37
BAB 3 TAMADUN MELAYU: TERAS TAMADUN MALAYSIA 2.0 PENGENALAN Tamadun Melayu adalah satu tamadun yang telah lama bertapak di rantau Asia Tenggara. Tamadun ini telah berkembang dari kebudayaan orang Melayu, yang tergolong dalam kumpulan penduduk asal rantau ini (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Nik Hassan Suhaimi 1994; 1999). Perkembangan kebudayaan Melayu dari zaman batu lama (paleolitik) sehingga kepada kemunculan tamadun Melayu terawal di rantau ini adalah satu perbincangan yang begitu panjang sekali dan tidak akan dibincangkan dalam penulisan ini. Sebaliknya, perbincangan dalam kertas ini lebih tertumpu kepada bukti-bukti kewujudan tamadun Melayu yang awal dan bagaimana tamadun Melayu memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun Malaysia. Tamadun Melayu adalah satu konsep yang kompleks. Ianya tidak boleh disamakan dengan konsep-konsep yang lain seperti ras, kebudayaan, dan bahasa. Keempat-empat konsep di atas merujuk kepada perkara-perkara yang berbeza dan pada waktu yang sama mempunyai pertalian yang begitu rapat sekali antara satu sama lain. Sebagai contoh, bahasa Melayu tidak semestinya dituturkan oleh orang-orang yang datangnya dari ras dan kebudayaan yang sama. Di Malaysia, terdapat beberapa kumpulan etnik yang berbeza yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Pada waktu yang sama, ada terdapat orang-orang Melayu yang boleh bertutur dalam bahasa-bahasa yang lain seperti bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Perbincangan lanjut tentang keempat- empat konsep di atas akan dibincangkan di bawah ini. Tamadun Melayu telah mengalami proses perkembangan yang lama dan melalui beberapa manifestasi yang berbeza. Manifestasi-manifestasi ini penting dalam pembentukan tamadun Melayu. Penerimaan agama Islam sebagai asas tamadun Melayu merupakan perkembangan yang paling penting dan membentuk sebuah tamadun Melayu Islam yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. 4-1

Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

BAB 3

TAMADUN MELAYU: TERAS TAMADUN MALAYSIA

2.0 PENGENALAN

Tamadun Melayu adalah satu tamadun yang telah lama bertapak di rantau Asia Tenggara. Tamadun ini telah berkembang dari kebudayaan orang Melayu, yang tergolong dalam kumpulan penduduk asal rantau ini (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Nik Hassan Suhaimi 1994; 1999). Perkembangan kebudayaan Melayu dari zaman batu lama (paleolitik) sehingga kepada kemunculan tamadun Melayu terawal di rantau ini adalah satu perbincangan yang begitu panjang sekali dan tidak akan dibincangkan dalam penulisan ini. Sebaliknya, perbincangan dalam kertas ini lebih tertumpu kepada bukti-bukti kewujudan tamadun Melayu yang awal dan bagaimana tamadun Melayu memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun Malaysia.

Tamadun Melayu adalah satu konsep yang kompleks. Ianya tidak boleh disamakan dengan konsep-konsep yang lain seperti ras, kebudayaan, dan bahasa. Keempat-empat konsep di atas merujuk kepada perkara-perkara yang berbeza dan pada waktu yang sama mempunyai pertalian yang begitu rapat sekali antara satu sama lain. Sebagai contoh, bahasa Melayu tidak semestinya dituturkan oleh orang-orang yang datangnya dari ras dan kebudayaan yang sama. Di Malaysia, terdapat beberapa kumpulan etnik yang berbeza yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Pada waktu yang sama, ada terdapat orang-orang Melayu yang boleh bertutur dalam bahasa-bahasa yang lain seperti bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Perbincangan lanjut tentang keempat-empat konsep di atas akan dibincangkan di bawah ini.

Tamadun Melayu telah mengalami proses perkembangan yang lama dan melalui beberapa manifestasi yang berbeza. Manifestasi-manifestasi ini penting dalam pembentukan tamadun Melayu. Penerimaan agama Islam sebagai asas tamadun Melayu merupakan perkembangan yang paling penting dan membentuk sebuah tamadun Melayu Islam yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Tamadun Melayu merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang secara luasnya digolongkan sebagai kumpulan orang Melayu, tertumpu kepada suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu, dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang mewarnai tamadun wilayah ini ialah bahasa Melayu, yang menjadi bahasa perhubungan luas (lingua franca) di seluruh kawasan ini, dan agama Islam yang menjadi pelengkap kepada pembentukan tamadun Melayu.

3.0.1 Konsep Melayu

Sebelum perbincangan tentang konsep Melayu boleh dimulakan, terdapat beberapa istilah atau konsep asas yang perlu diperjelaskan terlebih dahulu. Konsep-konsep ini adalah seperti masyarakat, dan kumpulan etnik. Masyarakat hanyalah merujuk kepada satu kumpulan

4-1

Page 2: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

manusia. Kumpulan etnik merujuk kepada satu kumpulan manusia yang terdiri daripada satu kebudayaan.

Istilah Melayu sebenarnya boleh merujuk kepada tiga perkara yang berbeza, iaitu ras (gentetik atau biologi), kebudayaan, dan bahasa. Ras adalah satu istilah yang digunakan dalam bidang biologi dan merujuk kepada satu kumpulan genetik yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang hampir sama. Apabila istilah Ras1 Melayu digunakan, ianya hanya merujuk kepada kumpulan orang Melayu yang boleh diasingkan daripada kumpulan lain dari segi ciri-ciri fizikal luaran dan kebudayaannya. Dalam kerangka pemikiran bidang biologi, kumpulan ini adalah satu kumpulan kembang-biak (breeding population) yang berfungsi secara terasing. Sungguhpun demikian, manusia sedunia pada hari ini tergolong dalam satu spesis iaitu Homo sapiens. Dari segi genetiknya, semua manusia di dunia pada hari ini mempunyai persamaan DNA sebanyak 99.8% dan mampu berkahwin antara satu sama lain untuk melahirkan zuriat. Perbezaan dari segi genetik antara manusia sebenarnya tidak begitu penting; sebaliknya perbezaan dari segi kebudayaan lebih memainkan peranan untuk membezakan kumpulan-kumpulan ras ini.

Kebudayaan pula merujuk kepada ilmu pengetahuan sesuatu kumpulan manusia yang diwarisi dan diturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain. Ilmu pengetahuan ini berfungsi seolah-olah seperti satu sistem pengoperasian manusia oleh kerana ianya memberitahu manusia bagaimana untuk berfungsi dengan manusia lain, alam sekitar, dan kuasa-kuasa ghaib. Apabila kita berinteraksi dengan manusia lain, kita mengetahui bagaimana untuk menampilkan diri kita dengan orang yang kita temui. Apabila kita berada di dalam sesuatu persekitaran, kita mengetahui bagaimana untuk mencari makanan. Apabila kita berhadapan dengan kuasa-kuasa yang ghaib pula, kita mengetahui bagaimana untuk mengurangkan kesan negatif terhadap kita.

Bahasa adalah sistem percakapan yang digunakan untuk berhubung dengan penutur-penutur bahasa yang sama. Ras Melayu (atau rumpun Melayu) selalunya bertutur dalam kumpulan keluarga bahasa Melayu-Indonesia yang mengelompokkan bersama-samanya sub-keluarga bahasa-bahasa Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis, dan Sulu. Keluarga bahasa Melayu-Indonesia pula terangkum dalam Rumpun Bahasa Austronesia (Austronesia membawa maksud orang-orang kawasan pulau-pulau selatan dan bahasanya merangkumi bahasa-bahasa yang dituturkan dalam kawasan Asia Tenggara dan juga kepulauan Pasifik. Pada satu masa dahulu, rumpun bahasa Austronesia dikenali dengan nama rumpun bahasa Malayo-Polinesia, manakala rumpun bahasa Austronesia itu sendiri tergolong di dalam Filum Austrik) seperti berikut:

(RAJAH 1: Kedudukan Rumpun Bahasa Austronesia).

3.0.2 Wilayah Kebudayaan Melayu

Wilayah kebudayaan Melayu merujuk kepada satu konsep yang dipegang oleh masyarakat Melayu. Ianya merangkumi kawasan-kawasan di mana tersebarnya ras (rumpun) Melayu dari pulau Madagaskar ke kepulauan Pasifik. Secara umumnya, pusat teras wilayah ini adalah kawasan kepulauan Asia Tenggara yang menjadi pusat kepada ras (rumpun) Melayu, bahasa Melayu, kebudayaan Melayu dan tamadun Melayu.

1 Istilah ras dan rumpun Melayu seringkali digunakan bertukar-ganti. Rumpun adalah istilah yang digunakan dalam pergaulan umum manakala ras adalah istilah yang lebih tepat dan ilmiah.

4-2

Page 3: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

(PETA 1: Wilayah Kebudayaan Melayu - dari Ensaiklopedia Kebudayaan dan Sejarah Melayu terbitan DBP).

Di dalam wilayah kebudayaan Melayu, khususnya di kepulauan Asia Tenggara, terdapat konsep perantauan. Orang-orang Melayu bergerak bebas di dalam kawasan perantauan dan apabila berada di luar kampung atau kerajaan asal, mereka dianggap sebagai orang merantau. Orang yang merantau dianggap sebagai sebahagian daripada orang Melayu. Dalam kerangka pemikiran masyarakat Melayu, kami membawa maksud orang Melayu tempatan manakala kita membawa maksud orang Melayu di seperantauan.

Orang Melayu membezakan orang Melayu dengan orang-orang dari kebudayaan lain. Kami dan orang kita digunakan untuk merujuk kepada orang-orang Melayu manakala orang asing digunakan untuk merujuk kepada orang-orang dari luar kawasan wilayah atau perantauan Melayu.

3.0.3 Takrif Perlembagaan MalaysiaDalam Perkara 160, Perlembagaan Malaysia, orang Melayu ditakrifkan sebagai:

i. secara lazimnya berbahasa Melayu,i. secara lazimnya mengamalkan adat istiadat Melayu, danii. beragama Islam.

3.0.4 Istilah Bumiputera dan Pribumi

3.1 ASAL- USUL TAMADUN MELAYU

Secara umumnya, apabila kita membincangkan tamadun Melayu, kita merujuk kepada kemunculan masyarakat yang mempunyai susunan struktur sosial yang kompleks (Johnson dan Earle 2000). Manusia yang tinggal di kawasan bandar memerlukan susunan struktur masyarakat yang kompleks untuk membolehkan pengekalan cara kehidupan perbandaran. Ahli-ahli masyarakat yang mengkhusus dalam tugas-tugas tertentu seperti pentadbiran, penguatkuasa, pemimpin, pedagang, dan petani diperlukan dalam sebuah organisasi masyarakat yang berfungsi sebagai satu entiti.

Kemunculan masyarakat kompleks boleh dikaitkan dengan kemunculan pusat-pusat kerajaan Melayu awal. Kerajaan-kerajaan Melayu awal mempunyai susunan struktur masyarakat yang kompleks dengan raja sebagai pemimpin, pembesar-pembesar, pedagang-pedagang, dan petani-petani sekurang-kurangnya. Oleh yang demikian, kemunculan tamadun Melayu secara langsung boleh dikaitkan dengan kemunculan pusat-pusat kerajaan Melayu.

