Teks Ucapan Guru Besar2

Embed Size (px)

DESCRIPTION

TEKS UCAPAN

Citation preview

TEKS UCAPAN GURU BESAR

ENCIK RAZAK BIN SAID

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG BAGI TAHUN 2014

Terima kasih diucapkan kepada saudari Pengacara Majlis. Bismillahirrahmanirrahim, alhamdullilahi rabil alamin wassolatu wassolamu ala ashrafil anbiyar iwar mursolin waala alihi wasah bihi ajmain.Yang Berhormat Datuk Hj. Johan bin Abdul Aziz, ADUN Selangor Kawasan Semenyih,

Yang Berusaha Tuan Hj. Samsudin bin Md. Yassin, YDP PIBG SK Kg. Rinching dan ahli jawatankuasanya,

Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru, ibu bapa serta murid-murid yang saya hormati sekalian.Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia.Pertamanya, bagi pihak sekolah saya ingin mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat Y.B. Datuk Hj. Johan bin Abdul Aziz, ADUN Selangor Kawasan Semenyih, YDP PIBG, ibu bapa dan terutamanya murid-murid cemerlang SK Kampong Rinching dalam Majlis Anugerah Cemerlang Akademik bagi tahun 2014. Sesungguhnya majlis yang merupakan majlis tahunan yang diatur sebagai salah satu program untuk meraikan murid-murid yang telah membanggakan sekolah dalam peperiksaan UPSR dan murid-murid yang telah menunjukkan kecemerlangan akademik pada tahun 2014. Kepada calon-calon UPSR tahun 2014 yang telah menunjukkan prestasi yang agak baik, hari ini merupakan kemuncak kepada usaha yang dilakukan untuk menuai hasil yang selalu diimpikan iaitu kecemerlangan. Bagi murid-murid lain yang menerima Anugerah Cemerlang, jadikanlah hari ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya pada tahun-tahun seterusnya.Saya mewakili seluruh warga sekolah ini ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua murid SK Kampong Rinching yang telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang tahun 2014. Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada semua guru, PIBG, ibu bapa serta pihak-pihak lain sama ada dari kerajaan dan swasta yang telah banyak mengorbankan masa, tenaga dan usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah ini. Secara keseluruhannya, pencapaian peratusan lulus SK Kg. Rinching dalam UPSR tahun 2014 adalah sebanyak 74.54%. Daripada jumlah keseluruhan ini, terdapat seramai 3 orang murid telah memperoleh keputusan 5A dan 5 orang murid pula telah memperoleh keputusan 4A . Tahniah sekali lagi diucapkan kepada murid-murid yang telah berjaya membanggakan sekolah.Hadirin yang dihormati sekalian,Dalam konteks pendidikan, fungsi utama sekolah ialah bagi memupuk pembelajaran. Dengan perubahan persekitaran pendidikan negara yang penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramalkan dan sentiasa terdedah kepada penambahbaikan, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan. Sejajar dengan misi pendidikan nasional iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013 2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Maka, SK Kg. Rinching tidak akan terkecuali daripada menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti dan bertaraf tinggi supaya pada akhirnya murid yang menerima pendidikan di sekolah ini dapat menyumbang terhadap jati diri dan memberi daya saing untuk negara. Sebagai Guru Besar, saya akan sentiasa memastikan bahawa hala tuju sekolah ini jelas dan segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan yang ada sentiasa akur dengan keperluan yang telah digariskan oleh kerajaan.Hadirin Sekalian,

Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa SK Kg. Rinching merupakan antara sekolah pilihan di kawasan ini pada masa ini. Enrolmen murid yang terkini ialah sebanyak 341 orang murid. Begitu juga dengan norma perjawatan guru yang mencukupi. Terdapat seramai 26 orang guru yang terlatih dalam pelbagai bidang opsyen. Guru-guru juga sentiasa mempersiapkan diri dan diberi pendedahan yang berterusan untuk melaksanakan perubahan dan pendekatan baru dalam sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran untuk memperkembangkan insan secara holistik dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Saya memberi jaminan bahawa guru sekolah ini sentiasa komited terhadap usaha membantu dan membimbing murid ke arah kesejahteraan hidup masa kini dan masa akan datang. Semua murid di sekolah ini berhak mendapat peluang pembelajaran yang terbaik dan kami akan mencari jalan supaya perkara ini tercapai sepenuhnya.Pada tahun ini, SK Kg. Rinching memilih slogan Team SKKR Cemerlang, iaitu warga sekolah sentiasa prihatin untuk pencapaian yang tertinggi dalam konteks kepesatan perubahan persekitaran pendidikan di peringkat sekolah. Insan bijak pandai, insan yang gigih dan insan yang berdaya usaha sebagai hasil sistem pendidikan kita hanya akan bermakna apabila dapat menyumbang terhadap kecemerlangan yang berterusan. Dengan cara menguar-uarkan slogan ini, pihak sekolah mengharapkan bahawa dalam jangka masa panjang, generasi murid yang menjalani pendidikan di sini akan sentiasa berada di barisan hadapan bagi membaharui pencapaian kecemerlangan untuk negara. Untuk tempoh yang terdekat ini, pihak sekolah giat merangkakan program-program tahunan sekolah yang menggambarkan keazaman dengan berpaksikan slogan tersebut dalam bentuk keberkesanan perancangan & pelaksanaan program dan khususnya dalam keberhasilan setiap murid daripada program-program yang telah dilaksanakan oleh sekolah. Saya sentiasa optimis bahawa warga sekolah dapat berganding bahu dalam memastikan apa-apa jua kemajuan yang dikecapi hendaklah berteraskan konsep kecemerlangan yang holistik dan seimbang. Kesedaran tentang pencapaian kecemerlangan hendaknya bersemi dalam sanubari warga sekolah buat selama-lamanya. Doakan semoga impian besar kami ini menjadi kenyataan.Saya sebagai pucuk kepimpinan sekolah juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak PIBG yang banyak membantu sekolah bagi meningkatkan kecemerlangan pembelajaran dan segala kegiatan sekolah yang lain. Begitu juga saya menghargai sokongan material dan moral para ibu bapa, masyarakat dan komuniti. Pada hakikatnya apa-apa jua projek naik taraf infrastruktur fizikal serta program-program sekolah akan dipulangkan semula kepada murid-murid supaya dapat menikmati peluang pembelajaran yang terbaik di SK Kg. Rinching. Justeru saya merayu tuan puan tidak akan pernah berasa jemu untuk menghulurkan sokongan seumpama itu tanpa berbelah bahagi secara berterusan dan konsisten pada setiap masa.Hadirin yang budiman sekalian,

Ingin saya memetik kata-kata Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah seiringan berusaha untuk merealisasi. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan insan yang holistik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa bagai aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku.Akhir kata, kepada penerima anugerah, sekalung tahniah untuk anda. Teruskan kecemerlangan anda. Nilai kebendaan hadiah bukanlah sepatutnya menjadi ukuran. Yang penting, anda telah diberi pengiktirafan yang begitu bermakna dalam hidup anda. Di samping mencongak kejayaan, usah dilupakan rakan-rakan yang kurang bernasib baik seperti anda. Bantu mereka, beri dorongan dan inspirasi. Kelak, anda akan dikenang sebagai insan yang budiman dan berkeperibadi mulia. Bagi pihak sekolah, saya mendoakan agar anda, anak-anak didik SK Kg. Rinching akan terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri, keluarga, sekolah, masyarakat, bangsa dan negara.Terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Datuk Hj. Johan bin Abdul Aziz kerana sudi hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Cemerlang pada hari ini. Kepada semua ibu bapa tahniah atas kejayaan anak-anak tuan/puan. Tidak lupa juga terima kasih tidak terhingga kepada semua guru SK Kg. Rinching yang tidak pernah jemu memastikan kejayaan anak-anak didik yang kita banggakan.

Sekian. Wabillahitaufik wal hidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.