Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

Embed Size (px)

Citation preview

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    1/13

    MURID DISLEKSIA BELAJAR MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBAR

    Zahrah Hj. Abdullah

    Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2)

    Kuala Lumpur

    PENGENALAN

    Masalah disleksia dalam pembelajaran sudah lama wujud di kalangan pelajar-pelajar sekolah

    rendah dan menengah. Di Malaysia, disleksia hanya diperkenalkan kepada khalayak ramai buat

    pertama kalinya pada tahun 1993 melalui Seminar Kebangsaan Pengenalan kepada Disleksia

    yang dianjurkan oleh Rotary Club Gombak.

    Disleksia bukanlah satu istilah yang terlalu asing. Terdapat banyak buku serta bahan rujukan

    internet yang ditulis berkaitan pelbagai aspek disleksia. Namun apa yang masih sangat kurang

    adalah rujukan dan panduan mengenai disleksia dalam bahasa Melayu.

    Di negara-negara di mana pengetahuan mengenai disleksia lebih baik di kalangan

    masyarakatnya, ibu bapa merupakan pihak yang pertama menyedari masalah membaca dan

    menulis ini pada anak-anak mereka. Dengan itu dapatlah mereka mendapatkan bantuan seawal

    mungkin untuk anak-anak disleksia ini.

    Walau bagaimanapun, di Malaysia , konsep Masalah Pembelajaran Spesifik masih sangat

    baru. Sering kali ibu bapa menyedari masalah spesifik anak mereka hanya apabila terdapat

    kemerosotan yang sangat serius dalam pelajarannya ketika di Tahun 3 atau 4. Pada ketika ini

    anak itu sudah pun mengalami pengalaman persekolahan yang begitu menyukarkan, yang

    sebenarnya boleh diatasi sekiranya diagnosis awal dilakukan bagi mengenal pasti sama ada

    kanak-kanak itu mengalami disleksia. Pihak yang sering dipertanggungjawabkan dengan tugas

    ini adalah para guru, terutama guru sekolah rendah. Sehubungan itu, kepentinganmeningkatkan pengetahuan para guru mengenai disleksia tidak dapat disangkal lagi. Dengan

    itu tertubuhlah Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Spesifik Disleksia di

    Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2).

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    2/13

    SEJARAH PENUBUHAN PROGRAM DISLEKSIA

    Penubuhan program disleksia telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak

    pengambilan kumpulan pertama guru-guru menjalani kursus disleksia selama empat belas

    minggu . Bagaimanapun program ini telah dapat direalisasikan pada 13 Mac 2004, dengan

    memilih Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) sebagai sekolah pra-rintis program

    disleksia.

    Program ini dimulakan dengan hanya tujuh orang murid dan dua orang guru sahaja. Subjek

    yang diajar ketika itu ialah Bahasa Malaysia sahaja. Kini program disleksia di sekolah ini

    mempunyai tiga puluh tiga orang murid dan empat orang guru yang mengajar subjek-subjek

    utama seperti Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik. Murid-murid disleksia mengikuti

    pembelajaran subjek-subjek lain di kelas arus perdana.

    Pelancaran rasmi program disleksia di Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan di Sekolah

    Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) pada 16 Jun 2004, oleh Yg. Bhg. Puan Hajah Siti

    Zaharah binti Mat Akib , Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas,

    Kementerian Pelajaran Malaysia.

    PROSES PENGAMBILAN MURID DISLEKSIA

    Murid-murid dikenalpasti oleh guru kelas atau guru subjek. Mereka terdiri daripada

    murid-murid yang gagal dalam PKSR 1 setelah mengikuti pendidikan di arus

    perdana selama enam bulan.

    Mereka di hantar ke kelas pemulihan khas selama empat bulan bagi mengikuti

    program tersebut dan melepasi ujian mode yang dijalankan.

