Al-Tarikh Salasilah Negeri .yang lahir dalam zaman kegemilangan institusi kesultanan Melayu di Negeri

  • View
    266

  • Download
    0

Embed Size (px)

Text of Al-Tarikh Salasilah Negeri .yang lahir dalam zaman kegemilangan institusi kesultanan Melayu di...

1

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman Sebuah Karya Agung Melayu

Oleh

Dr. Jelani Harun Universiti Sains Malaysia

jelani@usm.my

Pengenalan

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tergolong sebagai sebuah karya historiografi

yang berisi sejarah asal-usul raja-raja dan pembentukan negeri Kedah yang dilihat melalui

kacamata seorang pengarang istana yang terlibat secara lansung dengan pentadbiran negeri

ketika itu. Pengarang yang dimaksudkan ialah Muhammad Hassan bin Dato Kerani

Muhammad Arshad yang berkhidmat sebagai Kerani Rahsia kepada Sultan Abdul Hamid

Halim Syah (1881-1943). Karya yang dihasilkan pada tahun 1927 tersebut masih mengekalkan

ciri-ciri penulisan sejarah tradisi di samping memperlihatkan berapa asas penulisan sejarah

yang lebih moden. Bahagian akhir naskhah banyak memberikan catatan tentang hubungan dan

konflik kerajaan Kedah dengan Siam dan bagaimana campur tangan pihak Inggeris dalam

kemelut politik pemerintahan raja-raja Kedah sehingga terbentuknya Perjanjian Bangkok pada

tahun 1909. Hal ini menjadikan karya historiografi tersebut sebagai sebuah sumber maklumat

sejarah sosio-budaya yang penting dalam perkembangan institusi kesultanan Kedah yang masih

wujud sehingga ke hari ini.

Pelbagai kajian awal terhadap Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman telah pun

dilakukan oleh sarjana yang meneliti sejarah Kedah masa silam. Sebuah kajian terbaharu boleh

ditemui dalam Malay Kingship in Kedah oleh Falarti (2013: 31) yang melihat Al-Tarikh

Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sebagai sebuah sumber sejarah Kedah yang banyak

menerima pengaruh daripada sebuah buku yang lebih awal berjudul Salasilah atau Tarikh

Kerajaan Kedah yang dihasilkan oleh Wan Yahya bin Wan Muhammad Taib pada tahun 1911.

Walau bagaimanapun, Falarti (2013: 27) juga tidak menafikan akan ciri pembaharuan

pentarikhan yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman yang

2

mengandungi several key dates for events mentioned in Hikayat Merong Mahawangsa and

Wan Yahyas Salasilah atau Tarikh Kerajaan Kedah.

Di samping nilai sejarah, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman turut

mengandungi berbagai-bagai catatan penting tentang adab kenegaraan negeri Kedah yang

merangkumi peraturan adat-istiadat, undang-undang dan panduan pemerintahan yang pernah

menjadi amalan istana kesultanan Kedah pada masa lalu sebagai sebahagian daripada asas

warisan ketamadunan raja-raja Melayu. Beberapa catatan awal tentang pembinaan negeri, kota,

pelabuhan, bangunan, sungai dan jalanraya yang masih ada di Kedah pada masa kini turut

tersurat dalam karya tersebut. Kekayaan dan kepentingan maklumat yang tersurat dan tersirat

dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman menjadikan naskhah tersebut sangat

berharga dalam sejarah kesultanan Kedah dan sewajarnya diketengahkan sebagai salah sebuah

Karya Agung Melayu yang lahir pada awal abad ke-20 yang lalu, malah juga perlu

diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sebagai sebuah Warisan Dunia.

Manuskrip dan Pengarang

Sehingga ke hari ini, satu-satunya manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman

yang diketahui wujud adalah sebuah manuskrip Jawi yang tersimpan di Pusat Dokumentasi

Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (MS 100). Manuskrip tersebut terdiri

daripada 146 halaman, berukuran 32 sm x 21 sm, bertulisan Jawi dengan menggunakan dakwat

berwarna hitam dan merah. Manuskrip berada dalam keadaan yang kurang memuaskan akibat

daripada dakwat hitam yang telah kembang dan meresapi ke beberapa bahagian kertas. Kertas

mempunyai tanda tera air Guthrie & Co. Ltd. Pemilikan manuskrip asal oleh pihak Dewan

Bahasa dan Pustaka ini sangat penting dalam konteks kewujudan naskhah Al-Tarikh Salasilah

Negeri Kedah Darul Aman yang masih dapat dibaca dalam bentuknya yang asli tanpa apa-apa

tokok-tambah daripada pengarang yang lain. Manuskrip telah dipindahkan ke bentuk digital

sepenuhnya oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2016.

