thumma al-Bay’

Produk al- Ijarah Thumma al-Bay’ (ringkasnya AITAB) merupakan gabungan antara

dua konsep, iaitu ijarah (sewaan) dan bay’ (beli). Ijarah adalah satu kontrak yang

membawa kepada pemindahan hak milik manfaat sesuatu barang dengan bayaran

dalam tempoh yang telah dipersetujui (Abdul Halim El-Muhammady, 2005: 170.

Manakala bay’ pula ialah satu kontrak pertukaran barangan antara dua pihak yang

memberi hak pemilikan kepada pihak-pihak tersebut (Al-Zarqa‟, 1999: 21-23). AITAB

ini agak baru dalam fiqh muamalah dan tidak dikenali oleh ahli fiqh silam. Namun, ia

dibenarkan kerana tidak mengandungi sebarang unsur yang membuat akad itu tidak

sah.

AITAB adalah satu bentuk produk di mana penyewa, di akhir tempoh sewaan

diberikan pilihan oleh pihak bank, sama ada untuk menyewa semula atau membeli aset

berkenaan. Jika dilihat dari segi strukturnya pun, ia adalah gabungan antara dua akad

Page 8: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

8

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

yang sememangnya diiktiraf syarak, iaitu akad sewaan dan jual beli. Modus

operandinya, bank akan menyewakan aset kepada pelanggan yang kemudiannya akan

membayar secara ansuran sebanyak jumlah yang telah dipersetujui dalam tempoh

tertentu. Kadar sewaan adalah berdasarkan harga aset dan juga tempoh masa

penyewaan. Pada akhir tempoh sewaan tersebut, pelanggan diberi pilihan sama ada

untuk menyewa semula atau membeli aset berkenaan. Jika pelanggan memilih untuk

membeli, hanya harga nominal dikenakan kerana harga bayaran sewa yang dibuat

selama ini akan diambil kira. Dilihat dari segi operasi AITAB di perbankan Islam,

kedua-dua akad ini dibuat secara berasingan dan pembelian aset dianggap sebagai satu

bentuk janji oleh penyewa di akhir tempoh sewaan nanti (Nabil A. Saleh, 1986: 99).

Dalam usaha perbankan Islam menggalakkan pelanggan AITAB mematuhi

jadual pembayaran bulanan mereka, hibah diberikan kepada mereka sebagai satu

bentuk insentif. MPSBNM dalam mesyuarat ke-13, pada 10 April 2000 (5 Muharram

1421) telah memutuskan bahawa prinsip hibah yang digunakan dalam akad AITAB

sebagai satu bentuk insentif kepada pelanggan adalah diharuskan (Resolusi Syariah

dalam Kewangan Islam 2007 : 118).

1.3.4 Takaful

Hibah merupakan salah satu konsep Syariah yang digunakan dalam produk-produk

takaful dan diamalkan oleh syarikat takaful dalam kebanyakan pelan takaful keluarga

seperti produk pelan takaful pendidikan. Dalam pelan takaful pendidikan misalnya,

peserta takaful akan menghibahkan manfaat takaful kepada anak mereka bagi

membiayai kos pendidikannya pada masa hadapan. Sekiranya peserta takaful

meninggal dunia, seluruh manfaat takaful tersebut akan menjadi hak milik yang

dinamakan dan harta ini tidak akan diagihkan kepada waris lain berdasarkan faraid.