    Sekiranya murid itu melepasi ujian mode yang diberikan oleh guru pemulihan, dia

    akan dirujuk kepada guru program disleksia.

    Guru program disleksia akan mengeluarkan satu salinan borang ISD (Instrumen

    Senarai Semak Disleksia) yang perlu diberikan kepada guru kelas untuk dibincang

    bersama guru subjek lain dan guru pemulihan.

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    3/13

    Borang ISD yang telah lengkap diisi akan dikembalikan kepada guru program

    disleksia untuk dinilai mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan

    Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Borang ISD beserta rumusan yang lengkap akan diserahkan kepada Penyelaras

    Pendidikan Khas dan Guru Besar , untuk diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga

    murid tersebut bagi mendapatkan pengesahan pengamal perubatan (iaitu dari

    Institut Pediatrik).

    Sementara menunggu pengesahan doktor, murid tersebut akan diberi Ujian

    Diagnostik oleh guru program disleksia bagi mengenalpasti kelemahan dan

    kekuatannya dalam akademik. Selain dari itu dia mengikuti sesi pelajaran di kelas

    biasa.

    Setelah murid itu disahkan sebagai disleksik ia akan terus mengikuti program

    disleksia. Jika bukan, ia akan dihantar ke kelas yang sepatutnya .

    PELAKSANAAN PROGRAM

    Kelas Inklusif Disleksia di SK Taman Tun Dr. Ismail (2) melaksanakan pengajaran Bahasa

    Malaysia sahaja kepada murid-murid yang tidak ada masalah dalam subjek lain. Mereka akan

    mengikuti pembelajaran semua subjek lain di kelas arus perdana.

    Manakala Kelas Khas Disleksia pula menerima murid-murid yang lemah dalam subjek Bahasa

    Malaysia, Sains dan Matematik. Subjek lain diikuti di kelas arus perdana.

    Jadual waktu bagi Kelas Inklusif dan Kelas Khas Disleksia diambil daripada kelas arus perdana

    , dengan kurikulum yang serupa. Yang berbeza ialah teknik pengajaran dan bahan-bahan yang

    guru gunakan untuk mengajar murid disleksia.

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    4/13

    MURID BERKEPERLUAN KHAS

    Murid berkeperluan khas adalah mereka yang istimewa dan perlukan pendekatan pengajaran

    dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Pada tahun 1977 satu peruntukan di

    bawah perlembagaan Amerika Syarikat (Public Law 94 142) diluluskan bagi mengiktiraf hak

    kanak-kanak Amerika yang mengalami masalah pembelajaran. Ia khusus bagi mendapatkan

    pemeriksaan serta kaedah yang bersesuaian bagi menangani masalah mereka. Dalam tahun

    1981 England dan Scotland meluluskan Akta Pendidikan yang menyatakan bahawa semua

    kanak-kanak yang mengalami apa jua jenis masalah pembelajaran wajar mendapat

    pemeriksaan dan bantuan yang sesuai dengan keperluan khas mereka.

    Di Malaysia, pendidikan murid berkeperluan khas diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan

    Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Secara umumnya disleksia merujuk kepada masalah

    persepsi dalam otak yang menyebabkan kesukaran membaca dan menulis bahasa. Murid

    disleksia sering tidak dapat membaca walaupun mereka mempunyai IQ yang tinggi atau sama

    dengan murid normal.

    APAKAH DISLEKSIA

    Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud kesukaran dan

    lexis yang bermaksud bahasa . Secara literalnya , disleksia bermaksud kesukaran dalam

    bahasa ( Ott, 1997). Kanak-kanak disleksia bukan sahaja menghadapi masalah dalam

    pembacaan, tetapi juga ejaan, penulisan serta beberapa aspek bahasa yang lain.

    Definisi operasional disleksia yang pertama dikeluarkan oleh World Federation of Neurology

    (1968). Menurut definisi itu, disleksia ialah : Suatu kecelaruan pada kanak-kanak di mana,

    meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal menguasai kemahiran

    bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual

    mereka .