3.1.0 Asas Pembentukan Tamadun MelayuApabila kita cuba menjejaki semula perkembangan kebudayaan Melayu, kita akan dapati bahawa masyarakat Melayu telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu (Ahmad Hakimi 2006; Bellwood 1997). Jika kita menerima pandangan sarjana-sarjana barat dalam bidang arkeologi (seperti Bellwood 1997 dan von Heine Geldern 1945 terlebih awal) yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu (pada waktu itu dikenali dengan label penutur bahasa Austronesia) datang berhijrah ke kawasan Asia Tenggara mengikuti laluan air dari kawasan utara pada zaman batu baru (neolitik), anggaran kemunculan masyarakat Melayu di kawasan ini adalah sekitar 5,000 tahun dahulu.

4-3

Page 4: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Akan tetapi, sarjana-sarjana tempatan (seperti Nik Hassan Suhaimi 1993) menolak pendapat tersebut dan mengatakan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal kawasan Asia Tenggara. Pendapat ini mengambil kira bahawa pada satu masa dahulu (sebelum 10,000 tahun dahulu), kawasan Asia Tenggara ini merupakan satu dataran besar yang merangkumi pulau Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa, dan juga Pulau Borneo. Jika kita menerima pendapat tersebut dan menggunakan pentarikhan tapak pra-sejarah yang terawal di Semenanjung Tanah Melayu iaitu tapak Paleolitik Kota Tampan, kita mendapati bahawa orang Melayu telah wujud di kawasan ini lebih daripada 12,000 tahun dahulu, sebelum kenaikan paras laut akibat pencairan glasier dan ais di kawasan kutub-kutub utara dan selatan pada akhir zaman geologi pleistosen (Ahmad Hakimi 1998).

Sungguhpun masyarakat dan kebudayaan Melayu mungkin telah wujud lebih awal di kawasan Asia Tenggara, asas kepada kemunculan tamadun (atau perbandaran) dan susunan masyarakat kompleks dibentuk dengan penguasaan teknologi pertanian tetap pada zaman neolitik (Ahmad Hakimi 2006, 1998). Secara umumnya, zaman neolitik (atau zaman batu baru) memperlihatkan perubahan teknologi yang berteraskan kepada penubuhan tempat tinggal tetap (atau petempatan) sepanjang tahun (untuk menjaga tanaman) dan pertanian tetap (untuk menghasilkan makanan yang mencukupi sepanjang tahun).

Kebolehan untuk menghasilkan makanan (tanpa bergantung kepada pengumpulan sumber makanan mengikut musim di tempat-tempat yang berlainan) adalah teknologi yang penting oleh kerana apabila manusia sudah mampu untuk menghasilkan makanan mereka sendiri, langkah seterusnya menujuk tamadun adalah penghasilan makanan yang berlebihan. Sebelum manusia mampu untuk menghasilkan makanan yang berlebihan, setiap orang terpaksa bekerja untuk mendapatkan makanan yang diperlukannya sendiri. Penghasilan makanan yang berlebihan membolehkan sebahagian daripada masyarakat untuk bebas mengkhusus kepada pekerjaan-pekerjaan tertentu tanpa bekerja untuk menghasilkan makanan mereka; mereka boleh mendapatkan makanan dengan memberikan hasil kerja kepakaran mereka kepada petani-petani (sistem barter). Kemunculan pengkhususan pekerjaan sepenuh-masa di kalangan orang-orang sesebuah petempatan mengakibatkan kemunculan susunan masyarakat kompleks yang terdapat di dalam perbandaran.

Tamadun atau perbandaran adalah satu cara kehidupan manusia. Terdapat banyak teori yang dikemukakan oleh sarjana-sarajan dari pelbagai bidang pengajian untuk menerangkan tentang sebab-sebab kemunculan tamadun. Pada waktu yang sama, terdapat pelbagai bentuk-bentuk tamadun yang berlainan di dunia ini. Kepelbagaian ini menunujukkan kepelbagaian keperluan dan pengubahsuaian manusia. Setiap satu tamadun adalah satu manifestasi yang unik dan amat sukar untuk membuat perbandingan secara langsung antara tamadun-tamadun yang berlainan. Tidak semua kumpulan atau kebudayaan manusia mewujudkan tamadun.

3.1.2 Kemunculan Tamadun Melayu Hasil Penguasaan Laluan PerdaganganManifestasi tamadun Melayu yang terawal di kawasan Asia Tenggara adalah dalam bentuk kerajaan-kerajaan Melayu awal (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Nik Hassan Suhaimi 1994, 1999). Kerajaan-kerajaan Melayu awal ini adalah kerajaan-kerajaan pra-Islam. Antara contoh-contoh kerajaan-kerajaan Melayu pra-Islam yang awal adalah Oc Eo di Funan (sekarang Vietnam), Langkasuka di Thailand Selatan, Kuala Selinsing di Perak, dan Lembah Bujang di Kedah.

Kerajaan-kerajaan Melayu ini memerlukan sokongan daripada sistem ekonomi yang kuat, khususnya dalam aktiviti penghasilan makanan untuk menampung keperluan penduduk-penduduk sesebuah perbandaran. Apabila kita meninjau manifestasi tamadun-tamadun di luar

4-4

Page 5: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Asia Tenggara, kita akan dapati bahawa sebahagian besar dari tamadun-tamadun ini sememangnya berasaskan kepada aktiviti pertanian (atau agraria). Akan tetapi, sebahagian besar daripada kerajaan-kerajaan Melayu awal di kawasan Asia Tenggara lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti maritim.

Tidak dapat dipertikaikan bahawa kerajaan-kerajaan Melayu telah wujud sekurang-kurangnya 2,500 tahun dahulu di Malaysia jika kita melihat kesan-kesan peninggalan arkeologi masyarakat Melayu di Lembah Bujang, Kedah dan juga di Kuala Selinsing, Selangor (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Bellwood 1997; Nik Hassan Suhaimi 1994, 1999). Kedua-dua kerajaan Melayu awal ini meninggalkan bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa pelabuhan-pelabuhan yang dirikan oleh mereka terlibat dengan perdagangan jarak jauh. Perdagangan jarak jauh menunjukkan rangkaian perhubungan yang besar dan memerlukan petempatan yang agak lama dan tetap untuk memudahkan pengekalan perhubungan tersebut. Secara umumnya, perdagangan jarak jauh dikuasai oleh pemimpin sesebuah kerajaan, satu lagi petanda kewujudan susunan masyarakat kompleks.

Sarjana-sarjana menjangkakan bahawa lokasi Semenanjung Malaysia pada satu masa dahulu begitu penting sekali untuk laluan perdagangan yang melalui perairan Selat Melaka (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Bellwood 1997; Braddell 1935; Coedes1968; Quaritch Wales 1957; Wheatley 1980). Pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung Malaysia memainkan peranan sebagai tempat berehat yang penting untuk kapal-kapal layar untuk meneruskan perjalanan samada ke barat ataupun ke timur mengikut musim yang bersesuaian. Pelabuhan-pelabuhan sedemikian berkembang untuk membentuk tamadun-tamadun (atau perbandaran) Melayu yang awal.

Tamadun Melayu awal yang terbentuk di Kuala Selinsing berbeza daripada yang terdapat di Lembah Bujang oleh kerana ianya tidak berfungsi sebagai sebuah pusat keagamaan. Pada waktu yang sama, maklumat dari peninggalan arkeologi yang ditemui di Kuala Selinsing mencadangkan bahawa tamadun ini tidak dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu-Buddha. Beberapa artifak yang ditemui di tapak arkeologi ini menunjukkan bahawa penghuninya menggunakan sistem tulisan Pahlavi (atau Sanskrit) untuk menulis dalam bahasa Melayu (Nik Hassan Suhaimi 1991).

3.1.3 Bukti-Bukti Ketamadunan Kerajaan Melayu AwalKita dapati bahawa tamadun-tamadun awal yang terdapat di kawasan Asia Tenggara selalunya dibentuk oleh orang-orang Melayu (sila lihat Braddell 1935; Coedes1968; Quaritch Wales 1957; Wheatley 1980). Kebudayaan orang-orang Melayu berjaya menghasilkan tamadun-tamadun awal di rantau Asia Tenggara oleh kerana teknologi orang Melayu pada waktu itu mampu untuk menguasai laluan-laluan perdagangan jarak jauh yang melalui kawasan-kawasan perairan kerajaan-kerajaan Melayu awal. Kemampuan ini membezakan masyarakat Melayu daripada masyarakat-masyarakat lain di rantau Asia Tenggara, yang selalunya lebih tertumpu ke kawasan pendalaman Asia Tenggara.

Selepas kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu awal ini, perkembangan seterusnya dalam tamadun masyarakat Melayu adalah dalam bentuk kerajaan-kerajaan Melayu Islam. Kemunculan erajaan-kerajaan Melayu Islam adalah penting dalam perkembangan tamadun masyarakat Melayu oleh kerana penggabungan antara kebudayaan Melayu dan agama Islam membentuk satu tamadun Melayu yang baru, satu tamadun yang menjadi asas kepada identiti kebudayaan Melayu dan yang menjadi teras kepada pembentukan tamadun Malaysia.

Tamadun adalah satu istilah yang mempunyai pelbagai makna. Kepelbagaian makna yang terdapat untuk tamadun adalah kerana istilah ini digunakan dalam pelbagai bidang-bidang pengajian, dan juga dalam percakapan seharian. Bagi memudahkan perbincangan tentang

4-5

Page 6: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

takrif tamadun yang paling sesuai, penulis telah membuat beberapa kesimpulan penting iaitu cuba mentakrifkan tamadun mengikut ciri-ciri yang jelas, nyata, tepat, dan boleh diukur (mengikut falsafah sains yang menumpukan kepada pemerhatian empirikal). Untuk tujuan kursus ini, penulis menggunakan takrif-kerja untuk tamadun yang datangnya dari bidang antropologi kebudayaan. Takrif-kerja untuk tamadun adalah suatu masyarakat yang mempunyai penyusunan masyarakat komplex (pengkhususan pekerjaan dan sistem susun lapis masyarakat dengan tahap-tahap sosial yang berbeza) dan tinggal menetap di sebuah kawasan kecil yang dikenali dengan nama perbandaran.

Sungguhpun terdapat banyak kerajaan-kerajaan Melayu awal, sebahagian besar daripada kerajaan-kerajaan tersebut tidak mempunyai ciri-ciri yang menepati takrif-kerja tamadun seperti yang dinyatakan di atas (Ahmad Hakimi 1998, 2006). Namun demikian, kerajaan-kerajaan Melayu awal yang menunjukkan pengaruhi Hindu-Buddha dengan jelas menunjukkan ciri-ciri tamadun yang dinyatakan (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Braddell 1935; Coedes1968; Quaritch Wales 1957; Wheatley 1980). Ini adalah kerana bandar-bandar atau petempatan-petempatan ataupun pusat-pusat keagamaan kerajaan-kerajaan Melayu awal ini mempunyai pembinaan monumental (besar) yang menggunakan batu. Penggunaan batu untuk pembinaan memerlukan pakar-pakar dalam bidang pembinaan, pakar-pakar yang mengkhusus dalam pekerjaan mereka sepenuh masa. Contoh-contoh kerajaan-kerajaan Melayu awal yang menunjukkan pengaruh Hindu-Buddha adalah i) Angkor Wat di Kampuchea, ii) Borobudur di Pulau Jawa, Indonesia, dan iii) Lembah Bujang, di Kedah, Malaysia.

