38
KPT 6044 KAJIAN TINJAUAN MENGENAI KEBERKESANAN PENGGUNAAN KONSEP PERSEKITARAN PENGAJARAN MAYA FROG (FROG VLE) DI KALANGAN MURID SK HAJI MAHMUD CHEMOR, PERAK. OLEH: IDA NORINI BINTI MAHAMAD TAJUDIN NOMBOR MATRIK : M20121000502 KEPADA: PROF. MADYA DR. ABD LATIF BIN GAPOR TARIKH SERAHAN : 30 NOVEMBER 2013

Kajian Tinjauan Mengenai Keberkesanan Penggunaan Konsep Persekitaran Pengajaran Maya Frog (Frog Vle) Di Kalangan Murid Sk Haji Mahmud Chemor, Perak

Embed Size (px)

DESCRIPTION

pendidikan

Citation preview

KAJIAN TINJAUAN MENGENAI KEBERKESANAN PENGGUNAAN KONSEP PERSEKITARAN PENGAJARAN MAYA FROG (FROG VLE) DI KALANGAN MURID SK HAJI MAHMUD CHEMOR, PERAK.

2013KPT 6044

OLEH:IDA NORINI BINTI MAHAMAD TAJUDINNOMBOR MATRIK : M20121000502KEPADA:PROF. MADYA DR. ABD LATIF BIN GAPORTARIKH SERAHAN : 30 NOVEMBER 2013KAJIAN TINJAUAN MENGENAI KEBERKESANAN PENGGUNAAN KONSEP PERSEKITARAN PENGAJARAN MAYA FROG (FROG VLE) DI KALANGAN MURID SK HAJI MAHMUD CHEMOR, PERAK.

ISI KANDUNGANPENGHARGAAN3ABSTRAK41.0 PENDAHULUAN52.0LATAR BELAKANG2.1APA ITU PERSEKITARAN PEMBELAJARAN MAYA?62.2KONSEP DAN KOMPONEN ASAS VLE72.3PERBANDINGAN82.4APA ITU FROG VLE?93.0TINJAUAN ORGANISASI 104.0OBJEKTIF KAJIAN 145.0METODOLOGI KAJIAN 156.0DAPATAN KAJIAN 166.1 Berapa kali dalam seminggu penggunaan aplikasi ini?6.2Adakah ia sesuai dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah?6.3Apakah faedah atau kebaikan yang diperolehi ?6.4Apakah cabaran dan halangannya?

7.0PERBINCANGAN7.1PERUBAHAN KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 177.2APLIKASI FROG VLE DI SEKOLAH 208.0CADANGAN 239.0KESIMPULAN 24RUJUKANPENGHARGAAN

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang berkenaan kerana tugasan ini dapat disiapkan dengan jayanya. Jesteru saya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu dan menyokong saya dalam menyiapkan tugasan ini. Terima kasih kepada Allah yang memberikan kesihatan yang baik, masa dan kematangan fikiran sepanjang melaksanakan kajian dan menyiapkan kajian ini dalam bentuk sebegini rupa. Jutaan terima kasih kepada penyelia bagi kursus Kaedah Tinjauan KPT 6044 saya, Profesor Madya Dr. Abd Latif bin Gapor atas bimbingan, teguran dan nasihat yang begitu berguna.Penghargaan terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru Sekolah Kebangsaan Haji Mahmod Chemor, Perak kerana kerjasama anda dan tidak lupa juga kepada murid 4 Jaya tahun 2013 dari Sekolah Kebangsaan Haji Mahmod Chemor, Perak yang memberi kerjasama kepada cikgu untuk menjalankan kajian ini. Terima kasih juga di atas sokongan ahli keluarga dan kawan-kawan atas dorongan yang diberikan sepanjang tempoh menyiapkan kajian ini. Semoga anda mendapat rahmat dariNya. Amin.

IDA NORINI BINTI MAHAMAD TAJUDINNOVEMBER 2013

KAJIAN TINJAUAN MENGENAI KEBERKESANAN PENGGUNAAN KONSEP PERSEKITARAN PENGAJARAN MAYA FROG (FROG VLE) DI KALANGAN MURID SK HAJI MAHMUD CHEMOR, PERAK.

Ida Norini binti Mahamad Tajudin Fakulti Pendidikan dan Sumber Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris

ABSTRAKSelama berdekad lamanya teknologi telah menjadi sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran. Jenis teknologi dan kepentingannya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran telah menghadapi gelombang perubahan saban hari. Artikel ini bertujuan untuk melihat konsep pengajaran maya atau virtual learning yang bakal mengubah cara pembelajaran murid masa kini dan juga sedang diaplikasikan di SK Haji Mahmud Chemor, Perak serta seluruh sekolah-sekolah di Malaysia. Artikel ini akan mengupas berkenaan dengan definisi virtual learning environment atau persekitaran pembelajaran maya, komponen asas di dalam persekitaran pembelajaran maya, konsep pembelajaran persekitaran maya serta perbandingan antara pembelajaran tradisional dan pembelajaran maya. Pengkaji juga melalui teknik temubual dan pemerhatian ke atas kelas 4 Jaya yang terdiri daripada 32 murid akan melihat kesesuaian aplikasi ini ke atas mereka, faedah dan kebaikan yang diperolehi dengan menggunakan aplikasi ini serat cabaran dan halangan dalam penggunaan aplikasi ini. Kajian ini turut menyentuh cadangan boleh dipertimbangkan oleh kepimpinan sekolah dalam usaha untuk membangunkan dasar menyeluruh sekolah bagi tujuan pelaksanaan VLE. Ia juga memberikan rasional kenapa pembelajaran maya perlu dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia. Antara contoh aplikasi yang sedang diaplikasikan di sekolah-sekolah di Malaysia ialah Frog VLE yang bakal membuka minda orang ramai mengenai cara pembelajaran maya di dalam mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini akan menerangkan tentang aplikasi Frog VLE ini dan diharap kaedah ini dapat diperluaskan lagi di sekolah-sekolah agar ia dapat menyaingi perubah-perubahan pendidikan masa kini.