    Seterusnya, definisi yang lebih terkini mengenai disleksia mengiktirafkannya sebagai suatu

    masalah kognitif (Thomson, 1984). Selain itu, disleksia diakui bukan sahaja menjejaskan

    ingatan dan konsentrasi seorang kanak-kanak, bahkan juga kemahiran pengurusan diri dan

    kadang kala turut mempengaruhi kebolehan matematik.

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    5/13

    Disleksia adalah masalah pembelajaran kronik dan bukan kerana lambat dalam penguasaan

    kemahiran asas literasi. Oleh yang demikian, ia melibatkan murid-murid di sekolah rendah,

    menengah, pengajian tinggi dan orang dewasa. Kajian menunjukkan 5 15 % murid-murid

    sekolah adalah disleksik, bererti ianya lebih kerap daripada penyakit lelah.

    Kementerian Pelajaran Malaysia mendefinasikan murid yang mengalami masalah pembelajaran

    disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-

    murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran

    membaca, mengeja dan menulis.

    Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Galaburda , susunan sel-sel otak seorang disleksia

    adalah berbeza daripada otak orang biasa. Apabila dilahirkan, manusia mewarisi gen daripada

    ibu bapanya. Oleh itu, masalah disleksia boleh dikatakan sebagai masalah keturunan. 88

    peratus daripada mereka yang mempunyai symptom disleksia mewarisi masalah itu daripada

    ahli keluarganya. 12 peratus lagi mendapat masalah ini daripada kemalangan iaitu ketika dalam

    kandungan atau pun selepas dilahirkan.

    Ahli penyelidik masih tidak dapat mengetahui bagaimana otak manusia berfungsi, tetapi sudah

    mengenal pasti fungsi beberapa kawasan otak yang tertentu. Walaupun setiap kawasan

    mempunyai fungsinya yang tersendiri, namun setiap kawasan di dalam otak adalah berkaitan

    antara satu sama lain.

    Otak kita dibahagikan kepada dua bahagian yang disambungkan dengan satu saraf yang

    panjangnya sepuluh sentimeter dan diameternya lima sentimeter. Saraf itu dikenali sebagai

    corpus callosum.

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    6/13

    Otak terdiri daripada dua hemisfera.

    Walaupun kedua belah otak kelihatan sama, setiap bahagian mempunyai tugasnya yang

    tersendiri. Bahagian kiri otak menguasai percakapan, kewarasan, dan merupakan bahagian

    yang lebih berkuasa daripada bahagian sebelah kanan (verbal, logical and controlling half).

    Manakala bahagian kanan pula menguasai perlakuan dan merupakan bahagian pemikiran

    bukan lisan, praktikal dan kebolehan memahami (non-verbal, practical and intuitive).

    Pandangan atas kawasan pemprosesan bahasa dalam kedua-dua

    hemisfera otak mereka yang normal (Hornsby, 1995)

    Manusia biasanya mempunyai bahagian pertuturan di sebelah kiri otak yang lebih besar

    daripada sebelah kanan otak. Ramai pakar percaya yang masalah disleksia timbul apabila

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    7/13

    kedua belah otak mempunyai bahagian bahasa yang sama besar. Punca utama masalah

    disleksia adalah disebabkan oleh sambungan antara kedua belah otak yang dipanggil corpus

    callosum . Corpus callosum boleh menjadi satu perjalanan isyarat saraf yang sesak dengan

    impuls saraf yang berulang-alik (confusing traffic jam of nerve signals). Contohnya, objek-objek

    yang padu seperti kerusi, meja, bola, tidak menimbulkan masalah kepada kanak-kanak

    disleksia kerana ianya bersifat tiga dimensi. Sebaliknya, huruf-huruf seperti b atau d boleh

    menimbulkan kekeliruan kepada mereka. Imej huruf ini akan dipindahkan dari hemisfera otak

    kiri ke hemisfera otak kanan silih berganti (berulang-alik), sambil otak cuba membuat keputusan

    samada ianya adalah b atau d . Pemindahan silih berganti ini menyebabkan laluan antara

    otak kiri dan kanan menjadi sesak dan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan

    kesan seperti imej cermin bagi huruf-huruf ini.

