Upload
norliza-abu-bakar
View
746
Download
14
Embed Size (px)
Citation preview
TEKS UCAPAN
PENGARAH IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU
MELAKA
PADA
31 MEI 2010 DI DEWAN SRIKANDI
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera serta Salam 1Malaysia
1. Yang Berbahagia Datin Hajah Siti Hanifah binti Madarsa,
Timbalan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka,
Yang dihormati Ketua-ketua jabatan, ketua-ketua unit, pensyarah-
pensyarah kanan, para pensyarah serta anak-anak guru pelatih yang
dikasihi sekalian.
2. Alhamdulillah syukur kepada Allah, kita dapat berkumpul di sini untuk
menyambut hari yang penuh bermakna kepada kita, insan yang bergelar
guru. Walaupun 16 Mei telah berlalu dua minggu yang lalu, namun ucapan
Selamat Hari Guru masih segar dan relevan untuk diucapkan kepada insan-
insan mulia dan hebat seperti hadirin dan hadirat sekalian.
SELAMAT HARI GURU CIKGU!
3. Guru merupakan satu profesion mulia yang menjadikan seorang insan itu
manusia . Manusia yang dapat memberikan sumbangan kepada agama,
bangsa dan negara. Selaras dengan cogan kata sambutan hari guru tahun
ini “Guru Pembina Negara Bangsa”, maka di bahu kitalah tergalas satu
tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan.
Peranan guru sebagai pendidik terbukti dalam memperjuangkan dan
mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem
pendidikan dan seterusnya membangunkan negara hingga dikagumi oleh
dunia luar. Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri
pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang
teguh kepada agama dan nilai sejagat. Anak-anak didik kita akan menjadi
warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri
tempatan serta mampu bersaing dengan kepesatan pembangunan dunia
luar. Kecekapan dan keberkesanan peranan gurulah menerusi sistem
pendidikan negara mampu membina anak bangsa yang berjaya. Kita
sebagai guru diibaratkan lilin yang membakar diri untuk menerangi orang
lain namun guru jugalah yang berperanan untuk mencorakkan kain putih
ini.
4. Sehubungan dengan itu, guru-guru perlu memandang ke hadapan
berbekalkan visi dan misi yang jelas demi kebahagiaan generasi akan
datang di negara yang berdaulat ini. Kita sebagai guru perlu sentiasa
memuhasabah diri, perlu prakarsa dalam meningkatkan keupayaan diri
supaya mampu melahirkan anak-anak didik yang berdaya saing di peringkat
global. Untuk menjadi guru yang kompeten, jadikanlah hari ini lebih baik
daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Kita perlu bersifat
progresif, dinamik dan tidak jumud dalam mendepani dan menunjangi
profesion keguruan supaya kita berupaya mengharungi dan menangani
cabaran pendidikan yang kian hebat kini. Justeru kita sebagai guru
perlulah mengalami evolusi untuk meningkatkan profesion kita dengan
menjadikan diri kita lebih kritis, kreatif dan inovatif. Mahu atau tidak kita
perlu berubah dalam mendidik anak-anak bangsa kita seperti yang
diungkapkan oleh Sayidina Umar AlKhatab ‘Didiklah anakmu untuk
zamannya dan bukan untuk zaman kamu’.
5. Dalam usaha memartabatkan profesion keguruan usaha untuk
meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru telah dan akan
terus dilaksanakan. Profesion keguruan kini dianugerahi dengan pelbagai
jawatan baharu, kenaikan pangkat serta kenaikan emolumen dan ganjaran.
Justeru pada kesempatan ini saya mengucapkan tahniah kepada warga
pendidik IPG Kampus Perempuan Melayu yang telah memperoleh
pengesahan gred jawatan baru-baru ini. Harapan saya moga semua insentif
yang diperoleh ini akan melonjakkan lagi iltizam, komitmen dan semangat
warga pendidik untuk terus meningkatkan kualiti profesion keguruan demi
pendidikan anak-anak bangsa kita
Hadirin cikgu-cikgu yang dihormati sekalian,
6. Sebuah negara bangsa yang unggul mampu menghasilkan satu
ketamadunan yang memiliki masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi,
berilmu, beriman serta berakhlak mulia. Usaha untuk mencapai
pembentukan rakyat yang mengamalkan sikap madani yang tinggi
peradabannya ini, memerlukan kesegaran dan pembugaran budaya berfikir.
Budaya ini terarah untuk mewujudkan rakyat yang bertanggungjawab dan
mempunyai sikap intergriti serta kukuh akidah mereka. Pentradisian
budaya berfikir inilah yang merupakan anak kunci bagi kemajuan dan
keunggulan sesebuah negara. Gurulah yang bertanggungjawab untuk
membentuk keperibadian dan sahsiah pelajar menjadi ‘seseorang’ yang
dihormati seterusnya menjadi tunjang dalam membina negara bangsa.
Demi mewujudkan sebuah negara bangsa yang berupaya berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di persada dunia, di
pundak kitalah sebagai guru terjunjung satu tanggungjawab membentuk
anak-anak bangsa Malaysia yang bersatu padu, berintegriti malah
mempunyai rasa sepunya dalam budaya, pendidikan, bahasa dan ekonomi
justeru menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.
7. Cabaran globalisasi yang mendepani anak-anak bangsa kita harus ditangani
dengan bijaksana oleh para guru kerana merekalah pembina negara
bangsa. Anak-anak didik yang masih rebung ini perlu ditanam dengan
semangat cinta akan tanah air yang mendalam. Kesanggupan mereka
berkorban nyawa untuk negara bukan lagi berjuang di hujung mata pedang
tetapi kini berjuang untuk menjadi bangsa yang kuat ketahanan mentalnya,
emosi dan fizikal. Dunia tanpa sempadan, tanpa ilmu, iman dan integriti
berupaya menggoyah jati diri bangsa anak Malaysia. Kecemerlangan
akademik belum bermakna kecemerlangan kehidupan. Semata-mata
berpaksikan kecerdasan otak, kemahiran teknologi belum dapat melindungi
manusia daripada sifat-sifat kejahilan. Justeru guru bertanggungjawab
memastikan bahawa ilmu yang memuncak tanpa iman dan hidayah llahi
boleh mendorong manusia menjadi makhluk pintar tetapi perosak dan
berbahaya. lnsan yang berkemahiran dan berakhlak mulia adalah insan
yang diharapkan mampu memanfaatkan ciptaan Allah untuk kepentingan
manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah manusia adalah
berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman.
Guru-guru mempunyai peranan yang utama lagi mulia dalam memindahkan
dan mentransformasikan ilmu yang baik, meninggikan adab, serta sikap
murni yang diredhai Allah, memberi petunjuk ke arah jalan yang benar dan
sebagai pemudahcara proses pembelajaran. Justeru sebagai guru kita perlu
mampu memperkukuh pembinaan negara bangsa kita, bangsa Malaysia.
Pasu China dirakit suasa;
Atas pedati dari Kembayat;
Guru pembina negara bangsa;
Menabur bakti sepanjang hayat.
Kuala sungai tempatnya mudik;
Selepas hujan deras arusnya;
Selamat Hari Guru buat pendidik;
Jasamu dikenang selama-lamanya.
Assalamualaikum w.b.t.