GEOMORFOLOGI PINGGIR PANTAI

Embed Size (px)

Citation preview

GEOMORFOLOGI PINGGIR PANTAI

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KELANDAIAN DAN KECURAMAN CERUN PANTAI

TERDAPATPELBAGAI FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KECURAMAN DAN KELANDAIAN SESEBUAH PANTAI. KEADAAN PROFIL PANTAI YANG CURAM ATAU LANDAI JUGA BOLEH BERUBAH-UBAH MENGIKUT MASA. KECERUNAN PANTAI TIDAK KEKAL SESUAI DENGAN PANTAI ITU SENDIRI YANG DINAMIK SIFATNYA. DI ANTARA SEBAB-SEBAB ADA PANTAI YANG CURAM DAN LANDAI IALAH :

KEPELBAGAIAN JENIS DAN SAIZ BAHAN MENDAK(SEDIMEN) YANG DIBAWA OLEH OMBAKBahan mendak yang kasar seperti kulit kerang/siput, kerikil dan bijian pasir yang besar dan kasar akan membentuk cerun pantai yang curam. Manakala bijian pasir yang halus akan membentuk cerun pantai yang landai. Sebenarnya daripada segi taburan bijian pasir yang ada di sesebuah cerun pantai menunjukkan bijian kasar di sebelah atas cerun dan semakin halus menghala ke gigi air. Justeru itu cerun pantai juga lebih curam di bahagian atas berbanding dengan bahagian bawahnya.

Hal ini berlaku kerana tenaga damparan (swash) ombak lebih tinggi semasa menghempas pantai untuk melontar bijian pasir ke atas berbanding dengan tenaga lurutannya yang hanya mampu menarik turun bijian yang halus sahaja. Tenaga lurutan ombak yang lemah disebabkan oleh geseran lurutan (backwash) ombak dengan permukaan pantai itu sendiri.

FAKTOR JENIS DAN KEKUATAN OMBAK

Tenaga ombak memainkan peranan penting dalam mengubah cerun pantai. Ombak pembinasa atau dikenali sebagai ombak junam yang berlaku pada musim tengkujuh/ribut mempunyai tenaga kinetik yang kuat untuk menghempas dan memusnahkan cerun pantai. Selepas ombak ini berlaku cerun pantai yang landai bertukar menjadi lebih curam, profil rentas pantai juga menjadi lebih pendek kerana ombak ini mempunyai kuasa hakis-angkut yang kuat. Sekiranya ombak pembina atau ombak limpah tiba di sesebuah pantai maka banyak bahan-bahan enapan akan ditimbunkan lalu menghasilkan pantai-pantai yang lebih landai cerunnya.

FAKTOR ORIENTASI PANTAI SAMA ADA TERDEDAH ATAU TERLINDUNG

Pantai yang terbuka dan terdedah kepada lautan luas tanpa ada halangan dari pulau-pulau biasanya akan menghasilkan cerun yang lebih curam kerana di kawasan pantai ini mengalami tenaga ombak dan arus yang kuat berbanding dengan pantai yang terlindung. Misalnya pantai-pantai di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia lebih landai sifatnya berbanding dengan pantai-pantai di pantai timur semenanjung. Ini kerana di zon pantai barat pantainya dilindungi oleh kepulauan sumatera Indonesia dari pengaruh monson barat daya.

Halangan oleh kepulauan sumatera menyebabkan tiupan angin monson barat daya menjadi lebih perlahan sekaligus kekuatan ombaknya juga perlahan. Sebaliknya di zon pantai timur, pantainya terdedah terus ke laut China Selatan yang menerima secara langsung pengaruh angin monson timur laut tanpa ada halangan.

FAKTOR MANUSIA

Aktiviti manusia juga boleh mempengaruhi kecerunan pantai. Aktiviti-aktiviti seperti penebangan hutan pantai seperti hutan bakau, rhu dan nipah untuk didirikan chalet dan resort atau aktiviti pengambilan pasir di tepi pantai dan aktiviti memperdalamkan muara sungai akan menyebabkan cerun pantai menjadi lebih curam. Ini kerana kawasan pantai tersebut akan mengalami hakisan yang kuat oleh ombak dan arus bagi mengimbangi kawasan pasir yang dikorek tadi. Sebaliknya aktiviti penyuburan pantai dengan menanam pokok-pokok rhu dan bakau, membina benteng pemecah ombak (Groin dan Gabion) akan menambahkan pasir-pasir di tepi pantai seterusnya cerun pantai menjadi lebih landai.

PENGARUH ARUS

Selain ombak, arus juga beroperasi di kawasan pantai. Misalnya arus pasang surut yang bergerak selari dengan garis pantai. Jika sesebuah pantai itu terletak berdekatan atau bersebelahan dengan muara sungai maka arus pesisir pantai akan membawa banyak bahan enapan dari muara yang kebanyakkanya terdiri daripada kelodak dan Lumpur untuk dimendapkan di pesisir pantai tersebut. Semakin banyak kadar penimbunan ,maka cerun pantai menjadi semakin landai. Justeru pantai-pantai yang berlumpur sebenarnya lebih landai berbanding dengan pantai yang berpasir kerana ia mempunyai kuantiti, mengalami serakan dan timbuntambah bahan sedimen yang lebih banyak.

SEKIAN,TERIMA KASIH