    Perbandingan isyarat saraf antara manusia normal dan mereka yang menghidap

    disleksia ( Hornsby, 1995 ).

    Gambar kiri: Pembaca normal mengaktifkan system saraf yang kebanyakannya

    terletak di belakang hemisfera kiri otak (bahagian yang gelap).

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    8/13

    Gambar kanan: Otak pembaca disleksia. Bahagian itu kurang diaktifkan , sebaliknya

    bahagian hadapan hemisfera kiri otak yang lebih aktif.

    Disleksia berlaku kerana terdapat perbezaan dalam struktur dan fungsi otak tetapi tidak dapat

    dipastikan apa yang sebenarnya punca masalah disleksia. Kita hanya tahu bahawa disleksia

    adalah satu masalah keturunan dan dapat dikaitkan dengan kromosom 6. Walau apa pun

    punca disleksia, kita sebagai guru harus menerima situasi ini dan menumpukan lebih perhatian

    terhadap murid kita yang mempunyai otak yang berlainan, yang berbakat dan produktif, tetapi

    perlu menggunakan kaedah belajar yang tersendiri.

    Perbandingan otak antara manusia normal dan mereka yang

    menghidap disleksia ( Shaywitz, 2002 ).

    Keletihan adalah satu masalah besar yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia. Ini kerana

    mereka terpaksa menumpukan sepenuh usaha belajar bersama rakan-rakan yang normal. Ini

    lazimnya membuatkan mereka amat letih dari segi mental dan fizikal setelah belajar seharian di

    sekolah.

    MASALAH FONOLOGI

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    9/13

    Pengkodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan bunyi. Secara

    ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan perkataan

    yang mempunyai bunyi yang hampir sama, seperti pasu dan paku. Mereka juga tidak dapat

    mendengar rima akhir yang sama dalam perkataan-perkataan. Contohnya, Jack and Jill went

    up the hill .Perkataan Jill dan hill tidak dapat di kesan oleh mereka sebagai perkataan yang

    bunyi akhirnya sama. Sebaliknya mereka akan menjawab Jackdan Jill .

    Ini juga bermakna mereka keliru dan sukar membezakan harga sesuatu barang dalam bahasa

    Inggeris , seperti antara fifty cents dan fifteen cents . Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh

    masalah pendengaran, sebaliknya berkaitan dengan pemprosesan maklumat di dalam otak

    (Farrer, 1996).

    Keprihatinan dan pengetahuan para guru mengenai masalah kanak-kanak disleksia sangat

    penting dalam usaha membantu mereka belajar. Umpamanya, kanak-kanak itu perlu diberi

    tempat duduk yang paling hadapan di dalam bilik darjah. Dengan cara ini , guru dapat

    memerhatikan kanak-kanak itu secara berterusan bagi memastikan arahan guru dapat diikuti

    dengan jelas. Misalnya, apabila guru mengarahkan murid-murid memerhati teks di muka surat

    32, kanak-kanak itu tidak tercari-carinya di halaman 23.