3.1.4 Empayar Melayu AwalKebanyakan daripada kerajaan-kerajaan Melayu yang terawal tidak begitu besar dan tidak mampu berkembang luas. Ini mungkin kerana kerajaan-kerajaan ini tidak mempunyai asas-asas perbandaran yang mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang tinggi jika kita mengambil kira teori-teori barat tentang keperluan-keperluan sesebuah perbandaran dan tamadun. Akan tetapi, kita dapati bahawa terdapat dua empayar Melayu yang agak besar dan merangkumi kawasan yang luas iaitu Empayar Funan dan Empayar Sri Vijaya. Sememangnya Empayar Sri Vijaya jauh lebih luas daripada Empayar Funan. Akan tetapi terdapat sedikit persamaan di antara kedua-dua empayar ini. Kedua-duanya mampu menguasai laluan perdagangan di kawasan mereka. Penguasaan ini mungkin dilakukan mengikut cara yang agak berbeza daripada apa yang berlaku di Eropah dan kawasan-kawasan lain di dunia ini.

Salah satu cara pemikiran masyarakat Melayu adalah pembentukan kerajaan-kerajaan dan empayar-empayar berdasarkan pengaruh. Konsep ini berbeza daripada pemikiran Eropah Barat yang mengembangkan wilayah melalui penaklukan dan penetapan sempadan wilayah secara fizikal. Oleh kerana masyarakat Melayu pada dasarnya adalah kumpulan manusia yang tinggal di kawasan kepulauan, mereka kurang memberi perhatian kepada penguasaan fizikal wilayah mereka. Ini adalah kerana orang-orang yang tidak bersetuju sentiasa boleh belayar keluar dari sesuatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Penguasaan kawasan bukannya berdasarkan kepada penguasaan tanah, sebaliknya berteraskan kepada penguasaan laluan air serta kebolehan menarik orang datang ke sesuatu tempat (jumlah penduduk di kawasan kepulauan Melayu tidak begitu tinggi dan pembinaan sebuah perbandaran memerlukan orang datang untuk tinggal di kawasan tersebut). Konsep penguasaan ini mungkin menyebabkan tamadun Melayu tidak mempunyai peninggalan ciri-ciri fizikal sama seperti yang terdapat di kawasan-kawasan lain di dunia ini (malahan masih terdapat banyak kerajaan-kerajaan Melayu awal seperti Langkasuka dan Beruas di Malaysia, dan juga termasuk Sri Vijaya yang masih belum dikenalpasti kedudukannya sehingga ke hari ini.

4-6

Page 7: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

3.1.5 Teori-Teori Kedatangan Agama Islam ke Asia TenggaraTerdapat beberapa teori yang berbeza tentang kedatangan agama Islam ke Asia Tenggara. Secara umumnya, agama Islam dikatakan datangnya melalui tiga lalaun iaitu i) secara langsung melalui lalauan perdagangan laut dari kawasan negara-negara Arab, ii) melalui laluan perdagangan darat ke benua kecil India dahulu, sebelum sampai ke kawasan Asia Tenggara, dan iii) melalui laluan perdagangan darat (yakni laluan sutera) ke negara China dahulu sebelum mengikuti laluan perdagangan laut ke kawasan Asia Tenggara. Walau bagaimanapun laluan kedatangan agama Islam ke Asia Tenggara, kedatangan agama Islam telah mengubah bentuk tamadun Melayu.

Sebelum kedatangan agama Islam, tamadun-tamadun Melayu yang terawal dipengaruhi oleh agama-agama Hindu dan Buddha. Agama-agama Hindu dan Buddha telah menghasilkan tamadun-tamadun Melayu yang berlainan dan berlawanan. Sentiasa terdapat persaingan antara tamadun-tamadun Melayu yang beragama Hindu dengan tamadun-tamadun Melayu yang beragama Buddha untuk menguasai laluan perdagangan. Tamadun-tamadun Melayu yang terawal tidak berasaskan kepada kedua-dua agama tersebut, dan oleh yang demikian, tidak mampu untuk menguasai perdagangan di kawasan ini. Kemunculan agama Islam mengubah bentuk-bentuk tamadun Melayu dan memaksa orang-orang Melayu untuk memeluk agama Islam bagi membolehkan mereka menguasai perdagangan di kawasan ini.

3.1.6 Bukti-Bukti Kesultanan Melayu IslamKedatangan agama Islam membentuk satu tamadun Melayu yang baru dan boleh dikatakan mengukuhkan (atau memantapkan) tamadun Melayu. Empayar Kesultanan Melayu yang tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia adalah Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Empayar Melaka dan lain-lain kesultanan Melayu Islam menjadi pusat-pusat keintelektualan dan kesusasteraan Melayu. Begitu banyak sekali karya-karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh kesultanan-kesultanan Melayu Islam seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Amir Hamzah, Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melayu, Adat Raja-Raja Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (atau Sejarah Melayu).

3.1.7 Ringkasan Sejarah Pembentukan Tamadun MelayuOrang-orang Melayu menghasilkan tamadun-tamadun awal di kawasan Asia Tenggara. Selepas masyarakat Melayu berjaya menghasilkan tamadun-tamadun awal tersebut, mereka telah menggabungkan kebudayaan mereka dengan ajaran-ajaran agama Islam untuk membentuk tamadun-tamadun Melayu Islam yang dianggap sebagai zaman kegemilangan tamadun Melayu. Apabila orang-orang Eropah mula datang ke kawasan Malaysia, mereka berhadapan dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam.

Orang-orang Inggeris pula telah mengesahkan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu di Malaysia dengan membuat perjanjian-perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam tersebut. Kerajaan penjajahan Inggeris telah mengekalkan kerajaan-kerajaan Melayu dan membuat pengubahsuai-pengubahsuaian tertentu untuk membolehkan mereka mentadbir kerajaan-kerajaan tersebut. Pengubahsuaian-pengubahsuaian yang dilakukan oleh kerajaan penjajahan Inggeris masih kekal pada hari ini.

Terdapat kesinambungan dari kerajaan-kerajaan (Tamadun) Melayu awal ke kerajaan Islam Melayu Melaka hingga ke kerajaan persekutuan Malaysia yang sedia ada. Sistem penyusunan kerajaan persekutuan Malaysia adalah hasil daripada kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang telah diubahsuai oleh kerajaan penjajahan Inggeris, satu perkembangan yang mengambil masa lebih 500 tahun. Jika kita mengambil kira bahawa kerajaan-kerajaan Melayu Islam tersebut telah berkembang dari kerajaan-kerajaan Melayu awal, perkembangan kerajaan-

4-7

Page 8: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

kerajaan Melayu dari dahulu sehingga ke hari ini telah mengambil masa sekurang-kurangnya 2,000 tahun.

3.2 KETAMADUNAN KESULTANAN MELAYU

Bukti-bukti untuk menunjukkan ketamadunan kerajaan-kerajaan Melayu awal telah dibincangkan di bahagian awal penulisan ini. Bukti bagi kerajaan-kerajaan Islam Melayu agak berbeza daripada daripada kerajaan- kerajaan Melayu awal. Bukti fizikal untuk ketamadunan kurang jelas. Ini adalah kerana kerajaan-kerajaan Islam Melayu tidak membina bangunan-bangunan monumental yang dibuat daripada batu.

Sebaliknya, bukti untuk ketamadunan kerajaan-kerajaan Islam Melayu lebih menjurus kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Perkembangan ilmu pengetahuan yang dihasilkan oleh Tamadun Melayu Islam ke seluruh kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Melayu menunjukkan kehebatan pengaruhnya. Falsafah sesuatu tamadun menunjukkan pencapaian ahli-ahli fikirnya yang mengkhusus kepada penghasilan ilmu. Ahli-ahli fikir ini selalunya dinaungi oleh kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang terdapat pada waktu itu.

Seperti yang diketahui ramai, penggunaan bahasa Melayu tersebar luas di rantau Asia Tenggara dan juga kepulauan Melayu. Selain daripada bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa lingua franca, penggunaannya menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu dikaitkan dengan bahasa orang-orang yang bertamadun. Kita dapati bahawa terdapat penulisan yang dihasilkan oleh tamadun Melayu di antara 10,000 ke 14,000 naskah-naskah Melayu yang memperkukuhan kehebatan tamadun Melayu.

3.3 INTERAKSI KESULTANAN MELAYU DENGAN PENGARUH ASING

Oleh kerana kesultanan-kesultanan Melayu Islam selalunya adalah sebuah kerajaan maritim (maritime state) yang berteraskan kepada perdagangan, ianya sentiasa bertembung dengan kumpulan-kumpulan etnik yang lain. Terdapat beberapa cara bagaimana pertembungan-pertembungan tersebut berlaku, seperti yang terdapat di bawah ini.

3.3.1 Bekerjasama.Kesultanan-kesultanan Melayu telah bekerjasama dengan kuasa-kuasa dari kawasan negara-negera Arab, India, dan China untuk menjalankan perdagangan di antara mereka. Kerjasama yang dilakukan di antara kuasa-kuasa ini telah berjalan untuk membolehkan perdagangan yang banyak sekali berjalan sehinggalah ianya dimusnahkan oleh kuasa-kuasa Eropah.

3.3.2 Rampasan Kuasa.Kuasa-kuasa Eropah seperti Portugis, Belanda, Sepanyol, dan Perancis telah cuba untuk menguasai perdagangan yang bermula dari kawasan kepulauan Melayu dan pada waktu yang sama juga menguasai perdagangan yang melalui kawasan jajahan mereka. Selain daripada menguasai perdagangan, kuasa-kuasa Barat ini, terutamanya Portugis, Sepanyol, dan Belanda, telah cuba untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan orang-orang Melayu yang pada waktu itu kebanyakannya beragama Islam.

3.3.3 Naungan/Diplomasi.Pihak Inggeris telah masuk ke kawasan kepulauan Melayu pada mulanya untuk berdagang dengan orang-orang tempatan. Lama-kelamaan, pihak Inggeris juga telah turut campur tangan

4-8

Page 9: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

dalam politik tempatan untuk memastikan pulangan ekonomi mereka hasil daripada penguasaan perdagangan dapat dijaminkan. Oleh yang demikian, pihak Inggeris telah lebih banyak menggunakan cara-cara diplomasi untuk melibatkan diri dengan pentadbiran tempatan. Setelah berjaya menguasai sesebuah kawasan atau wilayah, pihak Inggeris telah cuba menggunakan konsep naungan (pada pemikiran mereka) untuk mentadbir wilayah-wilayah mereka, dengan memberi sebab bahawa wilayah-wilayah tersebut mendapat banyak keuntungan daripada naungan yang diberikan oleh pihak Inggeris.