1.0PENDAHULUAN

Sejak kemunculan teknologi internet, ianya telah mengubah corak hidup komuniti dan masyarakat di seluruh dunia dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Penggunaan internet terus berkembang dari masa ke semasa. Di antara bidang yang turut berkembang dalam era internet ini ialah pembelajaran maya (virtual learning). Zaman teknologi maklumat dalam bidang pendidikan ini berkembang pesat selari dengan era globalisasinya. Ledakan teknologi dan perkembangan komunikasi menyebabkan wujudnya pelbagai konsep yang dihasilkan oleh banyak pihak yang boleh dimanfaatkan oleh warga pendidikan. Ini memberi impak yang besar kepada pendidikan masa kini khususnya sekolah dalam membantu meningkatkan prestasi kecemerlangan pelajar. Menurut KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012), setiap murid perlu mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan teknologi yang mencorak dunia masa kini, Sejajar dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah bekerjasama dengan 1BestariNet memperkenalkan Frog Virtual Learning Environment atau Frog VLE dan memperluaskan teknologi ini untuk meningkatkan tahap pendidikan dan melengkapkan murid dengan kemahiran sewajarnya. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama YTL Communicationsjuga telah menyediakan Internet 4G tanpa wayar berkelajuan tinggi berserta Frog VLE yang efektif ke semua sekolah di seluruh Malaysia.

Perkembangan baru ini telah mewujudkan persekitaran pembelajaran baru yang lebih fleksibel dari segi masa, tempat, kaedah dan bahan pembelajaran (Abu Bakar Nordin, 1991). Oleh yang demikian, tidak hairanlah di dalam sistem pendidikan pada hari ini menekankan pelajar dan juga warga pendidiknya supaya celik IT. Justeru, pada hari ini setiap sekolah di Malaysia perlu menggunakan aplikasi FROG VLE ini bagi tujuan memudahkan sistem PdP (Pengajaran dan Pembelajaran) di dalam bilik atau di luar waktu persekolahan.

Aplikasi ini boleh didefinisikan sebagai pintu gerbang (Ismail Din, 2003). Ia adalah pusat sehenti atau one stop center di mana pelajar boleh mendapatkan pelbagai bahan dan maklumat yang dikehendaki. Ia juga dirujuk kepada aplikasi e-pembelajaran dan pengajaran atau dikenali pembelajaran elektronik yang berasaskan web. Ia juga merupakan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang membawa satu senario pembelajaran yang mempunyai pelbagai aspek seperti perkongsian maklumat, interaktif , kandungan terkini dan kos interaktif.

2.0LATAR BELAKANG

2.1APA ITU PERSEKITARAN PEMBELAJARAN MAYA/ VIRTUAL LEARNING ENVIRONMENT (VLE)?Di Malaysia, pembelajaran maya bagi murid sekolah rendah adalah satu konsep pembelajaran yang baru tetapi di negara lain contohnya seperti di United Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Singapura ia sudah lama bertapak dan diamalkan. Menurut Rheingold (2004), persekitaran pembelajaran maya adalah berasaskan internet, yang dibina untuk menghubungkan ahli-ahli komuniti dan membolehkan mereka berbincang, berkerjasama dalam melakukan tugasan atau projek. Semua ahli komuniti yang terlibat dalam persekitaran pembelajaran maya mesti ada komputer dan boleh mengakses secara talian (on-line) dari mana-mana tempat. Ahli komuniti boleh terlibat secara aktif seperti bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan pada masa hadapan, berkongsi pandangan dalam perlaksanaan polisi tertentu atau berbincang tentang perkembangan tugasan mereka.

Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) bagaikan sebuah bilik darjah online dan ruang sosial di sekolah dan juga sebagai adalah sistem pembelajaran berteras laman web yang menyerupai pendidikan dunia realiti dengan menyatukan konsep maya dalam pendidikan konvensional. Ia mempunyai kalendar, laman sembang atau ruang forum (social network), ruang kerja (shared workspace) dan ruang penilaian (online assessment). Sebagai contoh, guru-guru boleh mengajar, menjalankan ujian dan menyemak kerja sekolah secara maya manakala pelajar boleh menghantar kerja sekolah dan melihat markah melalui VLE. Ibu bapa boleh berinteraksi dengan guru-guru, dan pihak sekolah boleh mengemas kini kalendar aktiviti sekolah dan memaparkan notis melalui Internet. VLE boleh diakses pada bila-bila masa, di mana saja adanya capaian Internet.Seterusnya Rheingold (2004), menyatakan bahawa di dalam persekitaran pembelajaran maya mestilah memberikan peluang yang banyak kepada setiap ahli komuniti, untuk mengakses bahan-bahan perbengkelan dan maklumat yang berkaitan dengan tajuk yang diberikan. Dokumen-dokumen seperti bahan persembahan, artikel dan juga senarai tambahan sumber yang boleh diperolehi secara on-line dari laman-laman web lain harus disertakan.

Pembelajaran maya seharusnya berlaku seperti pembelajaran biasa, di mana berlaku komunikasi dua hala di antara guru dengan murid dan di antara murid dengan murid yang lain. Namun yang membezakan ialah mereka tidak bertemu secara bersemuka tetapi bertemu di ruang maya. Seterusnya, di dalam pembelajaran maya juga ada proses pemantauan dan penilaian.