    MASALAH MENGINGAT PERKATAAN

    Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai IQ yang normal, malah sebahagian

    daripada mereka mempunyai kecerdasan luar biasa. Namun begitu , mereka mempunyai

    masalah dalam mencari semula perkataan. Ini bererti mereka tidak dapat menjawab soalan

    secara spontan. Mereka juga sering didapati mengalami kesukaran mengingati nama kawan-

    kawan dan anggota keluarga dan sering merujuk individu tersebut sebagai kawan saya di

    sekolah atau budak lelaki itu . Mereka sukar mengingati fakta-fakta yang telah mereka

    dengar. Seorang kanak-kanak disleksia mungkin dapat menghuraikan proses penyebarandalam subjek sains dengan panjang lebar, tetapi mereka mengalami kepayahan menyenaraikan

    contoh tumbuhan yang menggunakan angin sebagai mekanisma penyebaran. Selain itu, kanak-

    kanak disleksia juga cenderung menjadi kaku dan membisu apabila ditanyakan soalan.

    MASALAH PENYUSUNAN BERSIRI

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    10/13

    Kajian menunjukkan kanak-kanak disleksia sukar menyusun sesuatu secara bersiri, seperti

    susunan bulan dalam setahun , susunan hari dalam seminggu, susunan huruf , nombor dan

    ejaan-ejaan bagi perkataan-perkataan.

    MASALAH INGATAN JANGKA PENDEK

    Ingatan jangka pendek ataupun ingatan bekerja merujuk kepada stor di mana maklumat yang

    sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia didapati menghadapi masalah memproses

    maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan

    jangka panjang. Kesemua proses ini akan mengumpul maklumat di stor ingatan jangka pendek

    bagi digunakan pada masa itu. Ini bererti kanak-kanak disleksia tidak berupaya mengingati

    arahan-arahan panjang yang diberikan. Sebagai contoh, pelajaran membuat origami dalam

    subjek Pendidikan Seni, membuatkan mereka kehilangan punca kerana arahan yang terlalu

    panjang dalam aktiviti tersebut .

    Masalah yang serupa juga dihadapi oleh kanak-kanak disleksia apabila berhadapan dengan

    soalan aneka pilihan. Untuk memilih jawapan yang tepat, mereka perlu memegang satu soalan

    dan empat pilihan jawapan dalam stor ingatan bekerjanya. Ini merupakan masalah berat bagi

    mereka. Oleh kerana itu , mereka lebih berupaya menjawab dengan baik dalam soalan terbuka

    yang memberi ruang untuk mereka berfikir dan menulis jawapan yang dikehendaki.

    MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBAR

    Dalam tempoh menangani murid-murid disleksia selama dua tahun, berbagai pengalaman baru

    dan penemuan yang telah kami lalui. Mereka (murid-murid disleksia) yang lebih pintar sering

    mencari kaedah belajar cara mereka sendiri. Daya kreativiti mereka yang tinggi membolehkan

    mereka membuat pilihan cara mana mereka harus gunakan untuk memudahkan mereka

    belajar. Salah satu cara belajar yang akan saya kongsi bersama kali ini ialah cara muriddisleksia belajar mengeja perkataan-perkataan dengan menggunakan lakaran atau lukisan

    (gambar). Harus diambil ingatan bahawa tidak ada satu cara belajar yang salah atau betul

    untuk mereka gunakan. Sebaliknya mereka bebas memilih satu cara yang mereka boleh ikuti

    atau memudahkan mereka.

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    11/13

    Murid ini mengalami kesukaran untuk membina sukukata, apatah lagi mengeja perkataan.

    Kekuatan dalam kebolehannya ialah mendengar bunyi huruf. Dia cekap memilih perkataan bagi

    huruf awal yang ditentukan. Contohnya; m - mata

    b - bola

    t - tangga

    i - ikan

    s - sudu , dan seterusnya.

    Perkataan-perkataan yang dipilih selalunya terdiri daripada perkataan yang mudah untuk dilukis

    atau dilakar olehnya. Daripada lakaran gambar-gambar dia tafsirkan kepada huruf-huruf awal.

    Huruf-huruf tersebut dicantumkan, maka terbinalah perkataan yang ingin dieja.