3.4 INTERAKSI KESULTANAN MELAYU DENGAN INGGERIS

Apabila pihak Inggeris datang ke kawasan Tanah Melayu, mereka telah membuat perjanjian-perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang mereka temui untuk mendapatkan kebenaran untuk melakukan kegiatan-kegiatan ekonomi termasuk perdagangan di dalam tanah naungan kerajaan-kerajaan tersebut. Pada waktu yang sama, mereka juga telah membuat perjanjian-perjanjian tertentu untuk mendapatkan hak terhadap kawasan-kawasan tertentu, supaya kawasan-kawasan tersebut boleh dibangunkan mengikut keperluan kerajaan penjajahan Inggeris. Apabila pihak Inggeris membuat perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam, secara langsung mereka mengakui bahawa kerajaan-kerajaan tersebut mempunyai kuasa dan hak terhadap kawasan-kawasan tanah naungan mereka. Pada waktu yang sama, perjanjian-perjanjian tersebut merupakan perbuatan bertamadun (mengikut tata cara yang sempurna) di antara kerajaan Inggeris dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam, perbuatan yang dilakukan antara dua pihak yang bertamadun. Oleh yang demikian, pihak Inggeris mengiktirafkan tamadun Melayu dengan kelakuan mereka menandatangani perjanjian-perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam.

3.4.1 Perjanjian-Perjanjian dengan Pihak InggerisTerdapat beberapa perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani di antara kerajaan Inggeris dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam untuk mendapatkan hak-hak menetap di beberapa kawasan di Semenanjung Tanah Melayu. Antara perjanjian-perjanjian tersebut adalah dengan (sila lihat Andaya dan Andaya 2001; Jessy 1972; Khoo 1973; Khoo Kay Kim 2001: INTAN 1991; Tan 1976; Zainal Abidin 1980):

(i) kerajaan Kedah; 1786 – Pulau Pinang di beri kepada pihak Inggeris, dan 1800 - Province Wellesley diberi kepada pihak Inggeris.

(ii) kerajaan Johor; 6 Februari 1819 - Pentadbiran Singapura diberi kepada Inggeris.

(iii) kerajaan Perak 18 Oktober 1826 - Daerah Dindings dan Pulau Pangkor diberi kepada Inggeris

Kerajaan Inggeris juga telah membuat perjanjian-perjanjian tertentu untuk mendapatkan hak-hak tertentu ke atas kawasan-kawasan tanah tertentu di kawasan Pulau Borneo (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972). Di bawah ini, disenaraikan bagaimana tiga kawasan akhirnya jatuh ke tangan kerajaan Inggeris:

(i) Sarawak.Pada asalnya, kerajaan Brunei telah memberi kawasan Sarawak kepada James Brooke pada September 1842 sebagai balasan kepada usaha-usaha beliau yang membantu kepentingan

4-9

Page 10: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

kerajaan Brunei (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972). Pada waktu yang sama, James Brooke diberi gelaran Raja Sarawak. Raja-Raja Brooke yang datangnya dari keturunan James Brooke telah memerintah Sarawak sehinggalah ianya diserahkan kepada kerajaan Inggeris.

(ii) Pulau Labuan.Melalui perjanjian di antara kerajaan Brunei dan kerajaan Inggeris, Pulau Labuan telah diserahkan kepada kerajaan Inggeris pada tahun 1846 (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972). Pulau Labuan dimasukkan di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat (yang termasuk Singapura, Pulau Pinang dan Melaka).

(iii) SabahPerjanjian-perjanjian yang akhir menyatukan Sabah adalah agak kompleks (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972). Pada mulanya, kerajaan Brunei telah memberikan hak-hak pajakan selama 10 tahun ke atas kawasan-kawasan naungannya di Sabah (waktu itu digelar North Borneo) kepada Claude Lee Moses pada tahun 1865. Kemudiannya, Moses telah menjual kepentingan beliau (iaitu hak-hak pajakan) di North Borneo kepada Joseph Torrey, yang diberi gelaran Raja North Borneo. Baron von Overbeck pula telah mengambil-alih kepentingan Torrey dan membuat perjanjian dengan Sultan Sulu pada 1878 untuk menggabungkan semua kawasan-kawasan yang pada hari ini dikenali dengan nama negeri Sabah. Akhir sekali, Alfred Dent telah membeli kesemua kepentingan-kepentingan Overbeck dan juga Torrey pada 1880. Akhirnya North Borneo diserahkan kepada kerajaan Inggeris.

Perjanjian-perjanjian Inggeris dengan kerajaan-kerajaan Melayu Islam di Malaysia Barat dan Malaysia Timur telah secara langsung mengiktirafkan hak-hak kerajaan-kerajaan tersebut terhadap kawasan-kawasan yang tersebut di atas dan secara tidak langsung mengangkat kerajaan-kerajaan tersebut ke taraf yang sama dengan kerajaan Inggeris. Ianya juga menunjukkan bahawa kerajaan-kerajaan Melayu mempunyai tahap ketamadunan (civility) yang membenarkan pihak Inggeris membuat perjanjian dengan mereka.

3.5 KEMUNCULAN SISTEM PENTADBIRAN SEKULAR

Kemunculan sistem pentadbiran sekular yang memecahkan kuasa kepada dua, yakni kuasa agama dan kuasa sekular, diperkenalkan oleh pihak Inggeris buat kali pertamanya di Semenanjung Tanah Melayu apabila Perjanjian Pangkor

ditandatangani pada 1874. Sistem pentadbiran sekular yang diperkenalkan selepas perjanjian ini menjadi asas kepada sistem pentadbiran sekular yang masih lagi digunakan pada hari ini. Sungguhpun demikian, peranan Raja-Raja Melayu dalam pentadbiran sekular, seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Pangkor, bermakna bahawa sebahagian daripada tradisi tamadun Melayu masih dikekalkan dalam sistem pentadbiran pada hari ini.

3.5.1 Perjanjian PangkorPerjanjian Pangkor adalah perjanjian yang paling penting dalam sejarah pembentukan negara Malaysia(Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Perjanjian ini ditandatangani pada 20 Januari 1874. Perjanjian Pangkor mengubah struktur pentadbiran kerajaan Melayu Perak. Sebelum perjanjian ini, kerajaan Perak dianggap sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem pemerintahan kuasa raja mutlak(absolute monarchy). Dalam kerangka perjalanan sistem ini, Sultan (atau Raja) mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melakukan apa-apa saja tanpa perlu mendapat persetujuan daripada sesiapa pun.

4-10

Page 11: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Perjanjian Pangkor mengubah sistem pentadbiran negeri Perak dengan mengurangkan kuasa Sultan sehinggakan Sultan hanya mempunyai kuasa terhadap perkara-perkara tentang agama Islam dan adai istiadat kebudayaan Melayu (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Semua perkara-perkara yang lain digolongkan bawah kuasa Residen. Sultan, sebagai seorang ketua adat-istiadat, hanya mendengar nasihat Residen dan terpaksa mengikut nasihat-nasihat beliau dalam perkara-perkara yang berlainan dengan hal-hal agama Islam dan adat istiadat kebudayaan Melayu.

Antara 14 perkara-perkara yang dipersetujui dalam Pengajian Pangkor, tiga perkara menjelaskan tentang perlantikan Residen dan bidang kuasanya (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Mengikut perjanjian tersebut, Residen mesti dirujuk dalam semua perkara dan semua nasihat beliau dilaksanakan kecuali perkara- perkara tentang agama Islam dan kebudayaan Melayu. Kuasa untuk memungut cukai dan kuasa pengagihan cukai serta pentadbiran am negeri dilaksanakan di atas nasihat Residen. Seperti yang telah dinyatakan terlebih dahulu, nasihat Residen perlu dilaksanakan dalam perkara-perkara yang di bawah bidang kuasa beliau.

Sistem pentadbiran kerajaan menggunakan residen ini adalah pembaharuan yang dibawa oleh orang Inggeris kepada sistem kerajaan Melayu Islam. Sistem ini berkait rapat dengan sistem pentadbiran yang terdapat di United Kingdom pada waktu itu dan berasal dari pengalaman orang-orang Inggeris dengan sistem pemerintahan di Raja yang terdapat dinegara mereka. Sistem ini masih kekal di negeri-negeri Melayu dalam Persekutuan Malaysia pada hari ini, cuma jawatan Residen itu diubah nama menjadi Menteri Besar.

3.5.2 Sistem Residen Inggeris di Tanah MelayuApabila orang-orang Inggeris telah menetap beberapa ketika di kawasan Malaysia, kepentingan-kepentingan ekonomi mereka di kawasan ini menjadi besar dan penting. Mereka mendapati bahawa kepentingan-kepentingan ekonomi mereka berkait rapat dengan kestabilan politik di kerajaan-kerajaan Melayu Islam di Malaysia pada waktu itu. Mereka mula campur tangan dengan pentadbiran kerajaan-kerajaan Melayu apabila mereka membuat perjanjian-perjanjian dengan kerajaan-kerajaan tersebut dan mewujudkan sistem Residen Inggeris untuk memudahkan pentadbiran.

Antara perjanjian-perjanjian yang ditangani oleh pihak Inggeris untuk melaksanakan sistem Residen Inggeris adalah seperti berikut (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976):

1874- Perjanjian Pangkor dengan Perak 1874- Perjanjian dengan negeri Selangor 1874- Perjanjian dengan Sungai Ujong (Negeri Sembilan) 1888- Perjanjian dengan negeri Pahang 1896 – Perjanjian dengan keseluruhan Negeri Sembilan

3.5.3 Negeri- negeri Melayu BersekutuUntuk memudahkan pentadbiran kerajaan penjajahan Inggeris, pihak Inggeris telah membentuk negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu sebagai sebuah unit pentadbiran (atau persekutuan) yang diberi gelaran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) pada 1 Julai 1896 (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Empat negeri-negeri Melayu yang menjadi ahli dalam Negeri-Negeri Melayu bersekutu adalah Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan di bawah sistem pentadbiran persekutuan yang diketuai oleh seorang Residen-

4-11

Page 12: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Jeneral. Penyatuan ini tidak mengubah kuasa-kuasa ataupun kedudukan Raja-Raja Melayu. Hanya kuasa-kuasa Residen-Residen British di peringkat negeri dikurangkan; mereka terpaksa mengikut arahan Residen-Jeneral. Residen-Jeneral menguasai sepenuhnya pengurusan kewangan setiap negeri.

Kemunculan sistem pentadbiran persekutuan untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini adalah satu lagi pengubahsuaian yang dilakukan oleh pihak Inggeris yang sangat penting dalam pembentukan sistem kerajaan Malaysia yang terdapat pada hari ini. Ini adalah kerana jawatan Residen-Jeneral yang diwujudkan pada waktu itu boleh dikatakan menjadi templet atau asal-usul jawatan Perdana Menteri yang ada pada hari ini.

3.5.4 Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar) yang Pertama

Selain daripada perkembangan sistem pentadbiran, pembentukan Negeri Melayu-Melayu Bersekutu juga melibatkan satu perkembangan penting dalam sistem pemerintahan Raja-Raja Melayu. Persiadang Raja-Raja Melayu yang pertama dilangsungkan pada tahun 1897 di Kuala Kangsar, yang telah mengetemukan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Pahang dan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Persidangan Raja-Raja Melayu ini menjadi asas kepada pembentukan Majlis Raja-Raja Melayu yang terdapat pada hari ini, satu institusi yang memainkan peranan penting di Malaysia. Ianya adalah salah satu simbol yang menunjukkan kesinambungan dari kerajaan Melayu awal hinggalah ke kerajaan Malaysia pada hari ini.