Pembelajaran seharusnya tidak berlaku hanya sehala sahaja iaitu pengajar memberikan bahan-bahan pengajaran dan pelajar menerima serta meluahkan semula melalui peperiksaan. Pembelajaran maya seharusnya lebih berfokuskan pelajar, di mana pelajar secara aktif menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan melalui penerokaan, perbincangan dan berfikir pada tahap tinggi.

2.2 KONSEP DAN KOMPONEN ASAS BAGI PERSEKITARAN PEMBELAJARAN MAYA

AKSES INTERNET

Terdapat tiga komponen asas di dalam persekitaran pembelajaran maya iaitu;

Sumber Bahan : Ahli komuniti atau peserta boleh mendapatkan maklumat dengan membaca melalui sumber pembelajaran yang di muat naik (uploaded) kepada persekitaran pembelajaran maya tersebut. Secara mudah, semua bahan yang diperlukan dalam perbengkelan atau perbincangan boleh diperolehi dan dibuat penilaian dengan mudah.

Perhubungan: Persekitaran Pembelajaran Maya menyediakan peralatan yang membolehkan perserta mendaftarkan diri untuk membimbing di antara satu sama lain dan untuk bertukar-tukar pendapat serta pandangan secara on-line. Peserta boleh menghantar dokumen, dan ahli yang lain boleh memberikan maklum balas melalui perbincangan dan sebagainya. Oleh itu peralatan seperti, Bulletin Board, E-Mail, File Sharing, Discussion Forum atau Kelas Maya adalah diperlukan. Alat komunikasi tersebut seharusnya berfungsi seperti pertemuan secara semuka di dalam persekitaran pembelajaran tradisional.

Fungsi Pentadbiran: Pendaftaran peserta adalah diperlukan untuk peserta menghantar maklumat tentang pengenalan mereka dan tugasan serta membolehkan mereka melihat dan menguruskan maklumat orang lain yang menyertai pembelajaran tersebut.

2.3PERBANDINGAN ANTARA PENGAJARAN TRADISIONAL DAN PENGAJARAN MAYA Di dalam kelas tradisional, suasana pembelajaran adalah berpusatkan guru. Guru dianggap sebagai orang yang serba tahu untuk menyalurkan ilmu pengetahuan kepada muridnya. Modul pengajaran hanya bergantung kepada buku teks dan pengetahuan murid terbatas setakat kandungan dalam buku teks sahaja. Selain itu, sekiranya murid tidak faham di dalam kelas dan malu bertanya maka murid tersebut akan kekal tidak memahami isi pelajaran yang diajar. Perhatian guru kurang dapat diberikan secara individu kerana bilangan murid yang ramai di dalam kelas. Jika kelas dipecahkan, bilangan guru perlu ditambah. Penyampaian isi pelajaran bergantung kepada guru untuk mewujudkan persekitaran belajar yang menarik dan menyeronokkan. Pengajaran & pembelajaran hanya dijalankan secara formal iaitu di dalam bilik darjah.

Di dalam pembelajaran maya fokus utamanya adalah murid. Suasana pembelajaran ini akan memaksa pelajar menjadi berdikari dan lebih aktif dalam pembelajarannya kerana murid boleh berbincang dengan guru atau rakan mereka secara maya. Pelajar tidak perlu rasa malu untuk mengulangi tajuk pembelajaran yang sama untuk mencapai tahap kepuasan pemahaman mereka sebelum beralih ke tajuk pelajaran yang lain. Selain itu, masa lebih fleksibel dan kurang tekanan kerana ianya boleh dilakukan di mana sahaja asalkan ada kemudahan komputer dan internet.

2.4APA ITU FROG VLE?

Frog adalah VLE yang dipilih bagi projek 1BestariNet. Frog mempunyai fungsi sebagai komuniti pembelajaran bagi seluruh warga sekolah. Kemudahan ini dibangunkan secara berperingkat mulai Disember 2011 dan semua sekolah rendah kerajaan dijangka menerima akses Internet dan VLE pada pertengahan tahun 2013. VLEyang telah dilancarkan pada Mac 2012 ini akan terus dilakukan secara berperingkat. Setiap sekolah akan diberi akses VLE selepas latihan dijalankan kepada setiap guru dan seterusnya kepada murid. Banyak sekolah-sekolah di negara maju telah mengaplikasikan Frog VLE ini di dalam pentadbiran dan pengajaran sekolah mereka. Aplikasi ini juga menjadi pemenang untuk Education Investor Awards 2012 bagi aplikasi pembelajaran maya terbaik pada tahun ini. Sekolah-sekolah ini dipanggil 'model technology schools' seperti Grove Junior and Infant School di Handsworth, UK di mana pengajaran dan pembelajaran maya telah dijalankan dengan jayanya untuk matapelajaran bahasa dan matapelajaran lain-lainya. Sekolah-sekolah ini menjalankan pengajaran dan pembelajaran berbentuk maya telah menjadi ikutan dan dipraktikan oleh sekolah lain. Di dalam sistem pendidikan di negara kita pengajaran dan pembelajaran maya ini baru mula dipraktikkan. Frog VLE adalah platform berteras cloud yang fleksibel dan boleh diakses di mana-mana jua dari luar kawasan sekolah juga. Fail dan data yang disimpan di cloud boleh diakses dimana-mana sahaja dan bila-bila masa dengan capaian Internet.