    Penjelasan di atas mungkin dirasakan begitu rumit atau mengelirukan bagi kita, tapi hakikatnya,

    itulah cara yang digunakan oleh murid ini di peringkat permulaan beliau belajar mengeja,

    setelah gagal mengeja dengan cara biasa yang digunakan oleh murid-murid lain.

    Contoh cara ini digunakan:

    Perkataan yang perlu dieja ialah matahari.

    Bunyi huruf [m].....dia memilih mata

    [a]. api

    [t] . tangga

    [a]..api

    [h] .hujan

    [a]..api

    [r]rambutan

    [i].ikan

    Murid ini akan melukis gambar-gambar berdasarkan bunyi huruf-huruf dalam perkataan yang

    perlu dieja;

    mata, api, tangga, api, hujan, api, rambutan, ikan.

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    12/13

    [m] [a] [t] [a] [h] [a] [r] [i]

    Dicantumkan huruf-huruf awal bagi gambar-gambar yang dilukis, maka terbinalah

    perkataannya, m a t a h a r i.

    Murid ini menggunakan kaedah ini untuk mengeja selama beberapa bulan. Setelah mahir,

    dengan sendirinya dia tidak perlu lagi melukis, tetapi telah mampu menulis huruf yang

    dibunyikan. Kini dia berada di Tahun 5, dan menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan.

    Kunci kejayaan di sini ialah memberi fokus kepada kemajuan jangka pendek dalam sesi latihan

    dan ini mengekalkan motivasi dan membolehkan murid ini membina cara pembelajarannya

    sendiri. Akhirnya dia boleh mengeja dan membaca seperti mana murid-murid lain, dengan

    penuh rasa yakin pada diri sendiri.

    KANAK-KANAK DISLEKSIA TIDAK KESEORANGAN

    Terdapat ramai tokoh-tokoh terkenal dan berjaya yang diketahui menghidap disleksia, di

    antaranya ialah Leornado Da Vinci, Tom Cruise, Lee Kwan Yew, Walt Disney, John F.

    Kennedy, Albert Einstein, Winston Churchill, Pablo Picasso, Whoopi Goldberg, Richard

    Branson, Thomas Edison dan ramai lagi.

    HARAPAN

    Semoga murid-murid disleksia yang sedang kita didik sekarang adalah bakal tokoh-tokoh

    terkenal negara dan dunia di satu masa nanti.

    BIBLIOGRAFI

  • 8/7/2019 Murid Disleksia Belajar Mengeja Dengan Melakar PDF May 21 2008-10-58 Pm 425k

    13/13

    Carol Sullivan Spafford. George S. Grosser. Dyslexia Research and Resource Guide.

    Dr. Grant Martin. Help ! My Child Isnt Learning.

    Sylvia Edwards. David Fulton Publishers, London. Reading For All.

    Sylvia Edwards. David Fulton Publishers, London. Writing For All.

    Ann Berger. Implementing the Literacy Hour for People with Learning Difficulties.

    Biggar, S., & Barr, J. (1996). The Emotional World of Specific Learning Difficulties. In G. Reid

    (Ed.), Dimensions of Dyslexia. Volume 2. Literacy, Language and Learning.

    Flynn, J. M., & Rahbar, M. H. (1994). Prevalence of reading failure in boys compared with girls.

    Hornsby, B. (1995). Overcoming Dyslexia. London: Vermillon.

    Maklumat Pendidikan Khas . (2003). Jabatan Pendidikan Khas. Kementerian Pelajaran

    Malaysia.

    Maklumat Pendidikan Khas. (2006). Jabatan Pendidikan Khas. Kementerian Pelajaran

    Malaysia.

    Ott, P. (1997). How to Detect and Manage Dyslexia. A Reference and Resource Manual .

    London :Heinemann Educational Publishers.

    Raymond, S. (1997). Helping Children Cope with Dyslexia. London : Sheldon Press.

    Shaywitz, S. (2003). Overcoming Dyslexia. Alfred A. Knopf: New York.