3.5.5 Negeri- negeri Melayu Tak Bersekutu

Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Non-Federated Malay States) merujuk kepada kerajaan-kerajaan (atau negeri-negeri) Melayu yang tidak ditadbir oleh kerajaan penjajahan Inggeris sebagai satu unit pentadbiran seperti Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Andaya dan Andaya 2001; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Lima kerajaan-kerajaan Melayu yang digolongkan dalam kumpulan ini adalah Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Johor. Terdapat beberapa sebab mengapa kerajaan-kerajaan ini tidak bergabung dengan Negeri-Negeri Melayu bersekutu. Salah satu sebabnya adalah kerana negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pada mulanya di bawah naungan kerajaan Siam. Negeri-negeri ini hanya diserahkan kepada pihak British pada tahun 1909 apabila Perjanjian Bangkok ditandatangani diantara pihak British dengan pihak Siam.

3.6 PERANG DUNIA KEDUA: PENDUDUKAN JEPUN

Pendudukan Jepun semasa perang dunia kedua banyak membuka mata masyarakat Melayu untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British. Pemerintahan Jepun tidak mengganggu atau mengubah sistem-sistem kerajaan Melayu. Secara tidak langsung, pemerintahan Jepun mengiktirafkan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu. Polisi pemerintahan Jepun yang cuba mendapatkan sokongan daripada masyarakat tempatan (iaitu orang Melayu) untuk menentang pihak British memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu tentang kemampuan mereka sendiri dan kelemahan pihak British. Kemampuan pihak Jepun untuk mengalahkan pihak British dalam masa yang begitu singkat sekali menunjukkan kepada masyarakat Melayu bahawa pihak British boleh ditewaskan. Masyarakat Melayu mula melihat pihak British sebagai lawan yang boleh dikalahkan dan bukannya sebagai tuan yang perlu diikuti perintahnya.

4-12

Page 13: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

3.7 KEBANGKITAN SEMANGAT KEBANGSAAN MELAYU

3.7.1 Kebangkitan AwalKebangkitan semangat nasionalisme Melayu mungkin bermula sebelum Perang Dunia Kedua. Akan tetapi gerakan ini mendapat sokongan ramai dengan penubuhan Malayan Union (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Gerakan nasionalisme Melayu ini mungkin mendapat semangat baru untuk menentang pihak British apabila mereka melihat bagaimana tentera Inggeris mampu dikalahkan tentera Jepun. Mereka juga mendapati bahawa kerajaan penjajahan Jepun juga kurang memberi perhatian kepada keperluan-keperluan masyarakat Melayu. Oleh sebab yang demikian, semangat kebangsaan mula timbul di kalangan masyarakat Melayu untuk membentuk sebuah negara bangsa (nation state) yang tersendiri.

3.7.2 Gerakan Inteligensia MelayuGerakan inteligensia Melayu yang menerajui gerakan nasionlisme Melayu terdiri daripada orang-orang cerdik pandai Melayu yang telah mendapat pendidikan dari Sekolah-Sekolah Melayu, Sekolah-sekolah (atau Pondok-Pondok) Agama, dan Sekolah-Sekolah Inggeris.

Dengan kebangkitan semangat nasionalisme Melayu, muncullah parti-parti politik Melayu seperti Parti Kebangsaan Melayu (PKMM), UMNO dan PAS (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976).

3.7.3 Bantahan kepada Penubuhan Malayan UnionMalayan Union ditubuhkan pada 1 Februari 1946 (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Penubuhan Malayan Union adalah satu idea yang datangnya dari pihak kerajaan penjajahan Inggeris yang cuba untuk menggabungkan semua negeri-negeri Melayu dan dua negeri-negeri Selat di Semenanjung Tanah Melayu sebagai satu unit pentadbiran.

Malayan Union ditubuhkan pada 1 April 1946 hasil daripada perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani oleh sembilan Raja – Raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Ianya menggabungkan negeri- negeri Melayu dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) dengan dua negeri- negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.

Raja-Raja Melayu sebenarnya dipaksa untuk menandatangani perjanjian untuk menyerahkan kuasa mereka dan penubuhan Malayan Union (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Penubuhan Malayan Union ditentang hebat oleh masyarakat Melayu dan Raja-Raja Melayu. Sesetengah ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa penubuhan Malayan Union ini mencetuskan semangat kebangsaan atau nasionalisme yang membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Penentangan yang hebat terhadap penubuhan Malayan Union oleh masyarakat Melayu berkait rapat dengan kemarahan mereka terhadap pihak British yang cuba melupakan sejarah kemunculan pihak British memerintah negeri-negeri Melayu (melalui perjanjian-perjanjian). Pihak British juga cuba membuat satu entiti politik baru yang tidak mengambil kira kepentingan kuasa-kuasa tempatan (yakni kesultanan Melayu) yang telah memegang kuasa dengan sah sebelum kedatangan (dan campur tangan) pihak British. Sememangnya pihak British telah menggunakan kuasa politik dan diplomasi untuk mengambil-alih kuasa di negeri-negeri Melayu. Sungguhpun sedemikian, perubahan-perubahan yang telah dibuat oleh pihak British sebelum

4-13

Page 14: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Malayan Union sentiasa menggabungkan sistem-sistem yang dibentuk oleh tamadun Melayu dengan sistem-sistem pihak British. Tindakan pihak British untuk memansuhkan kuasa raja-raja Melayu di bawah Malayan Union akhirnya gagal dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu selepasnya mengekalkan penggabungan sistem-sistem tamadun Melayu dan pihak British yang sedia ada.

3.8 PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Penubuhan Malayan Union itu sendiri berjaya ditewaskan dan pada 1 Februari 1948 Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan hasil daripada Perjanjian Negeri Negeri dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 yang ditandatangi oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu adalah hasil daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani oleh sembilan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dengan Pesuruhjaya Tinggi British. Sembilan Negeri-Negeri Melayu (iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu) dan dua negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) menjadi ahli-ahli kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu mengekalkan sebahagian daripada ciri-ciri tamadun Melayu dan menjadi asas kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Persekutuan Malaysia. Pembentukannya penting oleh kerana ciri-ciri kerajaan persekutuan yang dibentuk semasa Persekutuan Tanah Melayu juga menjadi asas kepada ciri-ciri kerajaan persekutuan Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dan juga kerajaan persekutuan Persekutuan Malaysia selepas itu.

3.9 KOMUNISMA (PKM) DAN DARURAT

Selepas perang dunia kedua, ideologi komunisma cuba diperkembangkan di kawasan ini oleh Parti Komunis Malaya (atau PKM). Ideologi komunisma ini berkait rapat dengan kejayaan parti komunis di negara China. Ideologi ini dianggap sebagai ideologi alternatif kepada ideologi demokrasi barat dan mendapat sokongan daripada segolongan masyarakat Cina di sini. PKM menentang pemerintahan kerajaan Inggeris dan kerajaan Malaysia selepas itu dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada dan menggantikannya dengan pemerintahan komunis. Banyak nyawa terkorban akibat usaha-usaha penentangan PKM, kemudahan infrastruktur negara juga turut dimusnahkan. PKM hanya menyerah diri kepada kerajaan Malaysia pada tahun 1990.

Kegagalan PKM berkait rapat dengan penentangannya kepada ideologi kebangsaan yang terdapat pada hari ini. Ideologi komunisma mempunyai nilai-nilai yang bercanggah dengan nilai-nilai tamadun Melayu dan juga nilai-nilai tamadun-tamadun yang lain di Malaysia seperti tamadun Cina dan tamadun India. Nilai komunisma yang paling ketara percanggahannya dengan nilai tamadun-tamadun lain adalah bahawa agama (atau kepercayaan) tidak diperlukan untuk kehidupan manusia.

4-14

Page 15: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

3.10 KEMERDEKAAN DAN PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Pembentukan Persekutuan Malaysia seterusnya merupakan sebahagian daripada proses perubahan dan kesinambungan tamadun Melayu yang bermula daripada dahulu sehingga ke hari ini. Proses pembentukan sebuah sistem pentadbiran moden bermula dengan Perjanjian Pangkor, dan telah terus berkembang semenjak itu. Pengubah-suaian sistem-sistem tamadun Melayu dengan memasukkan komponen-komponen sistem pentadbiran British membentuk sebuah sistem baru yang akhirnya menggabungkan kedua-duanya sekali dengan menggunakan nilai-nilai teras tamadun Melayu.

3.10.1 Proses Pembentukan Negara Bangsa

3.10.1.1 Kewarganegaraan Sebagai Kontrak SosialKewarganegaraan menjadi satu perkara yang penting dalam perundingan-perundingan untuk membentuk perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Terdapat banyak tolak-ansur untuk mendapatkan persetujuan daripada pihak-pihak yang terlibat. Akhirnya persetujuan kewarganegaraan dalam perlembagaan menjadi satu kontrak sosial antara kerajaan persekutuan dengan rakyat. Orang-orang Melayu menjadi warganegara secara otomatik dan mereka berpayungkan kepada Raja-Raja Melayu. Masyarakat bukan-Melayu menjadi warganegara dengan syarat-syarat bahawa mereka menerima kedaulatan Raja-Raja Melayu, menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan, menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan menerima kewujudan hak istimewa Orang-Orang Melayu.

3.10.1.2 . Struktur Kerajaan Persekutuan

3.10.1.3 Penerapan Simbol-Simbol Tamadun MelayuTerdapat banyak simbol-simbol tamadun Melayu yang diterapkan ke dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia selepas itu. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia selepas itu mengekalkan simbol-simbol tamadun Melayu. Lagu Negaraku juga menggunakan simbol-simbol yang datangnya dari tamadun Melayu. Bendera Malaysia juga mencerminkan tamadun Melayu. Monumen-monumen Negara Malaysia seperti Istana Negara, Parlimen, Masjid Negara, Muzium Negara, Tugu Negara, Stadium Merdeka, dan Stadium Negara juga turut menggunakan simbol-simbol daripada tamadun Melayu.

3.10.2 Kemerdekaan Persekutuan Tanah MelayuPersekutuan Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Banyak penulisan-penulisan telah dibuat tentang bagaimana kemerdekaan ini dicapai. Tujuan penulisan ini bukannya untuk membincangkan dengan panjang lebar bagaimana proses mendapatkan persetujuan dari kerajaan Inggeris itu berjalan. Perkara yang lebih penting untuk tujuan ini adalah bagaimana kesinambungan dari Tamadun Melayu ke Tamadun Malaysia diteruskan.

Antara perkara-perkara yang lebih penting dalam proses mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu adalah bagaimana parti-parti politik bergabung untuk membentuk satu Perikatan (Andaya dan Andaya 2001; Ibrahim 1981; INTAN 1992; Jessy 1972; Tan 1976). Tiga parti politik besar yang mewakili tiga kumpulan etnik terbesar di Semenanjung Tanah Melayu, UMNO, MCA dan MIC, telah memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan Perikatan (sekarang ini dinamakan Barisan Nasional). Gabungan parti-parti ini berjaya menerajui Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia dari waktu sebelum merdeka sehinggalah pada hari ini. Kejayaan gabungan ini bekerjasama melebihi 50

4-15

Page 16: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

tahun adalah satu kejayaan yang berkait rapat dengan falsafah orang Melayu tentang tinggal sama dengan kumpulan-kumpulan etnik yang lain.

Kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional pada masa sekarang ini merupakan satu kerajaan yang melakukan kerjasama serta bermesyuarah di antara parti-parti politik yang berlain. Pemikiran untuk bekerjasama ini adalah satu idea baru pada waktu itu dan mencerminkan falsafah kebudayaan Melayu yang mana sentiasa persetujuan dicapai melalui mesyuarah bersama. Pemikiran ini menunjukkan bahawa kesinambungan Tamadun Melayu sehingga ke hari ini masih diteruskan.

3.10.3 Penubuhan Persekutuan MalaysiaPersekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Penubuhan Persekutuan Malaysia menggabungkan negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dengan negeri-negeri Sabah (dahulunya British North Borneo), Sarawak, dan Singapura. Negeri-negeri yang baru digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada satu masa dahulu merupakan tanah kerajaan-kerajaan Melayu Islam. Oleh kerana negeri-negeri ini telah dipisahkan daripada kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang asal, mereka tidak mempunyai sultan atau raja sebagai ketua negeri. Sebaliknya seorang gabenor dilantik untuk mengambil alih tugas-tugas rasmi adat istiadat yang sepatutnya dimiliki oleh sultan atau raja.

Ciri Utama Struktur Kerajaan MalaysiaStruktur kerajaan Malaysia yang diamalkan pada hari ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri tertentu yang datangnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam sebelum kedatangan Inggeris. Walaubagaimanapun, struktur ini telah diubahsuai oleh pihak Inggeris apabila mereka campur tangan dalam hal-hal kerajaan-kerajaan Melayu. Pengubahsuaian-pengubahsuaian yang telah dilakukan itu dikekalkan pada peringkat negeri-negeri.

Pada peringkat kerajaan persekutuan, ketua negara adalah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong. Beliau mempunyai persamaan dengan sistem kerajaan Melayu Islam lama di mana, beliau mengambil tempat Sultan atau Raja.

Ketua kerajaan (juga dikenali dengan ketua eksekutif) yang melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara adalah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Jawatan beliau mempunyai persamaan dengan jawatan Residen Inggeris pada masa kerajaan-kerajaan Melayu Islam ditadbir oleh pihak Inggeris.

Jika kita lihat pula pada struktur kerajaan negeri-negeri di Malaysia yang mempunyai Sultan ataupun Raja, kita akan dapati bahawa Ketua Negeri adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan, Yang Di-Pertuan Besar, ataupun Raja. Penyusunan ini mengekalkan ketua kerajaan-kerajaan Melayu Islam seperti asal.

Akan tetapi, setiap negeri sekarang ini mempunyai Ketua Menteri yang mentadbir sesuatu negeri hampir sama seperti yang telah dilakukan oleh Residen-Residen Inggeris pada satu masa dahulu. Hampir tiada pengubasuaian yang dilakukan pada struktur pemerintahan kerajaan-kerajaan negeri apabila Persekutuan Tanah Melayu dan selepasnya Persekutuan Malaysia dibentuk.

Orang Melayu, Bumiputera dan PribumiDengan penubuhan Persekutuan Malaysia, istilah-istilah Bumputera dan Pribumi terpaksa dijelaskan. Berbeza daripada kawasan Semenanjung Tanah Melayu, kawasan Malaysia Timur

4-16

Page 17: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

khususnya mempunyai pelbagai kumpulan-kumpulan etnik asli. Secara umumnya, istilah Orang Asli hanya digunakan di Malaysia Barat dan tidak dianggap sesuai untuk digunakan di Malaysia Timur. Oleh yang demikian istilah bumiputera digunakan untuk menunjukkan kumpulan-kumpulan etnik yang asalnya dari kawasan Malaysia Timur sendiri.

Pembezaan ini terpaksa dilakukan sungguhpun terdapat pendapat di kalangan sesetengah sarjana Malaysia bahawa orang-orang bumiputera di Sabah dan Sarawak juga orang Melayu (ataupun rumpun Melayu). Ini adalah kerana Perlembagaan Malaysia mentakrifkan orang Melayu sebagai orang yang berbahasa Melayu, mengamalkan kebudayaan Melayu dan beragama Islam.

3.11 PEMANTAPAN NEGARA BANGSA MALAYSIA

Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia, program-program pembangunan negara dijalankan untuk mempertingkatkan kemampuan negara dan juga tahap kehidupan orang awam. Tragedi rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 telah mengubah pemikiran kerajaan Malaysia, yang bertanggapan (sebelum itu) bahawa masyarakat pelbilang kaum di Malaysia mempunyai pemikiran sehaluan dan mampu bekerja-sama. Ekoran daripada tragedi tersebut, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai program pembaharuan untuk mengubah keadaan yang sedia ada untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu. Pemantapan negara bangsa Malaysia menjadi hasrat kerajaan Malaysia. Kesemua daripada perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia mendapat sokongan daripada parlimen. Antara perkara-perkara yang dimulakan pada waktu itu adalah Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam pembentukan perkara-perkara di atas, nilai-nilai tamadun Melayu diterapkan sebagai nilai-nilai asas seperti yang terdapat di dalam perlembagaan Malaysia. Sejarah tamadun Melayu dan jumlah bilangan masyarakat Melayu sebagai kumpulan etnik terbesar juga memainkan peranan dalam penerimaan nilai-nilai tamadun Melayu sebagai nilai-nilai asas kepada pembentukan kebudayaan kebangsaan dan bangsa Malaysia.

3.12 SAINS, SENI, DAN TEKNOLOGI KETAMADUNAN MELAYU

Sains, kesenian, dan teknologi yang dihasilkan oleh tamadun Melayu adalah sesuatu yang unik dan mencerminkan keperluan-keperluan serta nilai-nilai kebudayaan Melayu. Sebahagian daripada sains, kesenian, dan teknologi ini bukannya rekaan tamadun Melayu, namun demikian, ianya telah diubahsuai mengikut citarasa kebudayaan Melayu sehinggakan ianya menjadi satu bentuk lain yang menunjukkan daya kreatif kebudayaan Melayu dan juga kebijaksanaan tempatan (local genius).

3.12.1 Sains Tamadun MelayuTamadun Melayu menghasilkan satu sistem sains tepat yang tersendiri berdasarkan kepada keperluan-keperluan kebudayaan Melayu. Sebahagian daripada sistem sains tepat yang dihasilkan oleh tamadun Melayu boleh dilihat daripada sistem sukatan atau penakatan Melayu. Pengukuran jarak (seperti sejengkal, sedepa, hasta, dan rantai) dan timbangan (seperti cupak,

4-17

Page 18: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

gantang, dan koyan) adalah berbeza daripada sistem-sistem penekatan lain dan berkaitan rapat dengan keperluan serta pengalaman masyarakat Melayu.

3.12.2 Kesenian Tamadun MelayuTamadun Melayu juga menghasilkan pelbagai bentuk kesenian. Kesenian ini boleh dilihat daripada dua aspek, ketara (tangible) dan tidak ketara (intangible). Di antara kesenian yang berbentuk ketara adalah seni persembahan (seperti tarian Melayu dan Mak Yong) dan artifak (seperti jaring, pukat, bubu, songket dan busana). Kesenian-kesenian berbentuk tidak ketara pula adalah seperti pemikiran Melayu (syair, peribahasa, dan pantun).

3.12.3 Ilmu dan Teknologi Tamadun MelayuTamadun Melayu banyak menghasilkan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan teknologi. Ilmu-ilmu teknologi yang dihasilkan (dan diubahsuai) oleh tamadun Melayu menunjukkan kebijaksanaan tempatan (local genius). Sebahagian daripada ilmu-ilmu ini boleh dilihat daripada pembinaan (istana, masjid, dan rumah) dan pembuatan barang-barang keperluan harian (seperti keris dan songket). Perbezaan hasil teknologi tamadun Melayu dengan tamadun-tamadun lain mempunyai kaitan dengan sumber-sumber yang boleh diperolehi dan juga keperluan serta nilai-nilai kebudayaan Melayu.

3.13 NILAI (WORLD-VIEW) TAMADUN MELAYU

Secara umumnya, nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai-nilai tersebut berkaitan rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai-nilai asas ini boleh dilihat di dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasan, perumpamaan, dan pepatah-pepatih. Terdapat pelbagai senarai yang boleh dibuat untuk menunjukkan nilai-nilai tersebut. Untuk keperluan buku ini, sebahagian daripada nilai-nilai tamadun Melayu yang lebih penting disenaraikan dan diperjelaskan di bawah ini.

3.13.1 Keimanan/Ketakwaan kepada Allah swt.Keimanan dan ketakwaan kepada Allah swt adalah perkara yang paling penting dalam agama Islam. Ianya melibatkan banyak perkara-perkara yang menjadi pengangan (pemikiran atau falsafah) asas kepada kehidupan manusia di dunia ini. Mentaati segala yang dituntut dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah swt adalah sebahagian daripada cara-cara bagaimana orang Melayu (dan orang Islam) beriman dan bertakwa kepada Allah swt.

3.13.2 Ketaatan kepada Sultan dan Menghormati PemimpinSejarah tamadun Melayu berkaitan rapat dengan kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu taat-setia kepada Sultan/Raja semenjak zaman-zaman awal tamadun Melayu lagi. Ianya satu sifat turun-menurun yang diikuti dan diajar oleh orang-orang Melayu sehingga ke hari ini. Masyarakat Melayu juga menghormati pemimpin. Nilai-nilai ini adalah nilai-nilai yang asas dalam tamadun Melayu.

3.13.3 Kepatuhan kepada Undang-UndangMasyarakat Melayu adalah satu kumpulan manusia yang patuh kepada undang-undang, seperti yang boleh dilihat dalam hukum-hukum adat. Orang-orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat semenjak dahulu lagi dan mengikut peraturan-peraturan serta undang-undang akibat daripada pemahaman mereka terhadap kedaulatan hukum-hukum adat.

4-18

Page 19: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

3.13.4 Mendahului yang TuaTamadun Melayu memberi keutamaan kepada yang tua atau berusia. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang-orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding dengan orang-orang yang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman lain.

3.13.5 Saling Hormat-Menghormati Orang LainTamadun Melayu juga tidak memandang rendah kepada orang lain. Oleh yang demikian, orang-orang Melayu saling hormat-menghormati orang lain. Penghormatan diberikan kepada orang lain yang turut menghormati orang Melayu. Orang-orang Melayu selalunya memberi penghormatan terlebih dahulu kepada orang-orang lain. Orang-orang yang tidak membalas penghormatan yang diberikan akan dipandang rendah.

3.13.6 Meraikan TetamuMeraikan tetamu adalah satu nilai yang penting dalam masyarakat Melayu. Mengikut ajaran agama Islam, tetamu membawa rezeki kepada tuan rumah. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang dengan baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya.

3.13.7 Bertimbang RasaTamadun Melayu sentiasa menggalakkan perasaan bertimbang rasa. Orang Melayu sentiasa cuba memikirkan perasaan dan keadaan orang lain sebelum membuat apa-apa keputusan. Pemikiran bertimbang rasa memerlukan kita tidak mengikuti perasaan kita sahaja; ianya memaksa kita mengambil kira perasaan orang lain, yakni menimbang perasaan kita dengan perasaan orang lain.