3.0TINJAUAN ORGANISASIKajian tinjauan yang dipilih adalah di sebuah sekolah iaitu SK Haji Mahmud Chemor, Perak atau lebih dikenali sebagai SKHMC. Seramai 32 orang pelajar dari kelas 4 Jaya iaitu kelas pertengahan yang terdiri dari 30 orang murid Melayu dan 2 orang murid India. Sekolah ini juga telah menetapkan misi dan visi untuk meningkatkan kecemerlangan dan antaranya adalah peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Salah satu usaha yang dijalankan untuk peningkatan kualiti ini adalah dengan melihat keberkesanan aplikasi laman web interaktif iaitu FROG VLE di kalangan murid 4 Jaya SK Haji Mahmud Chemor,

Saya telah meminta murid untuk membina dashboard mereka sendiri di dalam aplikasi FROG VLE. Saya juga telah memberi latihan ke dalam laman web interaktif FROG VLE ini untuk menghubungkan guru dan murid secara maya. Di sini, guru menyediakan nota serta soalan dan murid menjalankan latihan secara maya atau online pada bila-bila masa. Di samping itu, murid boleh berinteraksi dengan guru secara langsung di dalam aplikasi ini. Aplikasi ini secara tidak langsung memberi satu era baru dalam meningkatkan percambahan minda pelajar yang tidak terhad kepada bacaan buku semata dalam menajam ilmu pengetahuan bagi menjana daya intektual mereka.

Sebelum memulakan aplikasi ini, pelajar diberi ID log masuk (password) peribadi sendiri dan akses percuma ke VLE setiap kali log masuk ke Frog VLE. Mereka akan mendaftar di laman web FROG VLE yang telah didaftarkan oleh sekolah. Bagi sekolah SK Haji Mahmud Chemor, alamat laman web FROG VLE ialah http://aba2008.1bestarinet.net. Selepas pendaftaran, murid akan mempunyai laman sendiri atau My Dashboard iaitu halaman pertama yang akan ditemui selepas log masuk ke dalam Frog VLE.

Halaman ini boleh diubahsuai untuk memaparkan kalendar sekolah, RSS Feeds, atau notifikasi. Murid boleh menggunakan Widgets untuk mengubah rupa dan kandungan Dashboard mengikut kesesuaian di mana murid boleh memilih senarai yang ada untuk menetapkan latarbelakang Frog VLE atau memuat naik imej sendiri.

Sekolah-sekolah akan dilengkapi dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran dijalankan di Internet menerusi Frog VLE. Persekitaran Pembelajaran Maya Frog, atau lebih dikenali sebagai Frog VLE ini juga ialah satu sistem pembelajaran berdasarkan jaringan yang menyerupai pembelajaran dunia sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.Terdapat 16 pautan dalam ruangan utama Frog VLE seperti:

Assignments School Dashboard Booking CalendarCommunity Department Sites Lesson Resources FrogstoreForums The Pond School Documents My Documents Sites E-Mail Resource Manager My Dashboard Calendar

Guru boleh mengakses segala-galanya yang mereka perlukan dalam sehari dengan beberapa klik sahaja di mana Frog VLE ini menghubungkan semua sistem sekolah bersama-sama. Sekolah-sekolah akan dilengkapi capaian Internet, membolehkan akses ke VLE yang bertaraf dunia. Ini merupakan sumbangan progresif ke arah pendidikan berteras teknologi Internet untuk pengajaran dan pembelajaran berkesan serta memudahkan pengurusan pentadbiran sekolah. Walaupun murid secara mudahnya dapat mengakses maklumat dari internet, tetapi kandungan Internet juga ditapis secara terus di sekolah bagi menggalakkan persekitaran pembelajaran selamat, di mana akses murid ke laman web berunsur negatif akan disekat. Hanya laman web ilmiah yang disahkan oleh KPM akan disenarai putih dan dibenarkan melepasi tapisan kandungan.

21

4.0OBJEKTIF KAJIAN

Pembelajaran maya membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan dengan lebih berkesan. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang dirancang, disediakan secara profesional dan baik dengan mengunakan ciri-ciri multimedia yang berupaya menyampaikan isi pelajaran dengan berkesan dan menarik. SK Haji Mahmud Chemor, Perak menetapkan beberapa objektif dalam pelaksanaan aplikasi FROG VLE ini. Antaranya ialah:

a. Meningkatkan kemahiran ICT di kalangan guru-guru.b. Mewujudkan minat di kalangan guru dalam bidang ICT melalui penyampaian dalam laman sesawang antara sekolah dan ibu bapa. c. Meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dua hala di luar dan di dalam waktu persekolahan antara guru, murid dan ibu bapa.

5.0 METODOLOGI KAJIAN

Di dalam kajian ini, kaedah yang digunakan adalah secara temubual dan pemerhatian. Temubual dibuat dengan 32 orang pelajar dari 4 Jaya di Haji Mahmud Chemor, Perak. Berdasarkan kepada temubual dan pemerhatian tersebut, kajian ini menumpukan kepada beberapa persoalan.

1. Berapa kali dalam seminggu penggunaan laman aplikasi ini?2. Adakah ia sesuai dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah ini?3. Apakah faedah atau kebaikan yang diperolehi dengan menggunakan aplikasi ini?4. Apakah cabaran dan halangan dalam penggunaan aplikasi ini?

6.0 DAPATAN KAJIAN

6.1Berapa kali dalam seminggu penggunaan aplikasi ini?

Tinjauan mendapati bahawa pelajar jarang menggunakan aplikasi ini memandangkan jumlah minit matapelajaran yang lain menghadkan kekerapan mereka ke makmal komputer. Kesemua daripada murid ini iaitu sebanyak 100% sangat suka ke makmal komputer kerana mereka dapat satu suasana pembelajaran yang baru. Daripada pemerhatian guru juga, murid sangat teruja apabila dapat memasuki makmal komputer dan menggunakan aplikasi ini.