Walau bagaimanapun, sekiranya peserta takaful masih hidup apabila sijil takaful

matang, manfaat tersebut akan diserahakan kepada peserta takaful. MPSBNM dalam

mesyuarat ke-34 pada 21 April 2003 berhubung dengan penggunaan hibah dalam

pemberian manfaat takaful telah memutuskan sepertimana di bawah ( Resolusi Syariah

dalam Kewangan Islam 2007 : 85) :

Page 9: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

9

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

i. Manfaat takaful boleh dihibahkan kerana tujuan takaful adalah untuk memberi

perlindungan kepada peserta takaful. Memandangkan manfaat takaful adalah

hak peserta takaful, maka peserta mempunyai kebebasan untuk menggunakan

hak tersebut mengikut pilihannya selagi ia tidak bercanggah dengan Syarak;

ii. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi

wasiat kerana hibah yang dibuat adalah hibah bersyarat;

iii. Manfaat takaful lazimnya dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh

matang sijil. Sekiranya peserta masih hidup apabila sijil takaful matang,

manfaat takaful akan dimiliki oleh peserta. Walau bagaimanapun, jika peserta

meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuat kuasa;

iv. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan hibah yang dibuat sebelum tamat

tempoh matang sijil takaful, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas

berlakunya penyerahan (qabd);

v. Peserta mempunyai hak untuk mebatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang

individu dan menyerahkan manfaat yang ingin dihibahkannya kepada orang

lain, atau membatalkan penyertaan dalam takaful jika penerimanya meninggal

dunia sebelum tamat tempoh matang; dan

vi. Borang penamaan takaful perlu menyatakan dengan jelas status penama adalah

sebagai benefisiari jika niat peserta adalah hibah.

Berdasarkan keputusan mesyuarat di atas, hibah ke atas manfaat takaful

diharuskan selagi ia adalah hak yang dimiliki oleh peserta takaful. Hibah tersebut

adalah hibah bersyarat, iaitu penama akan memiliki manfaat tersebut apabila peserta

meninggal dunia. Sebaliknya, jika peserta masih hidup ketika berakhirnya tempoh

matang, sijil takaful tersebut akan menjadi milik peserta dan bukannya penama.

Page 10: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

10

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

1.4 KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa prinsip hibah,

walaupun tidak dianggap sebagai prinsip utama dalam operasi produk kewangan

Islam, namun ia diaplikasikan sebagai prinsip sokongan dalam aktiviti-aktiviti

muamalat Islam di institusi-institusi kewangan Islam. Secara umumnya, prinsip hibah

banyak digunakan oleh pihak institusi kewangan ketika memberi imbuhan atau

bayaran kepada pihak pelanggan. Pemakaian prinsip hibah dapat menjadi penampung

kepada keadaan-keadaan tertentu yang tidak dapat diselesaikan melalui transaksi

muawadat (kontrak-kontrak pertukaran).

Page 11: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

11

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria

1.5 RUJUKAN

Abdul Halim el-Muhammady. 2005. Undang-undang Muamalat dan Aplikasinya

kepada Produk-produk Perbankan Islam. Bangi : Fakulti Undang-undang.

K.L. Mervyn, M.A. Latifa. 2007. Perbankan Syariah : Prinsip, Praktik, dan Prospek.

Indonesia : PT Serambi Ilmu Semesta.

Kamal Khir, Lokesh Gupta, Bala Shanmugam. 2008. Islamic Banking : A Practical

Perspective. Selangor : Pearson Longman.

Kamus Dewan. 2007. Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Fadzli Yusof. 2006. Mengenali Takaful. Selangor : IBS Buku Sdn. Bhd.

Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam. 2007. Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Bank

Negara Malaysia.

Rizalman Muhammad, Ishak Suliaman. 2008. Wasiat dan Hibah. Kuala Lumpur :

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Simon Archer, Rifaat Ahmed Abdel Karim, Volker Nienhaus. 2009. Takaful Islamic

Insurance : Concepts and Regulatory Issues. Singapura : John Wiley & Sons

(Asia) Pte. Ltd.

Wahbah al-Zuhaily. 1997. Al-Fiqh al-Islami wa adillatuh. Beirut Lubnan :

Dar al-Fikr.

Page 12: Pelaksanaan Prinsip Hibah Dalam Industri Perbankan Islam Di Malaysia

12

Abdul Rahim Abdullah Ahmad Mohsein Zakaria