3.13.8 Bersopan-santun, berbudi pekertiBersopan-santun dan berbudi pekerti sebahagian daripada nilai-nilai tamadun Melayu yang berkaitan dengan beradab (atau civilised). Masyarakat Melayu menganggap bahawa orang-orang yang beradab sebagai halus (atau refined) budi pekertinya manakala orang-orang yang tidak beradab sebagai kasar.

3.13.9 Bermesyuarah/BermuafakatBermesyuarah atau bermuafakat adalah cara bagaimana masyarakat Melayu cuba mencapai persetujuan ramai. Golongan ramai diberi peluang untuk menyuarakan pendapat-pendapat mereka dan persetujuan dicapai dengan mengambil kira semua pendapat-pendapat.

3.13.10 Bergotong-royongSalah satu daripada ciri-ciri tamadun Melayu adalah melakukan pekerjaan secara bergotong-royong. Nilai ini sebahagian daripada nilai-nilai kebudayaan Melayu yang berteraskan kepada kepentingan kehidupan secara kumpulan (dan bukannya kepentingan kehidupan bersendirian seperti yang diikuti oleh masyarakat Eropah Barat).

3.13.11 Bekerja Bersungguh-SungguhMasyarakat Melayu mementingkan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Nilai ini juga sebahagian daripada ajaran agama Islam yang menuntut pekerjaan yang halal dan kesungguhan bekerja. Mengikut pemikiran ini, hasil pekerjaan kita akan menjadi sebahagian daripada darah dan daging kita dan juga ahli-ahli keluarga kita. Apabila kita melakukan pekerjaan yang haram atau tidak melakukan pekerjaan kita dengan sempurna, perkara-perkara yang tidak elok akan menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri dan ahli-ahli keluarga kita. Ianya mampu untuk membuat kita menjadi orang-orang yang tidak elok.

4-19

Page 20: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

3.14 HUBUNGAN TAMADUN MELAYU DENGAN TAMADUN-TAMADUN LAIN DI MALAYSIA

Masyarakat Melayu di Malaysia pada hari ini sentiasa berinteraksi dengan tamadun-tamadun lain, bukan saja dengan masyarakat-masyarakat yang menetap di Malaysia, akan tetapi juga dengan tamadun-tamadun luar. Hubungan dan interaksi di antara masyarakat Melayu dengan masyarakat lain selalunya bersifat positif. Keadaan ini bermula dengan sifat tamadun Melayu yang sentiasa terbuka kepada unsur-unsur luaran. Sifat keterbukaan ini pula berpunca daripada sejarah kebudayaan Melayu yang tinggal di kawasan kepulauan.

3.14.1 Orang Melayu Penduduk Kawasan KepulauanOrang Melayu pada asalnya adalah penduduk kawasan kepulauan (iaitu kawasan tanah besar dan kepulauan Asia Tenggara). Lokasi pulau-pulau di kawasan ini memisahkan orang-orang Melayu secara fizikal dan mengasingkan mereka daripada mudah untuk berinteraksi dengan kumpulan-kumpulan manusia lain. Keadaan ini memaksa orang Melayu untuk berinteraksi dengan mana-mana kumpulan manusia yang datang ke kawasan mereka untuk mendapat khabar berita dari jauh dan pada waktu sama untuk berdagang. Perdagangan ini penting untuk membolehkan orang-orang Melayu tempatan memperolehi keperluan-keperluan lain yang tidak terdapat di kawasan mereka.

3.14.2 Orang Melayu Bersifat HeterogeneousKeadaan orang Melayu yang tinggal di kawasan kepulauan memisahkan mereka secara fizikal dari kumpulan-kumpulan orang Melayu yang lain. Pemisahan fizikal ini mengurangkan dan menyukarkan interaksi antara kumpulan-kumpulan orang Melayu yang berbeza. Ianya juga membolehkan kemunculan perbezaan-perbezaan kebudayaan tempatan. Perbezaan-perbezaan ini menjadikan orang-orang Melayu bersifat heterogeneous atau pelbagai. Kepelbagaian ciri-ciri kebudayaan masyarakat Melayu ini berterusan oleh kerana masayarakat Melayu tidak pernah disatukan oleh mana-mana satu kerajaan atau empayar Melayu (ataupun bukan Melayu) untuk membentuk satu negara bangsa atau empayar seperti yang berlaku di tempat-tempat lain seperti di Cina dan di Rum2.

3.14.3 Sifat Terbuka Kepada LuarTamadun Melayu selalunya mempunyai sifat terbuka kepada kedatangan orang-orang luar. Sifat ini berkaitan dengan sejarah masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan-kawasan kepulauan. Penerimaan kedatangan orang luar adalah sebahagian daripada keperluan masyarakat yang menetap di kawasan kepulauan untuk mempertingkatkan kemampuan diri mereka. Tanpa kedatangan orang luar, masyarakat tempatan tidak mampu untuk mengikuti perkembangan-perkembangan baru dan akan lama-kelamaan menjadi ketinggalan zaman. Masyarakat Melayu memahami hakikat tersebut dan sentiasa terbuka kepada luar untuk membolehkan peningkatan dalam diri mereka.

3.14.4 Penerimaan Pandangan LuarSelain daripada bersifat terbuka, tamadun Melayu juga sentiasa menerima pandangan-pandangan dari luar. Masyarakat Melayu begitu mudah sekali menerima pendapat-pendapat berbeza yang dibawa oleh pendatang-pendatang. Penerimaan perbezaan pendapat ini tidak 2 Hanya kerajaan Jepun sahaja berjaya untuk menguasai hampir kesemua kawasan kepulauan Melayu di Asia Tenggara pada waktu perang dunia kedua. Kerajaan Jepun hanya menduduki kawasan ini buat beberapa tahun dan tidak pernah cuba untuk memerintah keseluruhan kawasan ini sebagai satu wilayah atau memaksa penghuni-penghuni (orang-orang Melayu dan rumpun Melayu) kawasan ini untuk berfikir sebagai satu kumpulan.

4-20

Page 21: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

bermakna orang-orang Melayu akan bersetuju dengan pendapat-pendapat luaran. Masyarakat Melayu biasa melihat kelainan dan tidak menanggap kelainan itu sebagai sesuatu yang merbahaya. Ini adalah kerana lokasi kepulauan membolehkan interaksi dengan kumpulan-kumpulan manusia yang berbeza. Oleh kerana masyarakat Melayu mengetahui kewujudan kelainan dan mampu berhadapan dengan kelainan, mereka juga mampu menerima pandangan dari luar.

3.14.5 Memberi Peluang Kepada Kemampuan LuarKemampuan tamadun Melayu untuk menerima pandangan dari luar adalah satu sifat yang berkaitan rapat dengan kesediaan masyarakat Melayu untuk memberi peluang kepada kemampuan luar. Kesediaan untuk memberi peluang kepada kemampuan luar adalah sifat tamadun Melayu yang membolehkan masyarakat Melayu berubah mengikut keperluan semasa. Pada waktu sama, kesediaan ini juga mencerminkan pemahaman masyarakat Melayu bahawa terdapat pelbagai cara-cara yang berbeza untuk melakukan sesuatu.

3.14.6 Bermesyuarah/BermuafakatSalah satu mekanisma yang terdapat dalam tamadun Melayu untuk mencapai sesuatu keputusan adalah melalui proses bermesyuarah atau bermuafakat. Proses bermesyuarah atau bermuafakat adalah proses di mana semua orang-orang yang terlibat akan mengeluarkan pendapat mereka dan berbincang untuk mencapai sesuatu keputusan bersama. Ini adalah satu proses yang berkemungkinan bermula semasa masyarakat Melayu masih lagi mempunyai organisasi masyarakat (yang berdasarkan kepada pertalian darah atau keluarga) pada peringkat perkampungan. Organisasi masyarakat pada peringkat ini tidak dipimpin oleh seorang ketua yang mempunyai kuasa mutlak seperti seorang raja; sebaliknya kepimpinan sesuatu perkampungan berdasarkan kepada persetujuan ramai. Sungguhpun ketua kampung mempunyai kuasa, akan tetapi kuasa tersebut berdasarkan kepada pengaruh yang diperolehinya (berkaitan dengan pangkat dalam keluarga dan usia). Beliau terpaksa mendapatkan persetujuan ramai sebelum sesuatu keputusan boleh diterima. Cara bermesyuarah dan bermuafakat ini masih boleh dilihat di dalam proses membuat keputusan yang dilakukan oleh Barisan Nasional semasa perbincangan dengan parti-parti komponennya.

3.14.7 Interaksi Orang Melayu dengan Orang Bukan MelayuInteraksi yang berlaku antara orang-orang Melayu dan orang-orang bukan Melayu di Malaysia menunjukkan ciri-ciri biasa kumpulan etnik terbesar (iaitu masyarakat Melayu). Sama seperti kebanyakan negara-negara lain, kumpulan etnik terbesar selalunya mempunyai sesuatu nilai yang dipandang tinggi oleh kumpulan-kumpulan etnik yang lebih kecil. Kita boleh melihat perkara ini di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Great Britain, Australia, India, dan Singapura. Orang-orang dari kumpulan-kumpulan etnik yang lain sentiasa cuba untuk memasuki kumpulan etnik yang terbesar di negara-negara tersebut.

Di Malaysia, sungguhpun terdapat persamaan dari segi perasaan untuk memasuki kumpulan etnik terbesar, terdapat satu kelainan yang berkaitan dengan pemikiran terhadap tamadun atau peradaban. Jika kita kaji sebab-sebab mengapa masyarakat kumpulan etnik lain cuba menjadi ahli-ahli kumpulan etnik terbesar di negara-negara di atas, kita akan dapati bahawa ianya berkaitan dengan nilai prestij dan kuasa. Akan tetapi, memasuki kumpulan etnik Melayu bermula jauh lebih awal daripada kemunculan negara-negara di atas. Istilah masuk Melayu merujuk kepada perubahan nilai-nilai kebudayaan dan juga bertukar agama untuk menganut agama Islam. Perubahan sedemikian telah wujud semenjak kemunculan Islam di kepulauan Melayu.

4-21

Page 22: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Perkara yang lebih penting berkaitan dengan perbuatan masuk Melayu adalah persepsi masyarakat rumpun Melayu di Asia Tenggara pada satu masa dahulu. Menjadi orang Melayu menjadi satu perbuatan yang dipandang tinggi oleh masyarakat rumpun Melayu di kepulauan Melayu oleh kerana orang Melayu dikaitkan dengan Tamadun Melayu, satu pencapaian yang dianggap sebagai pencapaian peradaban tertinggi di kalangan masyarakat kepulauan Melayu. Oleh yang demikian, perbuatan masuk Melayu juga boleh dianggap sebagai menerima pencapaian Tamadun Melayu serta nilai-nilai Tamadun Melayu untuk menjadi pedoman hidup.