Selain itu juga kekurangan alatan komputer juga adalah faktor yang menyebabkan pelajar jarang menggunakannya. Hanya sebanyak 40 biji komputer sahaja di SK Haji Mahmud Chemor iaitu 20 komputer dari makmal A dan 20 komputer lagi di makmal B. 95 % daripada murid ini menyatakan bahawa mereka akan memasuki makmal komputer hanya 2 minggu sekali dan 5% lagi seminggu sekali. Ini kerana guru mendapati 5% dari 32 orang murid ini adalah ahli Kelab Komputer. Mereka terpaksa menunggu giliran mereka untuk memasuki makmal komputer tersebut memandangkan terdapat murid yang ramai di SK Haji Mahmud Chemor iaitu sebanyak 745 orang murid di sesi pagi.

Bagi mengakses aplikasi FROG VLE ini, murid hanya tertumpu di sekolah dan waktu sesi persekolahan sahaja. Ini adalah di sebabkan sebilangan murid akan menggunakan jaringan internet YES di sekolah untuk mengakses aplikasi FROG VLE. Sebilangan besar keluarga murid di SK Haji Mahmud Chemor mempunyai pendapatan perkapita tahunan yang sederhana dan rendah. Justeru untuk melanggan talian internet yang mempunyai pelbagai pakej menjadi beban kepada sara hidup mereka. Maka yang demikian murid hanya boleh tertumpu di pusat-pusat siber dengan waktu yang terhad untuk menggunakan rangkaian internet di luar waktu sekolah dengan kos yang murah bagi mereka.

6.2Adakah ia sesuai dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah?

Keseluruhan 32 orang dari murid 4 Jaya ini amat bersetuju bahawa penggunaan aplikasi ini amat sesuai dalam proses pembelajaran dan pengajaran selari dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin canggih. Malah mereka berharap penggunaannya dapat diperluaskan dan dikemaskini agar lebih menarik, efisen dan mudah guna.

6.3Apakah faedah atau kebaikan yang diperolehi dengan menggunakan aplikasi ini?

Antara kebaikan aplikasi ini kepada pelajar ialah pelajar boleh membuat latihan yang diberikan melalui online di rumah. Pembelajaran di dalam kelas terikat dengan waktu yang singkat menyebabkan pelajar menjalankan proses pembelajaran dengan memahami apa yang hendak disampaikan oleh guru. Oleh itu penggunaan aplikasi ini dapat memudahkan pelajar membuat latihan mereka selepas waktu pembelajaran. Murid juga dapat meningkakan kemahiran menggunakan pembelajaran secara online/maya serta menjadikan pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Di samping itu, murid dapat mengetahui perkembangan semasa di dalam PdP yang dimuat naik oleh guru walaupun semasa cuti sekolah. Murid juga boleh menyumbang dan berkongsi idea dan ilmu kepada rakan yang lain sebagai bentuk komunikasi dua hala melalui perkongsian ilmu ini.

Secara tidak langsung, aplikasi ini akan dijadikan sebagai satu aplikasi rekreasi minda yang berfaedah dalam pautan dan jaringan aplikasi ilmiah lain. Murid juga berpeluang untuk meluahkan kreativiti mereka dalam membina laman web yang interaktif dan menarik.

6.4Apakah cabaran dan halangan dalam penggunaan aplikasi ini?

Pembinaan dan pemacuan aplikasi ini adalah bertujuan untuk memudahkan murid dalam merasai suatu pembelajaran yang baru. Akan tetapi sebilangan besar murid tidak mahu mengambil kesempatan kemudahan ini untuk meningkatkan daya intelektual mereka. Sikap malas dan ingin mencuba untuk memajukan diri dalam bidang ilmu adalah antara faktor portal ini tidak dilawati dan di manfaatkan. Walaupun guru telah mewarwarkan kewujudan aplikasi ini, hanya sebahagian sahaja yang berminat untuk memanfaatkannya dan sebahagian yang lain memandangnya sepi.

7.0 PERBINCANGAN

7.1PERUBAHAN KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH

Pengajaran secara maya ini akan mengubah secara keseluruhannya pengkaedahan pengajaran di sekolah. Pengajaran dan pembelajaran bagi setiap subjek di sekolah dapat dipraktikkan secara interaktif dan koloboratif, bentuk pengajaran akan dapat menghasilkan pelajar yang sentiasa melakukan eksperimen, mengaplikasi pengetahuan dan pengalaman serta dapat membuka fikiran secara kreatif dan kritis. Faktor-faktor yang mengalami perubahan apabila pengajaran maya ini diaplikasikan di dalam pengajaran di sekolah adalah seperti berikut:

Faktor pertama ialah bentuk interaksi. Pengajaran secara maya akan dapat membantu interaksi pelajar lebih interaktif dan spontan. Soalan-soalan yang terkandung di dalam perisian-perisian kursusdan melalui talian internet mempunyai maklumbalas yang tepat dan cepat. Ini kerana, murid boleh membuat perbincangan dengan guru dan rakan tanpa perlu menunggu keesokan harinya untuk bertanya. Faktor kedua ialah bentuk bahan pengajaran dan pembelajaran boleh diprogramkan di dalam bentuk multimedia. Bahan maklumat disampaikan secara data, teks, imej, video, animasi, bunyi, dan suara. Kemudahan multimedia ini membuatkan teks yang dibaca lebih menghiburkan dan seronok kerana ianya disampaikan dengan animasi dan bunyi. Kaedah ini membantu situasi pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan hidup. Penerangan sesuatu konsep, prinsip, dan fakta dapat dilakukan dengan lebih mudah, berkesan, dan menarik dengan kemudahan multimedia. Penggunaan teknologi maklumat dapat membantu membawa alam kehidupan ke dalam bilik darjah dan menjadikan proses pembelajaran lebih realistik. Guru-guru dan pelajar juga didedahkan kepada satu himpunan ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pendidikan. Faktor ketiga ialah aktiviti kelas lebih berpusatkan kepada pelajar. Setiap pelajar dapat mengimbangi pembelajaran masing-masing dari kecepatan, kemahiran, tahap eksperimen dan tahap latihan. Dari segi kecepatan, pelajar boleh melambatkan atau mempercepatkan pelajaran sesuai dengan tahap kefahaman dan kelajuan pembelajaran masing-masing. Dari segi kemahiran, pelajar boleh memilih pelajaran sesuai dengan tahap kemahiran mereka iaitu asas, pertengahan atau pengukuhan dan pengkayaan (mahir). Pelajar yang mahir mungkin tidak perlu melaku latihan peringkat asas dan terus melakukan latihan di peringkat pengukuhan dan pengkayaan. Begitu juga sebaliknya pelajar yang lemah perlu menumpukan latihan di peringkat asas. Dari segi latihan pula, pelajar boleh membuat latihan berulang kali atau membuat cubaan menjawab berulang-ulang tanpa merasa malu dan rendah diri jika membuat kesilapan. Pelajaran yang diulang-ulang juga tidak berubah dari segi mutu penyampaiannya. Faktor keempat ialah cara pembelajaran boleh dijalankan di dalam bentuk pembelajaran kendiri. Pembelajaran yang menggunakan kaedah teknologi maklumat akan menjadikan sesi pembelajaran boleh dijalankan di mana-mana sahaja dan tidak tertumpu di dalam kelas yang formal atau di dalam makmal komputer. Pelajar boleh mengikuti pelajaran di rumah, di perpustakaan atau di tempat-tempat lain yang menyediakan perkakasan yang sesuai dan talian internet di dalam suasana yang kondusif untuk pembelajran mereka. Waktu pembelajaran juga tidak terbatas. Dominasi guru dapat dikurangkan dan ini akan membantu pelajar-pelajar yang malu untuk berinteraksi dan memberi maklum balas di dalam kelas akan merasa lebih selesa berbuat demikian dengan komputer. Faktor kelima ialah dari segi pengurusan kelas. Penggunaan teknologi maklumat membolehkan interaksi pelajar dan guru berlaku samada di luar bilik darjah dan di luar waktu pengajaran. Pelajar, guru, dan pentadbir sekolah boleh berinteraksi dengan mudah dan selesa melalui penggunaan internet di waktu sekolah dan di luar sekolah. Di bidang pentadbiran, pentadbiran sekolah boleh mengendalikan maklumat dan aktiviti guru serta pelajar melalui komputer dengan lebih cekap untuk membantu pengajaran dan pembelajaran. Justeru itu, guru-guru adalah perlu lebih peka dan sentiasa bersedia untuk menggunakan teknologi maklumat ini supaya tidak ketinggalan dengan era baru pendidikan ini. Guru-guru juga harus berani dalam menggunakan aplikasi pembelajaran maya ini yang sedang diperkenalkan ini agar pengajaran dan pembelajaran dapat berkembang dan bergerak searah dengan perkembangan teknologi maklumat ini.

7.2APLIKASI FROG VLE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH RENDAH

Frog VLE yang merupakan satu teknologi pembelajaran maya dipercayai amat berpotensi untuk digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran.Berikut merupakan fungsi pautan-pautan yang terdapat dalam Frog VLE untuk diaplikasikan oleh murid dan guru :

Aplikasi Assignments membenarkan guru memberi, menyemak, mengulas, dan mengubah tugasan telah sediakan kepada murid. Setelah satu Site untuk tugasan telah dihasilkan, ia dapat dihantar kepada murid sebagai tugasan melalui proses yang mudah. Guru boleh memberi kerja rumah kepada murid secara individu ataupun berkumpulan dan mengikut tahap murid tersebut. Ini memberikan murid bantuan yang berterusan yang dapat memastikan kualiti tugasan yang lebih baik. Apabila murid sudah menyiapkan dan menghantar tugasan, ia akan dipulangkan ke kawasan Assignments supaya guru boleh menyemak dan memberi komen serta markah. Murid tidak perlu untuk menunggu pada keesokan harinya untuk menghantar tugasan kepada guru. Sebagai contoh, jika guru Bahasa Inggeris telah mengajar grammar di sekolah dan memberi tugasan untuk disiapkan, murid boleh mengulangkaji topik tersebut dan menyiapkan tugasan apabila sekembalinya mereka ke rumah.

Walaupun murid tersebut berada di luar kawasan rumah, murid tetap akan dapat mengulangkaji topik tersebut tanpa perlu bersusah payah untuk membawa buku rujukan mereka ke mana-mana. Jika terdapat permasalahan bagi topik tersebut, murid boleh berbincang dengan guru mahupun rakan-rakan secara maya. Selain daripada itu, murid juga dapat menyiapkan kerja rumah yang diberikan dengan hanya melalui Frog VLE sahaja. Perhubungan ini boleh membantu murid menyelesaikan masalah dengan mudah dan pantas yang secara tidak langsung akan meningkatkan gred bagi subjek Bahasa Inggeris. Mengikut kajian di United Kingdom, Frog VLE ini dapat meningkatkan gred kerana murid boleh belajar mengikut jadual mereka sendiri di rumah.