3

Ketiadaan salinan lain bagi manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman

mungkin berhubungan dengan kemunculan institusi percetakan di Pulau Pinang sekitar akhir

abad ke-19 dan awal abad ke-20. Tidak lama selepas siap ditulis oleh Muhammad Hassan pada

tahun 1927, manuskrip Jawi tersebut telah dicetak oleh Jelutung Press, Pulau Pinang, pada

tahun 1928. Jelutung Press ialah syarikat percetakan milik Syed Syeikh al-Hadi yang aktif di

Pulau Pinang ketika itu dan beralamat di No. 555, Jelutung Road, Pulau Pinang. Naskhah

tersebut dicetak dalam tulisan Jawi pada 7 Rabiulawal 1347 (1928) yang terdiri daripada 440

halaman. Pada tahun 1968, manuskrip yang terdapat dalam simpanan Dewan Bahasa dan

Pustaka telah ditransliterasi ke huruf Rumi oleh Mohd. Zahid Mohd. Shah dan diterbitkan oleh

Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman.

Menurut catatan daripada Mohd. Zahid Mohd. Shah (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah

Darul Aman, 1968: xxi), manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman diperolehi

oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Encik Soda bin Muhammad Hassan yang

merupakan anak kepada pengarang tersebut. Oleh itu, besar kemungkinan karya historiografi

tersebut adalah manuskrip yang asal daripada tulisan tangan Muhammad Hassan bin Dato

Kerani Muhammad Arshad.

Nama pengarang Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tercatat dengan jelas

pada bahagian kolofon manuskrip sebagai Muhammad Hassan anak Dato Kerani Muhammad

Arshad. Muhammad Arshad adalah Kerani Rahsia kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram

Syah (1854-1879). Malah pada bahagian kolofon tersebut, pengarang mencatatkan salasilah

keturunannya yang berasal dari Yaman seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah

Darul Aman, 1928: 419): Adapun yang menjunjungkan titah menzahirkan Tawarikh Salasilah

ini Muhammad Hassan anak Dato Kerani Muhammad Arshad Rahsia al-Marhum Sultan

Ahmad Tajuddin Mukarram Syah Yang Maha Mulia bin Tuan Syeikh Abu Bakar Kadhi bin

Tuan Syeikh Abdul Kadir Mufti bin Tuan Syeikh Abdul Jalil Mufti bin Tuan Syeikh Abdul

Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani, Yaman, bandar Sanaah adanya.

4

Pada bahagian mukadimah naskhah, pengarang mencatatkan bahawa perintah

mengarang telah diterimanya daripada Tengku Ibrahim pada 1 Rejab 1345, bersamaan dengan

5 Januari 1927. Hal ini memperlihatkan penulisan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul

Aman masih mengikut tradisi kepengarangan istana Melayu masa silam dalam mana pengarang

masih berada di bawah naungan raja-raja dan menulis sejarah berasaskan permintaan pihak

istana. Muhammad Hassan dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pada tahun 1868 pada zaman

pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah. Setelah kematian bapanya, Dato

Kerani Muhammad Hassan telah dilantik menjadi Kerani Rahsia kepada Sultan Abdul Hamid

Halim Syah (1881-1943) dan juga semasa pemerintahan Tengku Ibrahim selaku Pemangku

Sultan Kedah (1913-1934).

Tugas selaku Kerani Rahsia kepada Sultan Kedah memberi ruang yang besar kepada

Muhammad Hassan untuk mengetahui pelbagai sejarah pemerintahan negeri Kedah. Hal

tersebut banyak diceritakan oleh Muhammad Hassan dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah

Darul Aman, termasuk kehadiran beliau dalam beberapa siri lawatan Sultan Kedah ke luar

negara. Kerani Muhammad Hassan memiliki banyak pengetahuan tentang hal-ehwal kesultanan

Kedah pada zamannya dan berperanan sebagai sejarawan istana Kedah awal abad ke-20 itu.

Muhammad Hassan meninggal dunia pada 30 September 1942 sewaktu Kedah berada di bawah

pemerintahan Jepun.

Karya Agung Melayu

Negeri Kedah telah melahirkan beberapa buah karya besar yang berperanan dalam sejarah

persuratan Melayu, antara lain terserlah melalui Hikayat Merong Mahawangsa, Undang-

Undang Kedah dan Syair Sultan Maulana. Hikayat Merong Mahawangsa sudah pun diterbitkan

oleh pihak Yayasan Karyawan sebagai sebuah Karya Agung Melayu pada tahun 1998 selaras

dengan kekuatan dan keunikan isi kandungan karya historiografi tersebut. Naskhah seperti

Undang-Undang Kedah juga memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan boleh

diketengahkan sebagai Karya Agung Melayu yang tidak kurang pentingnya. Pada tahun 2001,

5

sejumlah 2,951 pucuk warkah bertulisan Jawi daripada Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-

1943) kepada Raja Chulalongkorn telah diiktiraf sebagai Memory of the World Register oleh

UNESCO.

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman turut memiliki kedudukannya yang

tersendiri dalam sejarah persuratan Kedah, sebuah karya yang lahir pada awal abad ke-20 tetapi

masih berada dalam lingkungan tradisi kepengarangan istana Melayu. Terdapat banyak ciri

yang memungkinkan karya tersebut dapat dikemukakan sebagai sebuah Karya Agung Melayu

yang tidak kurang nilainya berbanding dengan Karya Agung Melayu yang lain. Malah, ciri-ciri

Karya Agung Melayu yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman

adalah ciri-ciri yang selaras dengan kekuatan naskhah tersebut untuk diketengahkan sebagai