Sungguhpun masuk Melayu adalah satu kaedah untuk orang-orang lain menjadi ahli masyarakat Melayu yang diterima ramai, terdapat kumpulan-kumpulan etnik lain yang tidak mahu berubah sepenuhnya. Kumpulan-kumpulan ini mungkin tidak begitu selesa dengan keperluan untuk menganut agama Islam sebagai teras kepada perbuatan masuk Melayu. Namun demikian, terdapat kumpulan-kumpulan etnik lain yang mengikut cara-cara kebudayaan Melayu seperti Baba Nyonya dan Chitty. Kumpulan-kumpulan seperti ini mengubah kebudayaan-kebudayaan mereka sehingga ianya hampir menyerupai kebudayaan Melayu. Masyarakat Melayu secara umumnya berinteraksi secara positif dengan kumpulan-kumpulan ini dan tidak menyekat ahli-ahli kumpulan ini dalam perkara-perkara biasa selain daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

3.15 RUMUSAN DAN KESIMPULAN

Tamadun Melayu muncul di kawasan Asia Tenggara dengan kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu awal. Selalunya kerajaan-kerajaan Melayu awal menunjukkan pengaruh dari kepercayaan Hindu-Buddha. Ini adalah kerana kerajaan-kerajaan tersebut membina monumen-monumen besar dari batu. Akan tetapi terdapat bukti-bukti arkeologi yang mencadangkan bahawa terdapat juga kerajaan-kerajaan Melayu awal muncul pada waktu yang sama dengan kerajaan-kerajaan pengaruh Hindu-Buddha, akan tetapi tidak menunjukkan pengaruh Hindu-Buddha. Perkara penting yang juga perlu diambil perhatian adalah bahawa kebanyakan daripada kerajaan-kerajaan awal yang terdapat di Asia Tenggara adalah kerajaan-kerajaan yang dibentuk oleh orang-orang Melayu.

Kerajaan-kerajaan Melayu awal ini menjadi lebih mantap apabila ianya menerima agama Islam. Pembentukan kerajaan-kerajaan Melayu Islam di rantau Asia Tenggara dianggap sebagai zaman kegemilangan tamadun Melayu. Kerajaan Melayu Islam yang sering dikaitkan dengan negara Malaysia adalah kerajaan Melayu Islam di Melaka.

Selepas Melaka ditawan oleh orang-orang Portugis, penguasaan orang-orang Melayu terhadap perniagaan dan laluan perdagangan di kawasan Asia Tenggara menurun. Orang Belanda mengambil alih tempat orang Portugis di Melaka setelah beberapa ketika. Akhir sekali, untuk kawasan yang kelak akan menjadi Malaysia, orang Inggeris pula datang untuk mengaut kekayaan yang terdapat di sini.

Orang-orang Inggeris mengubah sistem pentadbiran kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang terdapat di Malaysia. Perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan penjajahan Inggeris masih kekal pada hari ini. Sungguhpun, sistem pentadbiran di Malaysia pada hari ini agak berbeza daripada sistem pentadbiran asal kerajaan-kerajaan Melayu Islam, akan tetapi ianya pada asasnya masih mengekalkan Raja-Raja Melayu sebagai ketua-ketua negeri dan negara. Pengekalan sistem ini menunjukkan kesinambungan antara Tamadun Melayu dan Tamadun Malaysia. Kesinambungan ini adalah sebab mengapa Tamadun Melayu menjadi teras kepada Tamadun Malaysia.

4-22

Page 23: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

RUJUKAN

A. Aziz Deraman (2003). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia. Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Abdullah (2000). Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam. Siri Pengajian Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdullah Ishak. (1990). Islam Di Nusantara (Khususnya di Tanah Melayu). Petaling Jaya, Selangor: Al-Rahmaniah, Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia.

Abdullah Jusoh (1989). Pengenalan Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdula Rahman Abdullah. (1999). Falsafah Alam Semesta Di Nusantara. Siri Pengajian Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Hakimi Khairuddin. (2006). Arkeologi dan Sejarah Kebudayaan Melayu: Satu Tinjauan Awal, Purba 24:1-10.

_______________________(1998). Arkeologi Pra-Sejarah dan Pengajian Melayu, dalam Pengajian Sastera dan Sosiobudaya Melayu: Memasuki Alaf Baru. Hashim Awang A.R., Zahir Ahmad dan Zainal Abidin Borhan (eds.). Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Ahmad Hakimi Khairuddin dan Faridah Che Husain. (2006).Isu-isu Kontemporari Dalam Tamadun Islam dan Tamadun Melayu, dalam Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. Siri Teks Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Ahmad Sarji bin Abdul Hamid. (1993). Beberapa Etos Pembangunan Negara (Nation Building Ethos). Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.

Amir A. Rahman. (1990). Pengantar Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Andaya, Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya. (2001). A History of Malaysia. Edisi Kedua. Houndmills, Basingstoke, Hampshire: Palgrave.

Asmah Haji Omar. (1983). The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

_______________. (1988). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bellwood, Peter S. (1997). Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago. Edisi Semakan. Honolulu: University of Hawai'i Press.

4-23

Page 24: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Braddell, Roland. (1935). An Introduction to the Study of Ancient Times in the Malay Peninsula and the Straits of Malacca, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, XIII(2):70-109.

Coedes, G. (1968). The Indianized States of Southeast Asia (Histoire ancienne des etats hindouises d'Extreme-Orient, Edisi Ketiga). Wlater F. Vella (peny.). Diterjemahkan oleh Susan Brown Cowing. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. (Teks asal dalam bahasa Perancis).

Collins, James T. (1993). Istilah 'Melayu Proto' Takrif Etnografi, Linguistik, dan Arkeologi, dalam Tinta Kenangan: Sumbangan Sempena Persaraan dan Perlantikan Naib Canselor, Profesor Datuk Mohd Taib Osman, Nik Safiah Karim (penyunting). Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

________________. (1998). Malay, World Language: A Short History. The History of Malay Monograph Series. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dartford, G. P. (1953)..The Growth of the British Commonwealth. Part One: 1558-1815. London: Longmans, Green and Co.

Hancock, W. K. (1943). Empire in the Changing World. A Penguin Special. New York, New York: Penguin Books.

Harper, T. N. (2001). The End of Empire and the Making of Malaya. Cambridge: Cambridge University Press.

Hashim Musa, Zainal Abidin Borhan, Othman Mohd Yatim, Ahmad Hakimi Khairuddin dan Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi. (2006). Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu, dalam Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. Siri Teks Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Higham, C.F.W. (1996a). Archaeology and Linguistics in Southeast Asia: Implications of the Austric Hypothesis, dalam Indo-Pacific Prehistory: The Cheng Mai Papers, P.S. Bellwood (peny.). Canberra: Australian National University.

_______________(1996b). A Review of Archaeology in Mainland Southeast-Asia, Journal of Archaeological Research, 4(1):3-49.

Huntington, Samuel P. (1998). The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. London: Touchstone Books, An Imprint of Simon & Schuster UK Ltd.

Ibrahim Mahmood. (1981). Sejarah Perjuangan UMNO: Suatu Penyingkapan Kembali Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu Menuju Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Jessy, Joginder Singh. (1972). Malaysia, Singapore & Brunei: 1400 - 1965. Edisi Semakan. Tanjong Tokong, Pulau Pinang: Darulaman Publications.

4-24

Page 25: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Johnson, Allen W. dan Timothy Earle. (2000). The Evolution of Human Societies: From Foraging Group to Agrarian State. Edisi Kedua. Stanford, California: Stanford University Press.

Kamarudin Jaffar dan Hazami Habib (penyunting). (1993). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Khoo, Gilbert. (1973). A History of South-East Asia Since 1500. Oxford Progressive History. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Khoo Kay Kim. (2001). Malay Society: Transformation & Democratisation. A Stimulating Study on the Evolution of Malay Society. Kelana Jaya, Selangor: Pelanduk Publications.

Lim Kit Siang (1978). Time Bombs in Malaysia. With a Special Commentary on the 1978 General Elections and more speeches and illustrations. Edisi Kedua. Petaling Jaya, Selangor: Democratic Action Party.

Malaysia. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). (1991). Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.

Muhammad Yusoff Hashim (1992). The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History (Kesultanan Melayu Melaka). Diterjemahkan oleh D. J. Muzaffar Tate. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Teks asal dalam bahasa Melayu).

Murfett, Malcolm H., John N. Miksic, Brian P. Farrell and Chiang Ming Shun. (1999). Between Two Oceans: A Military History of Singapore From First Settlement to Final British Withdrawal. Singapore: Oxford University Press.

Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (t.t). Menyusuli Asal Usul Orang Melayu: Dari Perspektif Arkeologi Semenanjung Malaysia, dalam Sejarah dan Proses Pemantapan Negara-Bangsa: Prosiding Kongress Sejarah Malaysia Kedua, Jilid II. Nik Hassan Suhaimi, Mohd. Samsuddin dan Kamaruzaman Yusoff (peny.). Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.

____________________________. (1999). Arkeologi Pra-Islam Pesisir Selat Melaka: Evolusi atau Migrasi. Syarahan Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Oppenheimer, S. (2000). Austronesian Homeland in Southeast Asia: A Genetic Perspective, kertaskerja yang dibentangkan di Seminar Borneo Research Council, di Kuching, Sarawak dari 10 hingga 14 Julai 2000.

Rahmah Bujang, Yaacob Harun, Mohammad Nazzri Ahmad dan Ahmad Hakimi Khairuddin. (2006). Kesenian, Proses Sosialisasi, dan Pembudayaan Masyarakat Melayu, dalam Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. Siri Teks Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

4-25

Page 26: Bab 3 Tamadun Melayu Teras Tamadun Malaysia

Siti Hajar Abu Bakar Ah. (2002).Pengantar Dasar Sosial Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Syed Hussein Al Atas. (1964). Archaeology, History and the Social Sciences in Southeast Asia, Federation Museums Journal, IX:21-31.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. (1999). Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu: Suatu Mukaddimah mengenai Peranan Islam dalam Peradaban Sejarah Melayu-Indonesia, dan Kesannya dalam Sejarah Pemikiran, Bahasa, dan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Tan Ding Eing. (1976). A Portrait of Malaysia and Singapore. Oxford Progressive History. Singapore: Oxford University Press.

Tweedie, M.W.F. (1957). The Prehistory of Malaya. 2nd Edition. Singapore: Donald Moore.

______________(1953). The Stone Age in Malaya, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, 26(2). (Monograph on Malay Subjects, No. 1).

Wan Abdul Kadir Yusoff dan Zainal Abidin Borhan (peny.). (1985). Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Zainal Abidin Borhan dan Ahmad Hakimi. (1996).Alam Melayu: Tradisi dan Modeniti, dalam Tradisi dan Kemodernan, Safrin, Subhilhar dan Sudirman (penyunting). Medan, Indonesia: Penerbit Universitas Sumatera Utara.

Zainal Abidin Borhan, Ahmad Hakimi Khairuddin dan Noor Hasnoor Mohamad Nor. (2006). Tamadun Melayu Sebagai Asas dan Kelangsungan Tamadun Malaysia, dalam Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. Siri Teks Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Zainal Abidin Abdul Wahid. (1992). Sejarah Malaysia: Pentafsiran dan Penulisan. Syarahan Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zainal Kling et. al. (2000). Arkeologi dan Sejarah Kebudayaan Melayu: Satu Tinjauan Awal, dalam Kajian Antropologi dan Sosiologi Melayu. Kertas Kerja yang dibentangkan oleh Profesor Datuk Zainal Kling dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu, anjuran DBP dan UPSI, di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur, pada 24-25 Ogos 2000.

4-26