Calendar membolehkan murid dan guru mengurus semua aktiviti mereka. Pihak pentadbir dan guru serta murid boleh berkongsi kalendar dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka di mana ia boleh dihasil dan dikongsikan secara umum atau tertutup. Contohnya, sebarang informasi tentang aktiviti persatuan dan kelab seperti Persatuan Doktor Muda atau Kelab Komputer akan dimasukkan ke dalam kalendar oleh pihak pentadbir dan guru. Sebarang perubahan tentang lokasi perjumpaan dan nota boleh dimaklumkan dengan segera.

Booking Calendar pula membenarkan guru untuk menempah sebagai contoh makmal sains, makmal komputer atau pusat sumber sekolah. Sekiranya tempahan makmal atau pusat sumber telah dibuat, Frog VLE tidak akan membenarkan pengguna lain menempah tempat tersebut pada masa dan tarikh yang sama. Ini memudahkan guru untuk merancang pengajaran dan masa mereka ke tempat-tempat tersebut. Community Site adalah satu portal yang berdasarkan konsep berkumpulan di mana guru-guru boleh mendapatkan soalan-soalan lazim, dokumentasi dan video berkaitan pendidikan. Community Site ini memudahkan guru mencari maklumat dan video untuk mengajar topik yang agak sukar dan memerlukan penerangan yang terperinci. Ia juga mempunyai ruangan forum untuk guru membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan subjek ini. Para guru boleh mencari kumpulan dan menyertai mana-mana kumpulan di dalam dan luar negara yang menggunakan Frog VLE yang dipaparkan pada hasil carian. Secara tidak langsung guru boleh berbincang dan melihat bagaimana subjek-subjek yang diajar guru diajar di sekolah di negara lain.

Department Site atau Laman Bidang memaparkan notis aluan, carta organisasi, markah peperiksaan, dan notis-notis lain yang berkaitan. Murid juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan seperti maklumat kurikulum, galeri video, laman profil guru, panduan ulangkaji, soalan tahun lepas dan lain-lain di dalam Laman Bidang.

Fail-fail dalam Lesson Resources mengandungi semua sumber pengajaran dan pembelajaran untuk sekolah. Fail yang digunakan guru semasa pengajaran akan dimuat naik ke dalam Lesson Resources. Ruangan ini juga boleh digunakan untuk memberi akses kepada sumber-sumber tertentu kepada guru-guru yang lain. Dokumen-dokumen ini terdiri daripada fail dengan format zip, MS Word, Excel, PDF, video MP4 atau fail audio.

Frog Store adalah stor dalam talian yang mengandungi aplikasi dan sumber untuk digunakan dalam VLE. Pengguna Frog VLE boleh mencari kandungan seperti imej dan video untuk digunakan dalam Site.

Forums memaparkan forum sekolah atau maklumat tentang hal berkaitan pendidikan yang dihantar oleh pihak pentadbir kepada para guru dan pelajar. Setiap maklumat mempunyai tarikh yang membolehkan guru menyemak topik perbincangan dan mengetahui individu mana yang memberi sumbangan kepada topik tersebut. Pencipta forum dapat mengawal semua topik, akses dan tetapan.

The Pond yang ditubuhkan khusus untuk murid ini membolehkan murid berkongsi idea yang hebat bersama dengan pengguna Frog VLE yang lain. Segala tip dan idea untuk menggunakan Frog VLE dengan berkesan boleh didapati dari The Pond.

Ruangan Documents pula adalah ruangan untuk murid menyimpan segala fail dan nota bagi subjek Sains dan Teknologi. Ini memudahkan murid untuk mencapai nota dan sumber pembelajaran mereka terutamanya jika mereka hendak membuat ulangkaji atau rujukan.

Sites adalah halaman-halaman yang telah dihasilkan di dalam VLE oleh pencipta laman Frog VLE. Laman-laman ini boleh diberi tag dengan memilih kata kunci untuk membolehkan pencarian dengan mudah dan untuk memudahkan pembahagian kategori. Laman yang dihasilkan akan disenaraikan di bahagian My Sites pada Resource Manager. Laman yang mempunyai tag nama mata pelajaran yang spesifik akan muncul dalam kategori Subject Sites. Guru dan murid boleh melihat sebarang maklumat tentang subjek di dalam Subject Sites yang dimasukkan oleh pencipta laman.

Setiap pengguna yang memiliki akaun Frog VLE mempunyai akses ke emel sendiri. Emel boleh dihantar dan diterima ke pengguna lain, bukan sahaja antara di sekolah tetapi di mana-mana sahaja. Guru dan murid boleh berkomunikasi dan menghantar fail secara peribadi melalui e-mail. Sekiranya murid ingin menghubungi guru mengenai tugasan misalnya, untuk pemahaman lanjut berkenaan dengan tugasan atau memohon supaya guru memberi lebih masa, pelajar boleh menghantar emel kepada guru.

Aspek rangkaian sosial platform pembelajaran ini membolehkan guru-guru untuk berkongsi sumber dengan murid mereka dari rumah. Jika pelajar mempunyai soalan mengenai kerja rumah mereka, mereka boleh menghantar mesej kepada guru mereka dalam persekitaran yang selamat dan terjamin. Murid yang tidak sentiasa mempunyai keyakinan untuk bercakap di dalam kelas dan bertanya soalan boleh berbual kepada guru-guru melalui Frog VLE. Penglibatan aktif dan interaksi adalah merupakan elemen yang penting dalam pembelajaran berkesan (Heinich et al.,2000).

8.0CADANGAN

Beberapa langkah boleh dipertimbangkan oleh kepimpinan sekolah dalam usaha untuk membangunkan dasar menyeluruh sekolah bagi tujuan pelaksanaan VLE.

Pertama, pentadbir sekolah perlu jelas tentang matlamat pelaksanaan persekitaran pembelajaran maya. Matlamat tersebut mestilah praktikal yang boleh dicapai dan boleh mengatasi masalah berhubung pembelajaran dan pengajaran.

Kedua, pelan pelaksanaan yang melibatkan kesemua warga, aktiviti, dan ibu bapa perlu dibangunkan.

Ketiga, program peningkatan kemahiran perlu diatur untuk memastikan bukan guru yang berminat dan berkemahiran sahaja yang aktif dalam pelaksanaan.

Keempat, pemantauan perlu dijalankan. Perlantikan pasukan yang boleh membantu dalam strategi pemantauan adalah mustahak agar pentadbir mendapat sokongan dan maklumbalas dari pengguna.

Kelima, maklumbalas berhubung pelaksanaan patut dikumpulkan dan dinilai bagi tujuan pembaikan.

Keenam, menilai semula pelan berdasarkan maklumbalas dan memperbaiki strategi pelaksanaan.Jelas sekali, peranan kepimpinan sekolah adalah penting dalam memastikan kejayaan dasar menyeluruh sekolah bagi program persekitan pembelajaran maya.

9.0KESIMPULAN

Pengajaran Maya dapat menyediakan suasana pembelajaran yang kaya media, interaktif, menyokong pembelajaran pengalaman dan dapat memautkan pelajar dengan konteks pembelajaran. Persekitaran pembelajaran maya menawarkan lebih banyak kelebihan berbanding teknologi multimedia lain seperti video. Perkembangan teknologi maklumat yang membolehkan lebih banyak komputer dipasang di sekolah mewujudkan suasana kondusif untuk mengintegrasikan realiti maya dalam pembelajaran. Penyediaan kemudahan Internet dan rangkaian tanpa wayar meningkatkan ruang dan peluang penerapan realiti maya dalam pembelajaran.

Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) menawarkan sekolah beberapafaedah, seperti akses pada bila-bila masa, di mana-mana, memberi motivasi yang lebih baik, akses kepada gaya pembelajaran yang lebih tinggi, membentuk peluang untuk pembelajaran kendiri di kalangan pelajar , konsep integrasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih baik dan meningkatkan penglibatan ibu bapa (Becta 2004). Dengan aplikasi Frog VLE di sekolah-sekolah di Malaysia akan mampu menjadi contoh untuk sekolah-sekolah lain.

Penggunaan Frog VLE mampu meningkatkan pencapaian pelajar lemah dan meningkatkan kefahaman dalam topik yang sukar dan kompleks. Konsep pembelajaran maya ini juga diperkenalkan untuk membolehkan seorang murid berbincang dengan seorang murid yang lain atau melakukan perbincangan berkumpulan berkaitan subjek Sains dan Teknologi. Mereka boleh berbincang dan memberi pendapat tentang kerja rumah yang diberikan oleh guru. Sama seperti di dalam kelas, murid-murid akan menerima maklum balas segera terhadap kemajuan mereka dan cubaan soalan mereka.

VLE ini juga menyediakan ciri-ciri yang sama walaupun murid berada di rumah, murid akan diberi peluang untuk mencuba soalan yang telah dilakukan di sekolah dan mencubanya di rumah. Di sini, murid berpeluang untuk belajar dari kesilapan dan membuat ulangkaji di rumah. Ibu bapa juga berpeluang bersuara dengan melibatkan mereka dengan pembelajaran anak mereka. Mereka akan diberikan akses kepada laporan kehadiran dan tingkah laku dan memaklumkan kepada mereka dengan makluman dari pihak sekolah.

Kerjasama antara sekolah-sekolah boleh membantu ke arah meningkatkan lagi jumlah sekolah yang melaksanakan program perintegrasian ICT yang menyeluruh. Projek yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ini akan mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia. Inisiatif kerajaan ini bakal menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang dilengkapi akses Internet mudah alih 4G dan VLE sedia ada di semua sekolah seluruh Malaysia.

Pada pendapat saya, persekitaran pembelajaran maya (VLE) akan terus mendapat tempat kerana pengetahuan dan kebolehan pelajar menggunakan internet juga semakin meningkat. Ini kerana, kebanyakan pelajar boleh mengakses internet melalui komputer di sekolah dan di rumah mereka.

RUJUKAN

FrogAsia (2012). Gambaran Keseluruhan Frog VLE, Manual Pengguna (Guru, Frog VLE Overview (User: Staff), Malaysia: FrogAsia Training

1BestariNet, YTL Communications Sdn. Bhd. (2012). Frog VLE. Dicapai pada 4 Nov, 2012, dari http://www.frogasia.com/v2/

FrogTrade Ltd, Dean Clough, Halifax. (2011). Frog Learning Platform, The UKs Most Advanced Learning Platform. Dicapai pada 10 Nov, 2012, dari http://www.frogteacher.com/

Rheingold, H. (2004), Virtual Learning Enviroment (VLE). Dicapai pada 10 Nov, 2012, dari http://www.thefeature.com/articleid=100499&ref=2337881

FrogAsia. (2012). Video Gambaran Keseluruhan Frog VLE untuk Pelajar: Dicapai pada 14 Nov, 2012, dari http://www.youtube.com/watch?v=DB_sX17LGuI

Peg Saragina (1999), Creating a Virtual Learning, Dicapai pada 23 Nov, 2012, dari http://leahi.kcc.hawaii.edu/org/tcon99/papers/saragina.html